KUALA BELAIT, Isnin, 9 Mac.- Pegawai Daerah Belait, Haji Jamain Momin menggesa umat Islam supaya membesar-besarkan Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dengan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda sebagai melepaskan rasa rindu, cinta dan kasih sayang yang mendalam kepada Baginda Rasul.
“Kita sebagai umat Baginda sudah selayaknya menyambut, merayakan dan membesarkan Hari Keputeraan Baginda sebagai tanda kecintaan dan ketaatan kita pada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang merupakan seorang Nabi dan Rasul yang telah banyak berkorban dan sangat berjasa kepada kita,” tegas Pegawai Daerah.
Baginda Nabi sanggup berkorban dengan melalui berbagai rintangan, ancaman, kesengsaraan, penderitaan untuk berdakwah dan dalam menegakkan syiar Islam sehinggalah kita menjadi umat yang bertamadun dan dihormati, ujar beliau di majlis perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Belait yang diadakan pagi tadi di Padang Bandaran di sini.
Beliau berkata dengan membanyakkan salawat ke atas Nabi akan menjadikan kita selaku umat manusia yang sentiasa dirahmati dan diberkati Allah Subhanahu Wata'ala kerana barang siapa yang berselawat kepada Nabi, Allah menjanjikan 10 kali rahmat kepadanya.
Beliau menambah kita selaku rakyat dan penduduk negara ini amat beruntung serta bersyukur kerana kita hidup di sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat yang berteraskan falsafah negara ‘Melayu Islam Beraja’ dengan berbekalkan ketakwaan dan keimanan yang kukuh.
“Kita selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang bertuah ini terus menikmati kehidupan dalam suasana aman dan damai, penuh berdisplin, harmoni, selamat, makmur dan sejahtera, itulah rahmatnya kita berlindung di negara ini dimana segala isi didalamnya sentiasa menghayati, mengambil berat serta memertabatkan akan ajaran-ajaran Islam yang sebenar-benarnya serta sentiasa berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah yang memandu kita ke jalan yang benar dan lurus,” ungkap beliau.
Menyentuh mengenai tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini ‘Kedewasaan Bernegara Dengan Zikir’ beliau berkata sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat yang kini sudah menjangkau usia kemerdekaan yang ke 25 tahun, kemantapan dan keunggulan negara kita sehingga menjadi sebuah negara yang disegani bukan hanya setakat dilihat dari sudut kemantapan ekonomi dan aspek pembangunan fizikal infrastruktur yang moden tetapi juga terletak dari aspek pembangunan rohani, spiritual serta pegangan kuat umat Islam di negara ini sehingga mampu menjadikan negara sebagai negara zikir yang sungguh mantap, yang sentiasa diberkati, dirahmati dan mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Itulah kedewasaan bernegara yang sebenar-benarnya yang disemai sejak negara kita mencapai kemerdekaan sejak 25 tahun yang lalu, ujar beliau.
Beliau seterusnya mengesa umat Islam di negara ini membaharui tekad serta berazam, menebalkan keimanan supaya menjadi umat Islam yang sentiasa bertakwa serta terus sama-sama memertabatkan Islam dan menjadikan negara sebagai negara zikir yang unggul dan mantap.
“Marilah kita membanyakkan salawat serta salam ke atas Nabi, pemimpin agung kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai tanda kasih dan sayang kita kepada Baginda yang telah banyak berjasa ke arah menegakkan kebenaran Islam di bumi Allah, yang telah menjadikan ugama Islam sebagai teras serta pegangan dalam kehidupan kita pada bila-bila masa,” seru beliau.
Beliau seterusnya menekankan selaku umat manusia yang kerdil yang mempunyai berbagai kelemahan serta kekurangan, hendaklah membentuk diri agar menjadi seorang umat Islam yang baik dan sejati serta golongan mukmin yang sentiasa tunduk dan patuh dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya
Dengan adanya perasaan ketakwaan itu tambahnya, Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melimpahkan berkah, keselamatan dan keredaan-Nya kepada diri kita, kepada bangsa dan negara yang sama-sama kita cintai dan semoga kita akan termasuk sebagai hamba Allah yang beruntung di dunia dan juga di akhirat serta tergolong sebagai para shuhada dan penghuni Syurga yang kekal abadi.
(Oleh : Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj.Omaralli )
Kembali ke muka utama