Penandatanganan disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof.
Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dato Paduka Haji Awang Sarbini bin Haji Ali menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan Kebawah DYMM sementara Senior Vice President, Regional Director, The H.O.K Planning Group, Awang Steven Morris Townsend menandatangani bagi pihak H.O.K International (Asia Pacific) Limited.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Bandaran BSB, Pengiran Mohammad Ali bin Pengiran Haji Othman berkata, ‘Expression of Interest’ bagi Projek Penyediaan Pelan Induk Kemajuan BSB telah diiklankan dalam akhbar tempatan dan antarabangsa yang ditutup pada 30 Disember 2008.
Hasil pengiklanan itu katanya, pihak Urusetia Jawatankuasa Melantik Konsultan KHEDN telah menerima 39 tawaran dari dalam dan luar negara termasuk Australia, Kanada, Hongkong, Malaysia, China, Korea, Singapura dan Filipina.
Katanya, Pelan Induk Kemajuan BSB yang disediakan akan menjadikan BSB sebuah bandar raya abad 21 yang berdaya tahan dan setanding dengan bandar raya-bandar raya dunia.
Pemilihan H.O.K International (Asia Pacific) Limited dan pasukan konsultan antarabangsanya berasaskan kepada keupayaan-keupayaan, pengalaman dan sinergi mereka untuk menjalankan tugas tersebut.
H.O.K International (Asia Pacific) Limited juga akan bekerjasama dengan Jones Lang Lasalle, MVA, Meinhardt dan OWMP International sebagai rakan kongsi tempatan.
Penyediaan projek tersebut menghendaki pakar konsultan yang mempunyai pengalaman antarabangsa yang luas dan diyakini selain keupayaan mereka juga terbukti dalam merancang dan melaksanakan kerja-kerja penyediaan pelan induk kemajuan.
(Oleh : Hezlinawati Haji Abd. Karim)
Kembali ke muka utama