|
PELBAGAI PIHAK PERLU BANTERAS
PENGGUNAAN TEMBAKAU
Rencana Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
jefferi.durahman@information.gov.bn
SETIAP tanggal 31 Mei merupakan hari yang diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) sejak tahun 1987. Sambutan tersebut diraikan di seluruh dunia mengingatkan kita semua akan bahaya tembakau kerana ianya salah satu punca utama bagi berlakunya penyakit jantung dan penyebab utama kematian.
Matlamat asal bagi WHO mengadakan Hari Tanpa Tembakau Sedunia setiap tahun ialah untuk menarik perhatian seluruh dunia terhadap epidemik tembakau dan kematian serta penyakit-penyakit yang disebabkan oleh tembakau, yang mana tidak dapat dielakkan.
 PENGGUNAAN tembakau di negara kita diharap akan dapat dibanteras terutama sekali di kalangan remaja dan belia kita.
Tembakau adalah satu produk yang menyebabkan seseorang menjadi ketagih dan akan bergantung selamanya kepada rokok kerana tabiat itu amat sukar dibuang. Seperti yang kita ketahui merokok menambah risiko penyakit jantung sebanyak 25-35 peratus. Malangnya semakin banyak fakta yang diketahui dan disebarkan tentang bahaya rokok, sebaliknya semakin banyak pula jumlah yang tertarik dengan tembakau dan yang amat mendukacitakan lagi ialah kebanyakan yang mudah terpengaruh dengan iklan sedemikian ialah golongan-golongan muda dan yang masih di bangku sekolah.
Bagi Negara Brunei Darussalam Penguatkuasaan Perintah Tembakau bermula 2005 dan Peraturan-Peraturannya Jun 2008. Perintah Tembakau 2005 mengandungi peruntukan undang-undang bagi melindungi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.
Ke arah itu satu Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau ditubuhkan di mana ia perlu merancang strategi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah memastikan pelaksanaan usaha-usaha kawalan tembakau dibuat secara komprehensif. Ini termasuk juga mengetarakan Penguatkuasaan Perintah Tembakau 2005 dan dilaksanakan secara berkesan dengan melibatkan masyarakat di berbagai peringkat.
Perkara ini juga ditekankan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau sewaktu berucap demikian di Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau 2009 berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 2 Kementerian Kesihatan, Berakas.
Dalam mesyuarat tersebut, Yang Dimuliakan selanjutnya berkata dengan adanya gabungan keahlian di dalam Jawatankuasa Pelaksana Perintah Tembakau yang terdiri daripada pelbagai agensi dalam kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta akan dapat menjangkau ‘out reach’ sasaran yang meluas di dalam menyebarkan dan melibatkan anggota masyarakat di segenap peringkat di dalam kempen-kempen kesedaran dan Penguatkuasaan Perintah Tembakau 2005.
Dengan usaha-usaha awal Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menangani kesan-kesan negatif rokok pada tahun 2003 satu fatwa pengharaman ke atas rokok telah dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan dan selaras dengan ini juga satu Jawatankuasa Pelaksana Pengharaman Rokok dan Merokok juga telah dibentuk pada tahun 2004.
LANGKAH
Sebagai latar belakang, sebelum Perintah Tembakau 2005 digubal berbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani kesan-kesan negatif penggunaan produk tembakau di negara ini, antaranya ialah seperti melarang iklan dan promo tembakau di televisyen tempatan RTB dan akhbar- akhbar tempatan dan juga bagi tujuan penajaan sukan.
Selain itu lagi kerajaan juga telah menaikkan cukai rokok di negara ini dan juga sejak tahun 1994 semua bangunan-bangunan kerajaan diisytiharkan sebagai tempat ditegah merokok.
Dalam pada itu juga negara ini merektifikasi (rectify) kepada treati Konvensyen Rangkakerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia Mengenai Kawalan Tembakau (WHO Framework Convention on Tobacco Control).
Sebagai kesinambungan kepada usaha-usaha kerajaan sebelumnya, Perintah Tembakau 2005 telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2008 adalah merupakan langkah penting bagi melindungi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam daripada kesan- kesan negatif penggunaan tembakau dan produk tembakau.
Secara ringkasnya peruntukan yang terkandung di dalam Perintah Tembakau 2005 antara lainnya adalah menegah semua iklan-iklan yang berkaitan dengan rokok kerana iklan-iklan dan promosi tembakau mempengaruhi orang ramai terutamanya belia remaja ke arah penggunaan tembakau iaitu merokok, menegah peniaga sama sekali menjual bahan-bahan tembakau kepada kanak-kanak dan remaja yang berumur di bawah 18 tahun, mengisytiharkan tempat-tempat awam dan kenderaan - kenderaan awam sebagai tempat-tempat dilarang merokok, di samping itu semua bahan tembakau yang diimport dan penjualan bahan-bahan tembakau di negara ini perlu mempunyai lesen, setiap bungkusan bahan tembakau yang diedarkan kepada orang ramai perlu mempunyai label dan gambaran kesihatan.
Di samping peruntukan- peruntukan Perintah Tembakau 2005 dan Dasar Pengawalan Tembakau WHO yang menjadi asas dan landasan kepada tindakan Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau ini nanti, kita juga perlu mengambil ingatan dan menjadikan panduan kepada perkara-perkara berikut:-
Antaranya seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Mengenai Rokok atau Sihat pada l1 Julai 2002 yang mana antara lain baginda bertitah: “... perkara rokok telah jadi persoalan global yang sangat mendesak untuk diselesaikan. Ia bukan lagi merupakan masalah individu yang terhad iaitu masalah siapa yang merokok sahaja, tetapi telah melibatkan semua pihak bagaimana untuk mengatasi perkara merokok itu?”
Baginda seterusnya bertitah:“Di dalam ekonomi terdapat banyak alternatif lain, tetapi dalam hal kesihatan dan nyawa, adakah kita mendapati sebarang alternatif? Tidak ada sebarang alternatif lain di dalam perkara kesihatan dan nyawa, melainkan itulah sahaja satu-satunya yang ada.”
Titah baginda ini juga dipetik dan ‘highlight’ oleh WHO mengenai dengan isu tembakau.
Selain titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan juga telah memberikan hujah-hujah mengenai rokok yang memudaratkan kesihatan dan dengan itu telah menggariskan bahawa merokok adalah perbuatan yang boleh memudaratkan dan sehubungan dengan ini Mufti Kerajaan telah mengeluarkan fatwa bahawa ‘Merokok Adalah Haram’.
Merokok juga merupakan penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam yang berpunca daripada penyakit-penyakit yang mempunyai faktor risiko yang berkaitan dengan tabiat merokok iaitu seperti penyakit jantung, kanser, strok, penyakit gangguan pernafasan dan asma.
Penggunaan tembakau menyebabkan 90 peratus kes-kes kanser paru-paru. Merokok juga mengakibatkan beberapa jenis penyakit kanser yang lain seperti kanser serviks dan kanser buah pinggang dan kesan penggunaan tembakau bukan sahaja menjejaskan perokok, akan tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan orang lain yang terdedah kepada asap rokok iaitu perokok pasif.
Rumusan Banci Penduduk 2001 menunjukkan terdapat 40,000 orang perokok di Negara Brunei Darussalam yang mana kumpulan yang terbesar terdiri daripada mereka yang berumur di antara 20 - 34 tahun iaitu 80 peratus, manakala mereka yang berumur 15 tahun ke atas merupakan 17.5 peratus.
Rawatan perubatan penyakit-penyakit kronik ini juga telah membebankan kos rawatan yang tinggi kepada kerajaan ini terbukti di mana pada tahun 2008 kerajaan telah membelanjakan sebanyak BND20.7 juta bagi ubat-ubatan untuk rawatan penyakit-penyakit kronik iaitu 51 peratus daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan ubat-ubatan pada tahun berkenaan.
Jumlah ini tidak termasuk perbelanjaan rawatan hospital, kos rawatan intensif, kos pembedahan dan kos penghantaran pesakit ke luar negara dan pesakit-pesakit juga perlu menjalani rawatan yang berterusan yang sudah setentunya menjejaskan pekerjaan dan produktiviti.
Daripada aspek tenaga kerja pula, ianya adalah satu kerugian kepada negara dalam mana separuh daripada kematian disebabkan oleh penggunaan tembakau di negara ini terjadi di kalangan mereka yang dalam pertengahan umur yang masih produktif untuk memberikan sumbangan terhadap ekonomi negara.
Selaras dengan bidang tugas yang telah digariskan, adalah menjadi misi jawatankuasa ini untuk meneruskan usaha-usaha yang sudah dibuat terdahulunya dan memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah tembakau secara berkesan dan berhasil ke arah menjadikan:-
Negara Brunei Darussalam bagi jangka masa panjang sebagai sebuah negara yang bebas daripada rokok. Melahirkan generasi yang benci dan bebas daripada rokok. Mengurangkan jumlah perokok yang terdapat pada masa ini di negara ini melalui kempen- kempen kesedaran rokok memudaratkan kesihatan dan nyawa serta punca kepada berbagai penyakit kronik. Melindungi rakyat dan penduduk daripada mendapat risiko hasil perbuatan mereka yang merokok di tempat-tempat awam; memberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa rokok adalah haram di sisi syarak;, menjadikan orang ramai dan masyarakat di segenap peringkat termasuk badan- badan bukan kerajaan dan sektor swasta mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk memberhentikan dan membanteras tabiat dan perbuatan penggunaan produk dan bahan-bahan tembakau.
Seperti mana yang telah disampaikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan satu Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tembakau. Penubuhan Jawatankuasa Kawalan Tembakau di Peringkat Kebangsaan ini adalah selaras dengan saranan WHO dan seperti mana juga yang dilaksanakan oleh beberapa negara lain yang mana penglibatan pelbagai sektor adalah amat diperlukan.
Salah satu lagi peruntukan undang-undang di bawah Perintah Tembakau 2005 ialah larangan merokok di tempat-tempat dan kenderaan tertentu termasuk hospital-hospital. Oleh yang demikian, bersempena dengan Hari Tembakau Sedunia yang disambut pada tahun lepas 2008 dan pelaksanaan Perintah Tembakau 2005, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menubuhkan Kumpulan Tindakan Anti Tembakau atau Anti Tobacco Action Team - ATAT.
ATAT merupakan inisiatif Hospital RIPAS untuk membanteras tabiat merokok di persekitaran Hospital RIPAS yang mana sebelum ini masih diamalkan oleh sesetengah pihak walaupun terdapat notis larangan merokok di merata tempat di kawasan hospital ini.
ATAT bermakna kumpulan antitembakau yang telah dilantik mengikut had dan telah diberi kuasa untuk membuat pemantauan dan larangan merokok di dalam kawasan Hospital RIPAS. ATAT juga terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS anggota keselamatan dari Setia Protective Security Services (SPSS) dan ketua Pegawai Eksekutif sebagai pengurus berserta dengan pegawai-pegawai dari Unit Kawalan Tembakau, Kementerian Kesihatan. Mereka-mereka ini akan diberikan hak kuasa untuk membuat rondaan-rondaan mengikut jadual yang ditetapkan dan dibahagikan kepada kumpulan kecil seramai tiga orang. Ahli-ahli ATAT juga dikenakan memakai Vest Khas agar mereka akan senang dikenali.
Objektif ATAT ialah bagi memantau, mengawal, menegur, melaporkan, mengambil tindakan dan mencegah orang ramai dari merokok di dalam kawasan Hospital RIPAS.
Mengikut Akta Tembakau 2005, pengurus/pengendali dikehendaki untuk mempamerkan beberapa notis yang bersesuaian, jumlah yang memadai dan saiz yang mencukupi di tempat yang mudah dilihat dan menyatakan bahawa ‘Merokok adalah ditegah menurut undang-undang’. Jika gagal, denda tidak melebihi BND1,000 (Bab 15), pengurus/pengendali dikehendaki melarang orang yang merokok di premis mereka dengan serta-merta dan menyatakan hukumannya (denda tidak melebihi BND1,000) dan jika enggan atau tidak berhenti merokok pengurus/pengendali dikehendaki menyuruh mereka meninggalkan premis dengan serta-merta dan jika orang tersebut enggan meninggalkan premis tersebut atau berhenti merokok, pengurus dan pengendali dikehendaki meminta bantuan pegawai polis atau pegawai yang diberi kuasa.
Sesiapa yang menghalang, mengancam, menganiaya, mengganggu atau menyerang pengurus/pengendali dalam melaksanakan kewajipannya, denda tidak melebihi BND1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (Bab 16).
Di antara tempat-tempat yang menjadi tempat larangan dan kenderaan tertentu yang tidak dibenarkan merokok (Bab 14 dan Pemberitahuan Tembakau) ialah:
* Premis kerajaan termasuk hospital, pusat kesihatan, klinik kesihatan dan rumah penjagaan.
* Semua premis atau bangunan yang digunakan untuk tujuan perdagangan, perindustrian atau rekreasi termasuk tempat makan, kafe internet.
* Semua premis atau bangunan di mana orang ramai mempunyai akses, seperti di dalam sesebuah tempat awam di mana dua orang atau lebih berbaris.
* Semua kawasan di dalam sesebuah institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.
* Kenderaan perkhidmatan awam seperti bas dan teksi.
Melindungi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah:
* Di mana adalah dilarang menjual/memberi/ membekalkan sebarang produk tembakau kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pemegang lesen/pekerja-pekerja lain dikehendaki untuk memastikan bahawa pembeli produk tembakau, tidak berumur 18 tahun ke bawah (umpamanya menghendaki melihat kad pengenalan) (Bab 9).
* Peniaga runcit dikehendaki untuk mempamerkan beberapa notis yang bersesuaian, jumlah memadai dan saiz mencukupi di tempat yang mudah dilihat di dalam premis atau tempat di mana produk tembakau dijual “Penjualan sebarang produk tembakau kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah adalah ditegah menurut undang-undang.” (Bab 11) dan jika sabit kesalahan, di kenakan dena tidak melebihi BND5,000 dan BND10,000 bagi kesalahan berikutnya.
Kawalan merokok bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah:
Jika mereka yang berumur 18 tahun ke bawah:
* Merokok atau mengunyah sebarang produk tembakau di tempat awam.
* Membeli atau didapati memiliki sebarang produk tembakau untuk kegunaannya sendiri atau sebaliknya (Bab 10).
Jika sabit kesalahan, dikenakan denda tidak melebihi BND500 dan BND1,000 bagi kesalahan berikutnya.
Dengan adanya sokongan dan komitmen dari semua pihak, penggunaan tembakau di negara kita akan dapat dibanteras ter- utama sekali di kalangan remaja dan belia kita.
Kembali ke muka utama
|