|
MEMBINA
TAMADUN BANGSA
Oleh : H.A. Manap
SEMAKIN jauh kita melangkah maka semakin banyaklah perubahan dan kemajuan sekeliling yang kita lalui. Laluan sedemikian ini adalah merupakan, sebahagian dari lorong-lorong kemajuan yang wujud, di samping perubahan sekeliling yang berlaku. Ada beberapa elemen yang perlu diperhatikan oleh generasi muda belia kita. Terutama sekali menyangkut persoalan bagaimana kita boleh membuat sumbangan yang bermakna terhadap kemajuan dan perkembangan negara. Sejak kemerdekaan negara 25 tahun yang lalu, negara telah menyediakan gagasan membina tamadun bangsa dan sebagai sebuah negara yang maju. Justeru kita melihat dari permulaan langkah kemerdekaan berbagai perkembangan telah dilakukan dan dibuat semata-mata ke arah pembinaan sebuah bangsa dan negara yang kuat dan teguh berdiri di atas kakinya sendiri. Sebahagian besar generasi belia, di waktu kita mengorak langkah merdeka itu, kini sudah pula berada dalam kelompok dewasa, masing sedang berperanan untuk merealisasikan harapan dan matlamat yang ingin dicapai oleh negara kita.
Banyak pelajaran dan modal yang boleh kita perhatikan dan pelajari bersama. Ada negara yang sudah semakin jauh berada di depan bersama dengan berbagai kemajuan yang mereka bina dalam suasana dan iklim kemerdekaan. Ada negara yang sebelumnya berada di tahap kurang maju kini sudah terkehadapan maju di berbagai bidang bersama bangsa dan tamadun negaranya. Semua ini memberikan sumber inspirasi kepada kita, bagaimana sepatutnya membina tamadun bangsa yang merdeka lagi berprestasi maju. Pergerakan yang dinamik dan juga rangsangan yang lebih kreatif menjadikan sesebuah bangsa dan masyarakat itu boleh bergerak secara proaktif dan membina daya kekuatan diri yang menyumbang ke arah kemajuannya.
BINA KEYAKINAN
Dalam konteks ini, kita juga boleh berupaya tinggi untuk mencapai tahap yang diperolehi oleh negara-negara yang sudah lama menikmati kemajuan sedemikian. Namun kita perlu kepada generasi dan bangsa yang lebih dinamik dan berpandangan jauh. Kerana keupayaan kita dalam menerajui berbagai bidang, bukan sahaja akan menjadikan kita lebih tahan berdaya saing sekali gus kita juga akan mampu menjadi penggerak yang mewujudkan perkembangan dan kemajuan berbangsa dan bernegara. Keperluan untuk menjadi masyarakat yang dinamik adalah penting dalam era membina tamadun yang tinggi. Kita memerlukan masyarakat yang dinamik yang mencakupi daya fikir, pengurusan, kecekapan, kemahiran dan daya kreativiti yang tinggi. Ketangkasan ini diyakini akan membantu dalam kita menggerakkan program atau rencana pembangunan yang diaturkan. Dalam zaman di mana kita sudah semakin terdedah kepada dunia luar, apatah lagi dengan adanya kemudahan masa kini menjadikan kita lebih dekat kepada betapa pentingnya menjadi bangsa yang dinamik.
Kita sedang berada di tengah-tengah perlumbaan membina tamadun bangsa dan negara, kerana itu imej kita perlu kepada yang boleh mencerminkan kemampuan dan keupayaan kita berada di tengah-tengah masyarakat global. Kita perlu mewujudkan daya tarikan kepada dunia luar yang ingin datang kepada kita. Dengan menggunakan berbagai kemudahan yang kita miliki inilah, kita seharusnya menggembleng tenaga dan kemahiran untuk berada di hadapan bersama mereka yang sudah mendahului kita. Persoalan, bagaimana cara mengisi ruang yang menjadikan kita lebih dinamik dan pro- aktif ialah cara dan pandangan kita terhadap perkembangan dan kemajuan sekeliling.
WUJUDKAN IDEA BARU
Era yang kita lalui sekarang menuntut kita bergerak pantas dan tangkas. Untuk menjadikan kita mampu melakukan ia perlu kepada sokongan diri yang yakin bertindak. Perkiraan kita tidak boleh untuk jangka pendek dan terkongkong dengan idea lama dan lapuk. Minda kita mestilah terbuka bersama dengan proses perubahan yang mengorak berbagai pengetahuan baru. Dari sinilah kita melalui proses mengangkat diri dan meletakkan dinamisme masyarakat. Generasi muda merupakan angkatan yang dipertaruhkan untuk berperanan dalam menggerakkan aspirasi menjadikan kita dinamik. Justeru generasi muda perlu berani dalam menentukan hala tuju yang betul.
Sebagai generasi yang akan terus berdepan dengan perubahan sekeliling, kita perlu pandai menempatkan kedudukan kita. Ini adalah sebenarnya penting bagi mengelakkan sebarang penyertaan ke arah proses perubahan itu tidak mencorakkan suatu yang mengundang hal negatif. Kita perlu bijak mempelajari setiap perkembangan dan kemajuan yang berligar. Kerana ada kalanya perubahan sekeliling dan perkembangan di hadapan kita adalah merupakan perkara yang tidak sesuai dengan cara dan budaya kita. Ketidaksesuaian ini selalunya mengundang berbagai pantulan sama ada sikap, kemahuan dan naluri kita sendiri. Ketidaksesuaian ini juga boleh sahaja melebarkan jurang yang akan mengangkat keupayaan diri untuk berperanan dengan lebih berkesan, yang menjadikan kita terasing. Namun tidak semua akan menjadi halangan dalam proses menentukan keupayaan kita. Di sinilah kita perlu bijak kepada meletakkan diri dengan betul dengan bersendikan kekuatan ilmu pengetahuan yang ada.
ISIKAN DIRI DENGAN ILMU
Jika kita tidak mahu bergerak menimba ilmu pengetahuan sebanyaknya, jangan hairan jika hal ini juga yang akan meninggalkan kita jauh di belakang sedangkan orang lain sudah pantas ke hadapan. Begitulah betapa pentingnya sikap dinamik dan juga proaktif kita jadikan sebagai asas pembinaan diri yang menjadi alat pembinaan masyarakat yang maju. Dalam keadaan dunia yang serba maju dan canggih ini, kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menoleh ke belakang. Pandangan kita perlu menghala ke depan, agar setiap yang kita tempuhi itu mampu kita tangani dengan sebaiknya. Pergolakan dan pelajaran hidup yang dilalui di dalam ruang lingkup usia yang muda inilah juga yang akan memberikan kekuatan diri untuk kita lebih dewasa dalam memahami apa erti sebenarnya kemajuan dan perubahan sekeliling kita. Kita mesti bijak menentukan hala tuju dan juga peranan yang akan kita memainkan. Kita mesti mampu menunjukkan yang kita adalah masyarakat yang mampu berdikari dan mampu membuat perubahan dinamik ke arah pembentukan sebuah tamadun bangsa yang berjaya dan berdaya saing. Kita tidak boleh lagi berdiam diri melihat perubahan sekeliling, namun kita perlu menjadikan perubahan itu asas ke arah kecemerlangan pembinaan tamadun bangsa.
Kembali ke muka utama
|