|

Adab bersukan dalam Islam
DI DALAM Islam, segala permainan dan hiburan harus dan selagi tidak melanggar batas-batas syarak adalah diharuskan bagi melapangkan hati sekali gus dapat mencergaskan jiwa yang telah lesu. Agama Islam bukanlah satu agama kaku tetapi adalah agama yang dipenuhi dengan kemanisan dan diluhuri dengan budi pekerti. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak melarang untuk berhibur dan bermain sebagaimana riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Al-Muthalib bin Abdullah di dalam sabda Baginda yang bermaksud :
“Hiburkan atau bermainlah kamu, kerana saya benci melihat dalam agama kamu yang bengis dan masam yakni tiada lemah lembut dan manis muka dan hati.”
Gaya hidup manusia pada masa kini yang rata-rata sibuk dengan pelbagai urusan dan tertekan oleh keadaan sekeliling menjadikan aktiviti sukan itu sebagai penghibur, melepaskan kekusutan dan sekali gus boleh menjadikan seseorang mahir dalam sesuatu sukan yang tertentu. Bersukan adalah amalan sihat dan diharuskan dalam Islam kerana ianya merupakan salah satu unsur yang menjurus kepada pemantapan fizikal dan secara tidak lansung meningkatkan kecerdasan mental, seperti dalam pepatah 'otak cerdas datangnya dari badan cergas'.
Pada zaman serba moden ini pelbagai jenis sukan telah diperkenalkan kepada umum. Maka dalam bermacam jenis sukan yang diperkenalkan itu, sebagai seorang Muslim dan Muslimah mestilah memastikan sukan yang hendak diikuti dan dilakukan itu sesuai dan tidak melanggar hukum-hukum syarak. Islam menetapkan beberapa panduan yang harus diikuti dalam bersukan. sama ada panduan tersebut khusus bagi individu itu sendiri mahupun panduan bagi acara sukan yang diadakan, di antara adab-adabnya ialah :
BERSUKAN MENGIKUT FITRAH
Setiap sukan yang hendak diikuti mestilah mengikut fitrah masing-masing. Bagi setiap insan sama ada lelaki mahupun perempuan mempunyai fitrah yang telah ditetapkan Allah Subhanahu Wata’ala, lelaki biasanya dikenali dan dikaitkan dengan kegagahan dan ketangkasan, manakala perempuan pula sering kali disifatkan dan dihubungkan dengan kelembutan dan keperibadiannya yang pemalu. Sebab itulah setiap sukan atau olahraga itu hanya tertakluk kepada jantina yang tertentu sahaja, seperti menunggang kuda, bola sepak, tarik kalat dan sebagainya dikhususkan untuk lelaki sahaja memandangkan ianya adalah permainan yang lasak, manakala perempuan pula diharuskan bersukan yang sesuai dengan kelembutannya seperti berlari atau berjalan kaki, asalkan ianya dibatasi dengan hukum-hukum syarak.
MENUTUP AURAT
Penutupan aurat bukan hanya diwajibkan di dalam waktu sembahyang sahaja, tetapi ianya dituntut di mana sahaja selagi berada di tempat awam atau berada di hadapan (ajnabi) lelaki atau perempuan yang halal dinikahi. Dengan terciptanya pakaian, ianya adalah di antara nikmat Allah Subhanahu Wata’ala untuk manusia agar ianya dapat digunakan sebagai penutup aurat mereka. Islam juga mengkhususkan dan membataskan pakaian kaum Muslimin agar dapat menghindari dari melakukan dan dilakukan maksiat ke atasnya.
SUKAN YANG TIDAK
MEMUDARATKAN
Islam mementingkan mashlahat orang ramai dan Allah Subhanahu Wata’ala menginginkan dan mengurniakan bermacam-macam kemudahan pada sekalian makhluk-Nya. Semua sukan yang dilakukan adalah bertujuan untuk menyihatkan diri sendiri, bukannya yang boleh mendatangkan kemudaratan kerana perkara ini juga boleh dikategorikan sebagai perkara yang menghampiri dengan membunuh diri sendiri atau orang lain. Malahan setiap ulama telah sepakat bahawa apa sahaja penyebab bahaya yang menjurus kepada kehancuran adalah wajib untuk ditinggalkan.
SUKAN YANG TIDAK
MELALAIKAN
Sukan adalah di antara hiburan yang digemari ramai pada masa kini, adalah menjadi satu kelaziman bagi setiap insan menyukai perkara-perkara yang menghiburkan hati, tetapi sebagai seorang Muslim atau Muslimah mestilah membatasi setiap perkara yang hendak dibuat agar selaras dengan hukum syarak. Maka jika sekiranya sukan yang hendak diikuti itu antara perkara yang melalaikan dan boleh menyebabkan seseorang tersebut meninggalkan kewajipan atau tanggungjawabnya, seperti meninggalkan sembahyang atau mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarganya, maka ini telah dikategorikan sebagai melanggar hukum Islam kerana ianya telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah Subhanahu Wata’ala dan tanggungjawabnya terhadap keluarganya yang mana mereka ini adalah amanah yang diberikan oleh Allah.
SUKAN YANG
MENDATANGKAN MANFAAT
Sebaik-baik sukan ialah sukan yang dilakukan ada mendatangkan manfaat sama ada kepada individu itu sendiri khasnya dan kepada masyarakat atau pada negara. Sebagai seorang insan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan akal fikiran, sudah setentunya setiap perkara yang hendak dilakukan dipertikai terlebih dahulu sama ada ianya bermanfaat ataupun tidak dan pada kebiasaannya memilih perkara yang bermanfaat adalah diutamakan. Begitu juga halnya dalam bersukan, seseorang itu haruslah memikirkan apakah manfaat yang bakal diterimanya jika dia melakukan sukan tersebut, misalnya seseorang mengikuti lumba lari atau bermain bolas epak untuk meningkatkan stamina atau menjaga kesihatan tubuh badannya, ini adalah di antara manfaat kepada individu itu sendiri.
Dengan adanya adabadab bersukan menurut Islam, dapatlah umat Islam membezakan sukan mana yang patut diikuti dan yang patut dijauhi. Malahan tiada faedah langsung jika kita bertungkus lumus bersukan dalam keadaan kita melanggar ajaran Allah Subhanahu Wata’ala dengan alasan untuk mendapatkan kesihatan kita yang stabil, sedangkan kesihatan itu pula datangnya dari izin-Nya, bagaimana kita hendak mendapat kesihatan jika Allah telah murka dengan perbuatan kita. Maka dengan itu, kesihatan mestilah bersukan selaras menurut ajaran syarak agar semua yang kita lakukan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
Kembali ke muka utama
|