Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu, 8 Julai 2009
15 Rejab 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

TINGKATAN KEWASPADAAN, KESEDARAN TINGGI DALAM MENANGANI INFLUENZA A (H1N1)

SEMUA acara dan majlis sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-63 Tahun sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat daerah-daerah telah ditangguhkan sebagai langkah berjaga-jaga, berwaspada serta mencegah penularan pandemik Influenza A (H1N1) yang sedang melanda negara. Walau bagaimanapun, Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran akan terus diadakan seperti yang dijadualkan pada petang hari Selasa malam Rabu 14 Julai 2009 dengan penumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong serta masjid-masjid dan balai-balai ibadat di seluruh negara. Penangguhan acara-acara keraian itu adalah demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dari jangkitan pandemik virus berkenaan.

Bagi kesinambungan pencegahan, pemantauan penularan H1N1 dari terus merebak di negara ini, kesemua institusi-institusi pengajian tinggi, maktab- maktab, sekolah-sekolah menegah dan rendah termasuk sekolah swasta di seluruh negara telah menjalankan langkah proaktif dalam bersama-sama mencegah penyakit tersebut. Langkah sedemikian diambil bagi meningkatkan kewaspadaan dan tahap kesihatan tinggi berikutan dengan bermula persekolahan penggal ketiga setelah bercuti hampir sebulan yang lalu. Kesemua penuntut-penuntut dan murid-murid telah menjalani pengambilan suhu badan sejurus sebelum mereka dibenarkan memasuki kelas masing-masing. Begitu juga agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta mengambil langkah-langkah pencegahan yang proaktif dalam sama-sama membendung penularan Influenza A (H1N1) itu dengan mengenakan ‘face mask’ dan menggunakan ‘hand sanitiser’.

Senario kerjasama seperti inilah yang amat mustahak dipupuk di kalangan masyarakat dan orang ramai, kerana tanpa kerjasama berterusan dari semua pihak amatlah ‘payah’ bagi kita membendung penyakit berkenaan yang kini telah menjalar ke seluruh dunia dan telah mengakibatkan ramai jiwa terkorban serta hampir ratusan ribu penduduk dunia telah dijangkiti. Fenomena yang sangat dahsyat dalam abad ini selepas dunia masih lagi dibelenggu kemelesetan ekonomi dunia sejagat. Apa lagi dengan ketiadaan vaksin untuk menyembuhkan penyakit berkenaan sehingga kini, maka peranan semua pihak di negara ini merupakan ‘kunci utama’ dalam usaha kerajaan menangani H1N1. Pihak kerajaan telah melakukan langkah-langkah pencegahan sejak dari awal lagi dan telah melakukan yang terbaik dalam menangani Influenza A (H1N1).

Setakat hari Isnin, 6 Julai yang lalu, jumlah keseluruhan jangkitan pandemik Influenza A (H1N1) di Negara Brunei Darussalam sejak dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan pada 20 Jun lalu berjumlah 164 kes. Walau bagaimanapun seramai 67 pesakit telah menamatkan rawatan bagi jangkitan berkenaan. Dalam pada itu adalah juga dilaporkan bahawa sejumlah 313 kontak terdekat pesakit virus itu telah menamatkan tempoh kuarantin.

Dengan bermulanya penggal persekolahan, Kementerian Kesihatan, agensi utama yang memegang peranan penting dalam kes H1N1 terus mengingatkan orang ramai terutama sekali ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bagi sentiasa memantau kesihatan anak- anak mereka. Kementerian berkenaan menasihatkan orang ramai seboleh-bolehnya memeriksa suhu badan dan kesihatan anak-anak mereka sebelum dihantar ke sekolah. Dalam pada itu, orang ramai boleh membantu mencegah jangkitan pernafasan dengan mengamalkan kebersihan diri yang antaranya cuci tangan kerap kali menggunakan sabun dan air serta mengeringkannya dengan menggunakan tuala pakai buang atau alat pengering tangan, gunakan tisu tangan pakai buang yang mengandungi alkohol atau gel pembasmi kuman, tutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dan buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah, elakkan mendampingi orang yang mempunyai simptom influenza dan elakkan mengunjungi tempat-tempat yang sesak.

Semogalah dengan komitmen masing-masing tanpa mengira siapa mereka dan di mana juga mereka berada di negara ini, negara kita Brunei Darussalam serta segala isi di dalamnya akan terhindar daripada malapetaka penyakit Influenza A (H1N1). Bagi sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi talian 145 pada waktu bekerja dan 8220991 di luar waktu bekerja. Sama-samalah kitani memikul tanggungjawab dengan semangat kekitaan yang tinggi kerana negara kitani kini dilanda pandemik Influenza A (H1N1).


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.