Menurutnya, Pusat Al-Islah yang terletak di Jalan Pelompong Jalan Muara itu telah diserahkan untuk dikendalikan dan ditadbir oleh BKN pada awal bulan Februari 2008.
Pusat tersebut yang dulunya dikenali sebagai Pusat Pemulihan dan Rawatan Al-Islah telah ditubuhkan pada 1 Nov 1987 di bawah pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan, kemudian pengurusan dan pentadbiran diambil alih oleh Jabatan Penjara di bawah Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri pada 15 Mac 1990.
Sistem yang digunakan sejak tahun 1990 hingga 2008 adalah berkonsepkan sistem tahanan, apabila lawatan ke atas penghuni adalah terhad, dan mereka sentiasa diperiksa jika keluar dan masuk serta makan di blok masing-masing dan terus diawasi oleh pegawai bertugas.
Bagaimanapun, setelah pusat yang kini dikenali dengan Pusat Al-Islah diserahkan kepada BKN ianya ditukar kepada konsep sistem rawatan pemulihan dilakukan secara berkumpulan, mendorong ke arah perubahan tingkah laku dan pembentukan yang positif di bawah kendalian Mayor (mereka yang pernah dirawat tetapi telah mendapat kebebasan sepenuhnya dan sudah berubah sepenuhnya).
Kini lawatan keluarga kepada penghuni juga terbuka dan penghuni juga berpeluang secara terbuka berbincang dengan Mayor mereka masing-masing.
Pusat Al-Islah adalah daripada perkataan Arab yang bererti ‘Pemulihan kepada Memulihkan’.
Antara kandungan program yang dilakukan di pusat berkenaan adalah program agama, komuniti terapeutik, kaunseling, vokasional, program kawad dan latihan jasmani, aktiviti sosial dan sukan.
Menurutnya para penghuni akan belajar Al-Qur’an, sembahyang, Ratib Al-Attas, Dikir Syarafil Anam, kuliah subuh, ceramah agama dan aktiviti keagamaan adalah antara program agama yang diberikan kepada penghuni setiap hari secara induksi selama enam bulan.
Di samping program kaunseling untuk pembentukan semula tingkah laku, pengendalian emosi dan psikologi, perkembangan pemikiran dan kerohanian, serta program kemahiran vokasional dan kemahiran bersosial juga adalah yang diberikan sepanjang masa.