PADA 15 Julai ini, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-62. Sesungguhnya kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah dikurniai seorang pemimpin dan raja yang sentiasa prihatin, pemedulian serta mengambil perhatian berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan segala lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
sebuah gerbang yang dibina dengan reka bentuk menarik memaparkan wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Selama hampir 41 tahun (1967 - 2008) baginda di atas takhta singgahsana kerajaan, baginda telah berjaya membawa Negara Brunei Darussalam ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan sehingga menjadi sebuah negara aman, makmur dan sejahtera, di samping menikmati taraf kehidupan yang tinggi.
Dalam empat dekad itu, baginda juga telah berupaya meletakkan negara ini di persada antarabangsa sebaris dengan negara-negara di dunia serta bangsa Brunei sebaris dengan masyarakat global yang lain.
Kewibawaan dan kepimpinan baginda, rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam mengecapi suasana keamanan, kesejahteraan, ketenteraman dan keharmonian yang berterusan di samping menikmati pelbagai bentuk pembangunan dan kemajuan dalam segenap aspek termasuk keagamaan, pendidikan, kesihatan, perhubungan, kemasyarakatan, keharmonian dan hubungan luar negeri yang bukan hanya tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar dan sekitarnya malah melangkaui kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini kesan yang sangat signifikan serta menyumbang ke arah mempertingkatkan lagi kualiti dan taraf hidup rakyat dan penduduk lebih-lebih lagi dalam suasana negara aman, damai, makmur dan harmoni.
Pembangunan infrastruktur semakin giat dilakukan dengan keadaan lebuh raya yang cukup baik, selamat di serata daerah selain tidak ada cukai pendapatan dikenakan, tetapi kerajaan baginda juga memberi subsidi bahan-bahan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak kenderaan dalam usaha membantu mereka yang berpendapatan rendah.
Kepimpinan dan kewibawaan baginda ini bukan sahaja di kalangan rakyat negara ini malahan pemimpin dunia menyifatkan baginda sebagai 'Raja Berjiwa Rakyat'. Sepanjang pemerintahan baginda sejak ditabalkan menjadi Sultan Brunei ke-29 pada 5 Oktober 1967, terus berusaha gigih tanpa mengenal erti penat lelah bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Baginda dikenali sebagai raja yang pemeduliaan, berkarisma dan pembina martabat bangsa. Baginda juga dihormati dan disegani oleh para pemimpin antarabangsa. Ini meletakkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang termasyhur di mata dunia.
Segenap lapisan rakyat negara ini sentiasa menunggu-nunggu perayaan bersejarah sebagai suatu perayaan tanda syukur ke hadrat Allah kerana negara dan rakyat dikurniai seorang raja yang berjaya menerajui pembangunan. Segala persiapan menyambut perayaan itu di pelusuk negara sudah rancak berjalan dengan adanya semangat kerjasama dan bersatu padu di kalangan rakyat dan penduduk negara ini.
Setiap tahun, kejayaan dalam mengungkayahkan sambutan perayaan ulang tahun hari keputeraan baginda, semua pihak agensi-agensi kerajaan dan swasta berganding bahu bagi merealisasikan semua acara yang dirancang. Kesemua ini adalah bersumber daripada talian kerjasama dan persefahaman yang terus wujud di kalangan rakyat dan penduduk negara ini.
Bermula pada 1 Julai, bendera kebangsaan kini berdiri megah di bangunan-bangunan kerajaan, jalan-jalan utama, rumah persendirian dan gedung-gedung perniagaan. Gerbang-gerbang berwarna-warni didirikan di sana sini, manakala lampu-lampu neon dipasang menghiasi sepanjang jalan di ibu negara, Bandar Seri Begawan, poster-poster bagi membarigakan dan menghimbau kesedaran rakyat terhadap perayaan itu sudah dipasang di tempat-tempat strategik. Pendek kata, segala persiapan telah diatur begitu rupa.
KEMERIAHAN terasa di daerah-daerah lain di negara ini bagi sama-sama memeriahkan ulang tahun Hari Keputeraan baginda.
Dengan integrasi masyarakat dengan kerajaan yang sedia terjalin akrab di negara ini bukan sahaja merupakan simbol perpaduan dan kesepakatan yang tinggi di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini tetapi juga membuktikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda.
Sesungguhnya keharmonian dalam beragama, bernegara dan bermasyarakat yang kita kecapi di negara ini adalah bukti yang jelas terhadap kewibawaan dan kebijaksanaan kepimpinan baginda dalam menerajui pentadbiran Negara Brunei Darussalam selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan.
Rakyat dan penduduk negara ini sentiasa berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga baginda akan dilanjutkan usia dan dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua serta kekal karar memerintah di atas Takhta Singgahsana Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan mendapat keredaan daripada-Nya. Amin Ya Rabbal'alamin.
DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK
KEKAL KARAR MEMERINTAH
DI ATAS TAKHTA SINGGAHSANA