SUKAN

Pasukan Belia Mesjid Muhammad Jamallul Alam Juara Piala Zain

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Jun. - Jaringan tunggal sepakan kencang Mohd. Azril Mohd. Ali menobatkan pasukan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam, Daerah Belait juara Bola Sepak Piala Zain Bagi Kumpulan Belia Masjid Ke-VII setelah menewaskan pasukan Belia Masjid Kampong Sinaut, Daerah Tutong dengan jaringan 1 - 0.

Pada separuh masa yang pertama, kedua-dua pasukan membuat cubaan-cubaan yang berbahaya di pintu gawang lawan masing-masing namun asakan demi asakan tidak membuahkan sebarang gol hingga berlarutan ke masa rehat.

Permainan bertambah menarik di separuh masa kedua menyaksikan pasukan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam bermain dengan garang mengasak pintu gawang lawan melalui penyerang berbisa, Mohd. Azril mengganggu pertahanan lawan.

Tekanan bertali arus yang sentiasa dilakukan oleh pasukan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam akhirnya membuahkan jaringan tunggal hasil gerakan Mohd. Azril yang dengan mudah menewaskan penjaga pintu gawang lawan di minit ke 35.

Dengan jaringan 1-0, pasukan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam lebih banyak bertahan daripada menyerang dan kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh pasukan Belia Masjid Kampong Sinaut melalui cubaan jarak jauh Mumtaz Johor di minit ke 36 namun tersasar dan kedudukan kekal memihak pasukan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam 1 - 0.

Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan akhir yang berlangung di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong ialah Persuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Datu Kerma Setia Dato Paduka Seri Awang Zainuddin bin Jalani.

Penyampaian hadiah kepada juara dan naib juara disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin.

Sementara hadiah bagi pemenang ketiga pasukan Batu Apoi Temburong dan keempat pasukan Belia Masjid Perpindahan Serasa, disampaikan oleh Pengarah Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei, SAC Ping Eng Lee.

Perlawanan Bola Sepak Piala Zain Bagi Kumpulan Belia Masjid Ke-VII bertujuan untuk mendekatkan para belia dengan masjid sambil berdakwah melalui sukan, di samping melaksanakan acara kegiatan sukan mengikut peraturan dan hukum Islam.

Kegiatan juga bertujuan menjadikan Ahli Kumpulan Belia Masjid mempunyai badan yang sihat dan cergas bagi membolehkan mereka menunaikan kehendak dan suruhan agama serta memberikan kefahaman kepada orang ramai bahawa sukan itu ada hubungan dengan agama kerana badan yang sihat dan cergas membolehkan seseorang melaksanakan ibadat dengan baik.

Di samping itu, kegiatan tersebut juga akan menambah dan mengukuhkan pengetahuan para belia dalam peribadatan dan pegangan akidah menerusi kuliah yang diberikan dan mendedahkan serta meningkatkan pengetahuan para belia masjid mengenai nilai-nilai kesihatan tubuh badan seperti mana yang dikehendaki oleh agama.


Tentera Darat Diraja Brunei Juara Menembak ABDB

PENANJONG, Rabu, 25 Jun. - Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) muncul juara dalam Pertandingan Kemahiran Menembak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 2008 atau AFSAM (Armed Forces Skill At Arms) yang berakhir di Kompleks Padang Tembak Binturan, Penanjong Garison.

Hadir di upacara penutupan pertandingan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Pada upacara itu, Yang Dimuliakan turut diberikan taklimat pertandingan sebelum dijemput ke tapak menembak pada jarak 300 meter bagi persaingan VIP Novelty Pistol iaitu Pertandingan Menjatuhkan Piring Besi Jemputan dan Menjatuhkan Piring Besi Raifal Akhir.

Pertandingan AFSAM 2008 ini bertujuan menguji kemahiran menembak peringkat individu, berpasukan dan menentukan johan antara unit-unit ABDB.

Matlamat kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat baru dan meningkatkan tahap kemahiran di bidang menembak bagi para peserta ABDB dalam menyertai pertandingan di peringkat yang lebih tinggi sama ada di kalangan individu, unit, negara dan juga antarabangsa.

Selain itu, AFSAM mengeratkan semangat setia kawan di antara anggota dan unit di dalam ABDB dan juga pasukan yang diundang dari agensi-agensi luar.

Penyertaan kali ini terdiri daripada TDDB, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Perkhidmatan Bantu ABDB, Institut Latihan ABDB dan buat pertama kalinya dari Rejimen Pasukan Khas.

Agensi luar yang dijemput sama ialah Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Penjara dan Unit Simpanan Gurkha.

ABDB juga bakal mengadakan Pertandingan Menembak Antarabangsa atau BISAM 08 (Brunei International Skill at Arms Meeting).


Penduduk Kampong Madang Sertai Senam Sihat

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Jun. - Hampir 200 orang penduduk Kampong Madang dan sekitarnya menyertai acara senam sihat anjuran Majlis Perundingan Kampong Madang, Mukim Berakas ‘A’.

Acara senam sihat yang diadakan di Sekolah Ugama Kampong Madang itu bermula dengan senaman bagi memanaskan badan yang dipimpin oleh pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan.

Seterusnya pula diikuti dengan acara walkaton bagi Kategori Lelaki dan Perempuan sejauh 2.5 kilometer yang bermula dan berakhir di Sekolah Ugama Kampong Madang.

Antara tujuan acara senam sihat itu ialah untuk menjadikan sebagai satu riadah yang menyihatkan, selain bagi menyatupadukan kalangan penduduk-penduduk kampung serta sebagai aktiviti kampung.

Kembali ke muka utama