DARI SIDANG PENGARANG

Rabu, 9 Julai 2008
6 Rejab 1429

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

KERJASAMA DUA HALA BSB - BANGKOK MANTAP

JALINAN persahabatan Negara Brunei Darussalam dan Thailand sememangnya akrab dan mesra serta telah sedia wujud sebelum lagi kedua-dua buah negara secara rasminya menjalin hubungan diplomatik pada 1 Januari 1984. Termeterainya hubungan dua hala secara rasmi sehingga membawa ke hari ini, hubungan Bandar Seri Begawan dan Bangkok semakin erat lagi mantap. Sebagai negara berjiran khususnya dalam konteks ASEAN pertalian kedua-dua buah negara terus kukuh dengan terjalinnya pelbagai kerjasama yang sedang rancak berjalan bagi faedah rakyat kedua-dua buah negara. Hubungan tradisi itu lebih terserlah dengan akrabnya hubungan kerabat diraja kedua-dua negara.

Sejarah panjang hubungan kedua negara amatlah istimewa dan sangat berjaya apalagi Brunei - Thailand akan meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan hubungan diplomatik. Sepanjang tempoh hubungan itu yang disifatkan 'harmoni, mesra, kukuh dan dewasa', kita telah dapat menyaksikan hubungan yang kuat dalam bidang perdagangan, pendidikan, perkhidmatan udara, buruh, pertahanan, penyiaran dan penerangan.

Lawatan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Samak Sundaravej selama dua hari pada 3 dan 4 Julai setentunya memupuk dan mengukuhan lagi hubungan dua hala yang juga menandakan satu lagi dimensi dalam hubungan kedua-dua negara seiring dengan perkembangan suasana baru terutama tuntutan rakyat dalam menghadapi cabaran-cabaran sosial, keselamatan, ekonomi dan politik semasa hari ini.

"Negara Brunei Darussalam terus komited melakukan yang termampu untuk mengukuhkan persahabatan tradisi kedua-dua buah negara kita dan meningkatkan kerjasama yang sangat berharga," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa meraikan Perdana Menteri Thailand di Majlis Santap Malam di Istana Nurul Iman.

Dalam bidang kerjasama perdagangan dan pelaburan, Negara Brunei Darussalam telah mengimport produk-produk berupa makanan, sementara itu eksport negara berupa bahan-bahan mentah. Statistik perdagangan kedua-dua negara semenjak 2001 - 2007 memihak kepada Brunei. Bagi tempoh enam tahun itu jumlah eksport negara ke Thailand mencecah BND3,711,600.00 (BND3.7 bilion). Eksport negara bagi tiga tahun kebelakangan ialah BND289 juta 2005, BND229 juta 2006 dan BND160 juta pada tahun 2007. Selain itu, kedua-dua negara juga menandatangani perjanjian bagi penjualan dan pembelian beras dan gula di antara kerajaan dan Brusiam Food Alliance Co. Ltd pada 8 Jun 2004.

Bagi kerjasama pendidikan pula, sejak 1994, seramai 79 orang penuntut dari negara ‘Gajah Putih’ itu menerima ijazah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD). Brunei juga menawarkan dua biasiswa tahunan kepada pelajar Thailand untuk melanjutkan pengajian di UBD, Institut Teknologi Brunei dan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah. Penandatanganan bidang kerjasama pertahanan dua hala antara BSB - Bangkok bertujuan mempertingkatkan lagi pertukaran lawatan-lawatan, kerjasama latihan pertahanan dan perkembangan dalam sumber tenaga manusia. Kerjasama lain yang dijalin antara kedua-dua negara meliputi perburuhan di mana sehingga kini seramai lebih 5,000 pekerja Thailand bekerja di Brunei, kerjasama penyiaran, penerangan, kesihatan dan perkhidmatan udara.

Lawatan Perdana Menteri Thailand walaupun singkat tetapi mempunyai signifikan yang sangat berharga dalam penjalinan kerjasama berterusan, di samping menilai dan menimbangkan cara yang baik serta praktikal untuk diterjemahkan bagi manfaat sebenar rakyat kedua-dua buah negara. Di peringkat antarabangsa terutama dalam bumbung ASEAN, sememangnya kedua negara bekerja kuat bagi kesinambungan perkembangan dan kemajuan rantau Asia Tenggara, di samping merungkai bersama dengan negara ASEAN lain terhadap pelbagai isu global bagi keamanan sejagat. Lawatan bermakna ini akan membuka lebih banyak peluang kedua-dua negara mengenal pasti kerjasama baru, di samping meningkatkan kerjasama yang sedia ada.

Kembali ke muka utama