HUBUNGAN kerjasama dan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam (NDB) dengan Malaysia semakin kukuh dan mantap sejak penubuhan hubungan diplomatik dalam Januari 1984, kerjasama di antara kedua buah negara berterusan dalam mengukuhkan dan mengembangkan pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, kesihatan, penyiaran dan penerangan, pengangkutan dan pertahanan.
Pada tahun ini (2009) merupakan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara. Kerjasama Bandar Seri Begawan - Kuala Lumpur terus diperluas dan dikembangkan bagi kepentingan rakyat masing-masing.
Lawatan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Kota Kinabalu, Sabah bermula kelmarin (3 hingga 5 Februari 2009) sesungguhnya akan membuka lembaran baru dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara jiran terdekat itu juga mempunyai pertalian persaudaraan. Tidak syak lagi lawatan itu membuka era baru hubungan kerjasama yang lebih mantap di antara Bandar Seri Begawan (BSB) dengan Kota Kinabalu.
Hubungan dua hala di antara Brunei dan Sabah berjalan dengan baik di mana kita telah menubuhkan Konsul Agung negara ini di Kota Kinabalu pada 1 November 2002.
Setahun sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat mengadakan lawatan rasmi ke Sabah pada 18 hingga 20 September 2001.
Begitu juga Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah berserta isteri beliau, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Dayang Masuyah binti Awang Japar berada di negara ini bagi menghadiri Majlis Istiadat Persandingan Pengantin Diraja di antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah pada September 2004.
Sementara itu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, ketika menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengetuai delegasi negara ini ke Sukan Borneo Kali Pertama yang telah diadakan pada 17 hingga 21 Disember 2005 di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Hajjah Faridah binti Haji Tussin telah berada di negara ini pada 14 hingga 16 Julai 2008 untuk menghadiri perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM ke-62.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Yahya bin Hussin bersama isteri serta rombongan telah membuat lawatan rasmi ke negara ini pada 15-16 November 2008. YB Datuk Seri telah mengadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM di Istana Nurul Iman pada 15 November 2008 bagi menyembahkan jemputan dari Yang Di-Pertua Negeri Sabah, TYT Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bagi Kebawah DYMM untuk bercemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Negeri Sabah.
Menurut Kementerian Hal Luar Negeri dan Perda- gangan, dalam kerjasama perdagangan, nilai import negara ini dari Sabah pada tahun 2007 adalah berjumlah BND24 juta. Ianya telah meningkat dari tahun 2006 yang berjumlah BND19 juta.
Jumlah eksport ke Negeri Sabah dari negara ini pada tahun 2007 adalah BND7 juta, meningkat dari tahun sebelumnya yang berjumlah BND0.92 juta. (lihat Jadual 1).
Di antara produk utama yang diimport dari Negeri Sabah termasuk binatang ternakan, sayur-sayuran, barang makanan, barangan buatan dan barangan kimia. Manakala, barangan buatan dan peralatan-peralatan jentera me- rangkumi barangan eksport.
Pada 15-19 Oktober 2008, sebanyak 19 buah syarikat dari negara ini telah menyertai ‘Sabah International Expo 2008’ (SIE 2008) yang berlangsung di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu. Syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang mempamerkan produk-produk hasil keluaran syarikat tempatan negara ini.
(Jadual I)
Semasa Lawatan Rasmi Kebawah DYMM ke Sabah pada 2001, baginda berkenan mencadangkan bagi pe- nubuhan Majlis Perniagaan Bersama Brunei-Sabah (JBCBS), yang seterusnya ditubuhkan pada 26 Jun 2004. Beberapa perjanjian dan MOU mengenai kerjasama perdagangan juga telah ditandatangani semasa lawatan tersebut.
Dewan Perniagaan Kebangsaan NBD telah pun dikenal pasti sebagai tumpuan utama bagi JBCBS.
Salah satu kerjasama di bawah BIMP-EAGA ialah ‘flagship projects’ bagi menghubungkan Menumbok, Sabah dan Serasa, NBD melalui perkhidmatan feri kende- raan. Projek berkenaan telah diselaraskan di dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 iaitu pembinaan Terminal Feri Kenderaan. Terminal tersebut telah pun siap pada suku empat 2008 dengan menelan belanja sebanyak BND1.6 juta.
Antara objektif pembinaan terminal tersebut adalah untuk meningkatkan kerjasama di antara NBD dengan Sabah dalam sektor pengangkutan, perniagaan dan pelancongan. Di samping itu, ianya juga akan memberikan satu pilihan alternatif kepada sistem pengangkutan yang sedia ada termasuk pilihan Pan-Borneo Highway dan seterusnya mempercepatkan masa perjalanan kargo dan rakyat NBD dan Sabah.
Satu mesyuarat mengenai operasi feri tersebut telah diadakan pada 6-7 Januari 2009 di negara ini.
NBD dan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Pertanian pada tahun 1995 yang antara lain bertujuan untuk membincangkan masalah yang berkaitan dengan sisa baki racun dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang diimport oleh NBD dari Malaysia (khususnya Sabah dan Sarawak).
Pada tahun 2007, nilai import dalam bidang pertanian NBD dari Sabah berjumlah BND6,269,212. Ianya telah meningkat dari tahun 2006 yang berjumlah BND6,035,081 (lihat Jadual II).
Di antara produk utama yang diimport dari Negeri Sabah termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, telur berbenih dan anak ayam pedaging.
(Jadual II)
Sementara itu di bidang Kerjasama Pelancongan, NBD dan Malaysia telah bersetuju untuk melancarkan usaha sama mempromosikan pelancongan melalui projek yang dikenali sebagai Pakej Borneo.
Projek ini melibatkan kerjasama di antara NBD, Sabah, Sarawak dan Labuan. Kos pembiayaan bagi mempromosikan projek ini ditanggung bersama oleh Kerajaan NBD (1/4) dan Malaysia (3/4) terdiri dari Sabah, Sarawak dan Labuan).
Apabila kita tinjau dalam Kerjasama Perkhidmatan Udara kedua-dua buah negara telah menandatangani persetujuan dalam pengangkutan udara pada 14 Februari 1992.
Pada masa ini, Penerbangan Diraja Brunei beroperasi mengadakan perkhidmatan 14 kali seminggu dari BSB, NBD - Kota Kinabalu, Sabah.
Bila ditinjau dalam kerjasama pendidikan, NBD dan Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dalam bidang pendidikan dan latihan pada 14 Februari 1992.
Seramai 107 warga NBD sedang menuntut di beberapa institusi pendidikan di Malaysia dan pada masa ini hanya terdapat seorang pelajar persendirian dari Sabah yang sedang belajar di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Sejak tahun 2000, seramai 14 pelajar dari Sabah telah dianugerahi biasiswa Ke- rajaan NBD untuk belajar di UBD. Sementara itu bilangan tenaga pengajar dari Malaysia pada keseluruhannya terdapat 460 di Negara Brunei Darussalam.
Bas komersial yang membawa pe- numpang-penumpang masuk dan keluar telah mula beroperasi pada 29 September 2008. Ianya telah dilancarkan secara rasmi pada 24 September 2008 oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
'Mid Term Review' yang komprehensif telah dilaksanakan ke atas ‘BIMP-EAGA Roadmap to Development’ bagi menilai semula perkembangan dan status program- program serta projek-projek yang ada di dalam ‘Roadmap’ berkenaan. Hasil review tersebut akan dihadapkan ke Sidang Ke- muncak BIMP-EAGA yang akan berlangsung nanti.
Perkara ini telah disahkan oleh para pemimpin BIMP-EAGA pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-3 pada bulan Januari 2007. Deklarasi ‘Heart of Borneo’ telah ditandatangani pada 12 Februari 2007 di Bali, Indonesia di peringkat menteri- menteri.
NBD telah pun melengkapkan Rangkakerja Perlaksanaan Projek bagi HoB dengan menggariskan empat strategi utama. Malaysia dan Indonesia belum lagi menyelesaikan rangka kerja projek masing-masing.
Kita yakin melalui hubungan akrab dan mesra kedua-dua pemimpin telah membolehkan BSB - KOTA KINABALU menjalin dan merencana pelbagai kerjasama kedua negara. Yang jelas juga lawatan negara bukan sahaja dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama yang sedia wujud, tetapi yang lebih praktikal me- neroka lebih banyak peluang kerjasama baru.