|
JANA GENERASI
TANGKAS DAN DINAMIK
Oleh : H.A. Manap
PENJANAAN sebuah masyarakat yang tangkas dan generasi muda yang dinamis merupakan langkah penting bagi melahirkan sebuah generasi yang kuat dan berkemampuan dalam mendepani masa depan yang lebih mencabar dan bergolak. Ketangkasan dan juga dinamisme mereka adalah merupakan asas ke arah mencipta kecemerlangan yang lahir dari kekuatan diri yang terasuh dengan kelengkapan yang mencukupi. Kelengkapan-kelengkapan diri yang disediakan pula hendaklah selari dan bersesuaian dengan perkembangan semasa yang berligar di persekitaran yang berlaku. Justeru keadaan dan juga kelengkapan diri inilah nantinya yang akan mampu menjadikan seseorang itu sebagai mekanisme masyarakat yang berguna. Mereka akan menjadi benteng yang akan menghadang sebarang gejala sosial yang boleh merosak kehidupan dan juga merubah peta sosialisme generasi itu sendiri.
Tiada siapa yang dapat menafikan lagi kumpulan yang paling tangkas dan cerdas daya fikirnya ialah di kalangan generasi muda belia. Ketangkasan ini tidak dapat dinafikan, lantaran naluri semulajadi mereka yang agresif, sensitif dan mudah bergerak. Keaktifan ini akan bertambah lagi dengan kehendak dan kemahuan yang sentiasa berkobar dan menginginkan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun jika ia dilihat dari perspektif positif ketangkasan dan kecerdasan mereka ini, boleh sahaja digunakan untuk membantu menjadi pengerak dalam mewujudkan iklim dan suasana kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
PANDANG KEHADAPAN
Memandang jauh kehadapan dalam konteks yang lebih proaktif adalah merupakan nilai-nilai yang amat diperlukan di saat-saat kita berhasrat untuk menjadikan institusi berkeluarga dan bermasyarakat di negara kita sebagai institusi yang lebih kelihatan kondusif dan dinamik dan tahan uji. Masalah sosial bukanlah merupakan masalah baru dalam ruang lingkup kehidupan bermasyarakat akan tetapi ia merupakan suatu fenomena yang akan melumpuhkan masyarakat jika tidak dikelinga dengan sebaiknya. Meskipun kita amat terdedah kepada cara kehidupan moden yang membolehkan ramai dari kita terpaksa berdepan dengan berbagai penyakit sosial, namun sebagai orang yang lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, kitalah yang sepatutnya menjaga nilai kehidupan itu. Kenapa ini perlu kita perhatikan kerana jumlah masalah sosial masa kini sudah semakin meningkat. Nilai-nilai moral jika tidak dikelinga akan bertambah menurun.
Kini kita akan tertumpu kepada pengelingaan yang lebih serius terhadap orang yang paling dekat dengan kita. Maknanya isi keluarga yang terdiri dari anak-anak, isteri dan yang lain adalah menjadi tanggungjawab kita untuk diberikan perhatian. Cabaran yang kita hadapi dalam kemelut kehidupan kita masa kini sangatlah berat. Ini bukan setakat kita memeduli soal-soal pendidikan, kesihatan, ekonomi anak-anak dan sebagainya akan tetapi tumpuan kita sekarang ini harus dilebarkan kepada bagaimana menjadikan mereka sebagai generasi yang berguna dan tidak terlibat dengan masalah sosial.
JANGAN CEMAS
Jangan merasa cemas dan panik dalam menghadapi cabaran semasa yang berlaku sekarang. Hal ini penting untuk membantu memperkuat dan mempertajam keunggulan diri. Tiada siapa yang dapat mengelak lagi, arus dan gelombang perubahan sosial masa kini, adakalanya sukar untuk bertolak ansur dengan kehidupan yang kita lalui. Sama ada kita mahu atau tidak kita tetap akan menjadi tumpuan kepada perubahan sosial yang kita lalui ini. Hiasan perubahan sosial itu sudah meliputi kepada berbagai perkara, yang ada kalanya amat membimbangkan kita semua. Menagani masalah sedemikian ini tidak sepatutnya kita bebankan kepada pihak berkenaan semata-mata. Kita perlu berperanan dalam ertikata, jangan kita relakan kehidupan dan diri kita ini menjadi mangsa kepada penyakit sosial yang merosak. Bukan mudah untuk kita lari dari ancaman dan cabaran sedemikian.
Namun kita perlu kepada generasi yang memiliki minda fikir yang mampu berdepan dengan perubahan sosial masa kini. Inilah yang akan memudahkan kita terlindung dari ancaman dan gejala sosial yang negatif dan juga jika kita mampu mendidik diri dan cara kehidupan ini dengan cara yang bersesuaian dan mempunyai kekuatan diri. Kita perlu menyesuaikan dengan kehendak beragama, kita perlu peka akan perkara-perkara yang merosak dan kita perlu bijak dalam menentukan yang baik dan buruk. Pendirian kita perlu tegas dan iltizam kita perlu kuat dalam menyatakan pendirian kita bahawa kita memilih yang terbaik dan selamat. Maknanya pendidikan dan tarbiyah agama perlu menjadi asas dan utap kita, di samping meningkatkan kesedaran berilmu pengetahuan yang tinggi.
MANFAATKAN PENGETAHUAN YANG ADA
Pendidikan yang kita miliki perlu di manfaatkan sebagai sumber ilmu yang memimpin ke arah kebaikan. Semua ini adalah kita, yang menjadi puncanya. Kerana pengkalan bagi kewujudan semua masalah dan kebaikan itu ialah kita sendiri. Kita yang mengendalikannya dan kita yang menentukannya. Di sinilah kita memerlukan kepada panduan dan pegangan yang lebih sempurna. Tentunya pendidikan dan asuhan kehidupan beragama itulah menjadi teras untuk kita jadikan sebagai sukat-sukat dalam membina hala tuju yang lebih berguna. Kita tidak perlu kepada cara yang mengasyikkan dan melalaikan kehidupan kita ini. Kita juga tidak perlu tertinggal dalam arus perubahan dan kemajuan masa kini.
Maknanya kita ada sukat-sukat dan inilah yang kita gunakan dalam menentukan bahawa perjalanan hidup adalah betul. Kalau ini yang boleh kita lakukan, mungkin kita bukan sahaja akan dapat mengurangkan masalah dan gejala sosial masa kini, akan tetapi kita akan berjaya mengwujudkan masyarakat yang sihat, bersih dan sempurna dalam menjalani kehidupan. Sekali gus kita akan berjaya melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan mempunyai kekuatan daya fikir lebih produktif. Ini yang menjadi hasrat kita melahirkan generasi muda yang memiliki minda yang positif dan mampu berfikir secara proaktif. Kita insya-Allah kalau berjaya mewujudkan iklim sedemikian akan melahirkan golongan masyarakat yang maju dan mampu menjadi model dalam persaingan dunia moden masa kini. Segalanya kita yang patut mencorakkannya kerana kita yang memilih caranya.
Kembali ke muka utama
|