Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu , 8 April 2009
12 Rabiulakhir 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

UTAMAKAN KEGIATAN SUKAN DAN RIADAH FIZIKAL

KERAJAAN Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui agensi-agensi yang berkenaan terus berusaha gigih bagi menyediakan infrastruktur, prasarana dan kemudahan-kemudahan untuk bersukan termasuk taman-taman riadah dengan laluan atau trek joging yang khas bagi kegunaan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam serta orang ramai. Kerajaan menyedari betapa pentingnya konsep kesihatan yang merupakan pelaburan penting di samping pendidikan. Sementara melihat kepentingannya itu, kerajaan terus memberikan tumpuan perkara demikian dengan mewujudkan lebih banyak prasarana sukan bagi membolehkan orang ramai melakukan kegiatan bersukan setiap hari. Kegiatan-kegiatan sukan dan riadah fizikal yang mencukupi merupakan satu aspek kehidupan yang penting di dalam mengamalkan cara-cara hidup yang sihat. Kerana tiada guna kita berupaya melahirkan anak-anak watan yang berpendidikan tinggi sedangkan lemah dari segi kesihatan.

Kepentingan kesihatan terus menjadi prioriti. Sebagai misal dalam Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012 sejumlah BND149 juta disediakan bagi membiayai 20 program yang dirancang, bahkan menjelang tahun 2035, kita berhasrat menjadikan negara kita dikenali di seluruh dunia dengan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi di kalangan 10 negara teratas dunia. Dalam Tahun Kewangan 2009-2010 bagi Kemajuan, kerajaan memperuntukkan sejumlah BND38, 128,000.00 bagi sektor perubatan dan kesihatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri mengutamakan kesihatan rakyat dan penduduk. Malah baginda sendiri sering menjadi pelopor dan 'model terbaik' yang mustahak diikuti yang sentiasa mengutamakan kesihatan. Kesihatan adalah satu anugerah yang tinggi nilainya lebih berharga dari intan berlian. Bagi sesebuah negara, kesihatan merupakan aset terpenting yang juga sebagai prasyarat utama bagi membolehkan rakyat membangun dan maju dalam serba serbi kehidupan.

Salah satu usaha yang dilakukan ialah melalui promosi kesihatan yang membolehkan seseorang individu itu menjadi lebih prihatin, berpengetahuan dan berkeupayaan dalam meningkatkan status kesihatan. Natijahnya beberapa kementerian, jabatan-jabatan kerajaan menjadikan aktiviti bersukan di kalangan pegawai dan kakitangan menjadi perkara wajib dengan mengadakan seminggu sekali kegiatan bersukan. Begitu juga persatuan-persatuan belia dan pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan mengambil langkah ke hadapan dengan sentiasa aktif mengadakan pelbagai promosi kesihatan. Memandangkan kesihatan aset terpenting, sebuah Pusat Promosi Kesihatan telah didirikan berdekatan dengan bangunan Kementerian Kesihatan dengan hasrat untuk memperkukuhkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan status kesihatan rakyat di negara melalui promosi kesihatan dan amalan cara hidup sihat.

Kementerian Kesihatan sendiri menyedari ramai penduduk yang kini menghidap penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, strok dan seumpamanya yang diakibatkan oleh pemakanan yang tidak seimbang dan kurang menjalankan aktiviti bersenam dan beriadah. Ini mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi dengan memperuntukkan jumlah kewangan yang tinggi pada setiap tahun. Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan menjalankan pelbagai langkah dan program- program yang bersesuaian bagi memberikan kesedaran kepada orang betapa pentingnya mengutamakan kesihatan dalam kehidupan harian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dalam Titah Perutusan dalam buku program Kejohanan Badminton Piala Penaung Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam Ke-9 Tahun 2009 bertitah menekankan bahawa kegiatan-kegiatan sukan dan riadah fizikal yang mencukupi merupakan satu aspek kehidupan yang penting di dalam mengamalkan cara hidup yang sihat.

"Para ibu bapa juga memainkan peranan yang penting bagi menyerapkan amalan bersukan dan beriadah fizikal ke dalam kehidupan anak-anak mereka daripada awal lagi demi membantu membina generasi muda yang lebih sihat kerana ini akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Beta berharap bahawa aktiviti berunsurkan sukan serta riadah fizikal akan dapat diteruskan lagi dalam kita membina generasi baru yang sihat, cergas dan berupaya untuk memajukan negara," titah baginda.

Maknanya, menjaga dan mengekalkan kesihatan merupakan tanggungjawab setiap anggota masyarakat, kerana melalui kesedaran sedemikian, insya-Allah akan memperkukuhkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan status kesihatan rakyat dan sekali gus aset utama dalam memudahkan proses membangun bangsa dan negara. Begitu juga semua pihak hendaklah bersikap lebih proaktif dengan mempromosikan kesihatan bagi mewujudkan konsep 'Health Is Everyone's Bussiness' dapat diserapkan dalam masyarakat Brunei.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.