|
Usaha-usaha Ke Arah Mencapai
Sara Diri Pengeluaran Beras
Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn
BERKAT kepimpinan dan penglibatan peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam projek ke arah mencapai sara diri dalam pengeluaran beras, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama melalui Jabatan Pertanian telah mewujudkan satu momentum ke arah mencapai sasaran jangka pendek dan sederhana iaitu 20 peratus keperluan beras negara pada tahun 2010 dan 60 peratus menjelang 2015 (rajah 1).
Jabatan Pertanian berkata dalam mencapai sasaran-sasaran tersebut, Jabatan Pertanian telah pun mengambil kira faktor-faktor berikut, iaitu: kesesuaian kawasan bagi penanaman padi, kesediaan tapak tersebut untuk ditanami dan tahap pengeluaran sehektar.
Di samping cabaran-cabaran ini, jabatan juga perlu mengenal pasti kawasan tapak baru yang sesuai untuk penanaman dalam tempoh masa yang singkat. Ini bermakna meningkatkan produktiviti tanaman dalam kawasan yang sedia ada menjadi elemen yang sangat penting.
Kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti bagi mencapai sasaran jangka pendek adalah sebanyak 2,360 hektar seluruh negara iaitu bagi kawasan Brunei Muara ianya termasuk Wasan dengan 230 hektar dan Bebuloh 200 hektar dan bagi Daerah Belait 1,000 hektar yang ditempatkan di Lot Sengkuang. Sementara itu bagi Daerah Temburong, kawasan-kawasan ini termasuk 700 hektar di Lekiun/Perdayan, 150 hektar di Selapon dan 80 hektar di Senukoh (rajah 2).
Beberapa kawasan yang dikenal pasti bagi mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu:
Sejumlah 6,175 hektar diperuntukan bagi kawasan yang terlibat dalam pelan jangka sederhana. Ini termasuklah kawasan Daerah Brunei Muara 1,000 hektar bagi kawasan Limau Manis di samping 230 hektar di Wasan dan 200 hektar di Bebuloh. Bagi Daerah Belait, kawasan-kawasan yang terlibat ialah Lot Sengkuang dan Buau masing-masing 1,000 hektar, sementara Kandol 600 hektar dan Labi Baru 260 hektar (rajah 3).
Sementara itu bagi Daerah Tutong, ianya termasuk kawasan Supon Kecil sebanyak 955 hektar, manakala di Daerah Temburong, kawasan-kawasan yang terlibat ialah 700 hektar di Lekiun/Perdayan, 150 hektar di Selapon dan di Senukoh sebanyak 80 hektar.
PELAN TINDAKAN
Untuk mencapai sasaran pengeluaran ini dalam rangka masa yang ditetapkan, Jabatan Pertanian telah merangkakan beberapa pelan tindakan yang mana termasuk
• mengenal pasti kawasan sesuai bagi pengeluaran beras berskala komersial yang mengambil kira jenis-jenis tanah, topografi tanah dan sumber air;
• meningkatkan infrastruktur ladang seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran serta meratakan kawasan;
• penggunaan jenis padi berhasil tinggi yang mana boleh ditanam dua kali setahun dengan hasil tuaian minimum sebanyak tiga tan metrik sehektar semusim serta mempunyai rasa yang boleh diterima oleh pengguna;
• memperbaiki pengu- rusan ladang termasuk pengurusan rumpai, penggunaan baja dan pendekatan yang bersistematik dalam pengawalan penyakit dan musuh tanaman;
• memperbaiki bekalan keperluan ladang seperti baja, racun perosak dan racun rumput;
• pengalihan sistem pengeluaran beras kepada kejenteraan/mekanisasi dengan menggalakkan penggunaan jentera ladang seperti jentera meradu, jentera menanam, jentuai jenis combine, mesin pengering dan mesin pembersih padi; dan
• Bagi menampung peningkatan yang mendadak dalam pengeluaran padi, Jabatan juga merancang untuk mendirikan pusat- pusat pemerosesan padi serta stor-stor penyimpanan di setiap daerah.
KENAL PASTI
Selain daripada kawasan yang telah dikenal pasti dalam mencapai sasaran pengeluaran tempoh pendek dan tempoh sederhana, Jabatan Pertanian masih meneruskan usaha-usahanya dalam mencari kawasan baru yang boleh dimajukan. Kawasan-kawasan ini dipilih untuk dibangunkan dengan serta-merta berdasarkan penilaian teknikal yang telah dilakukan. Antara faktor utama dalam pemilihan kawasan ini adalah jarak yang dekat bagi kawasan ini kepada sumber air. Dalam menetapkan garis sempadan kawasan-kawasan ini, jabatan telah pun mengambil kira status- status tanah EDR dan/atau TOL yang berdekatan. Mengikut perancangan, kawasan-kawasan ini dijangkakan akan sedia diusahakan bagi musim penanaman bulan November nanti.
 RAJAH 1 menunjukkan sasaran tempoh pendek dan tempoh sederhana bagi kualiti beras.
 RAJAH 2 menunjukkan kawasan yang terlibat bagi pelan tempoh pendek.
 RAJAH 3 menunjukkan kawasan yang terlibat bagi pelan tempoh sederhana.
Meskipun Beras Laila sangat digemari oleh orang ramai, Jabatan Pertanian akan terus berusaha untuk menilai varieti yang lain yang lebih berpotensi berdasarkan tahap pengeluaran serta ciri-ciri agronomik yang lain. Jabatan juga akan membuat kajian penanaman di ladang serta kajian-kajian deria rasa bagi varieti-varieti yang berpotensi ini dari masa ke semasa melalui eksposisi dan kajian ladang. Jabatan Pertanian juga tidak hanya mengehadkan kajian kepada jenis padi inbred, tetapi juga padi jenis hibrid (kacukan).
Memandangkan Jabatan Pertanian telah mulai mempromosikan penanaman luar musim, peningkatan sistem pengairan dan saliran di semua ladang padi utama adalah menjadi satu kemestian. Jabatan Pertanian telah pun melantik sebuah syarikat konsultan bagi peningkatan sistem pengairan dan saliran di kawasan Wasan, Bebuloh dan kawasan-kawasan ladang di sekitarnya. Sistem pengairan dan saliran di ladang-ladang utama yang lain juga akan dipertingkatkan dalam masa terdekat ini di mana proses tawaran masih lagi dijalankan.
Selain dari mengkaji jenis padi berhasil tinggi dan peningkatan keupayaan peladang dalam pengurusan ladang, Jabatan Pertanian juga telah meneroka model pengeluaran yang lain seperti penanaman berskala komersial. Ini terbuka kepada pelaburan langsung asing bagi memastikan pengeluaran yang optimum, meningkatkan kecekapan serta keberkesanan kos. Walau bagaimanapun, pelaksanaan pendekatan ini bukanlah bermakna Jabatan Pertanian mengenepikan peladang-peladang kecil ataupun penanaman secara tradisional yang dilakukan oleh penduduk kampung. Pada kenyataannya, meningkatkan produktiviti ladang bagi peladang-peladang kecil ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik yang telah dirangka oleh Jabatan Pertanian. Usaha jabatan dalam penyaluran air ke ladang-ladang sedia ada terus menerus dibuat malah dipertingkatkan lagi. Skim-skim dukungan yang lain seperti pembekalan baja, racun rumpai, penyakit dan musuh, semaian padi dan mesin-mesin dan jentera juga masih lagi diteruskan.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan pengurusan ladang yang baik, Jabatan Pertanian juga akan memulakan sekolah ladang di semua ladang-ladang utama di keempat- empat daerah. Dalam persediaan untuk mengadakan sekolah ini, jabatan telah menghantar pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangannya untuk menjalani kursus di pelbagai institusi seperti Institut Penyelidikan Padi Filipina (PhilRice) dan Institut Penyelidikan Padi Hunan, Republik Rakyat China.
Jabatan Pertanian menganggap semua ‘stakeholders’ termasuk peranan peladang kecil adalah sama mustahak dengan yang lain. Oleh itu, jabatan akan berhubung dengan semua ‘stakeholder’ ini secara berterusan bagi sama-sama berusaha mencapai sasaran pengeluaran tahun 2010 dan 2015, dengan cara yang efisien, kos efektif dan mapan.
Kembali ke muka utama
|