Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pengisian diri iktibar di bulan Ramadan
Oleh : H.A. Manap

SAYA mengajak diri saya dan remaja belia semua untuk berkira-kira, sejauh mana nanti kita berhasil menghidupkan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Apakah sudah kita merasakan kemanisan dan kelazatan beribadat di suasana bulan yang amat berharga dalam kehidupan kita ini? Sejauh mana sudah kita mengisikan Ramadan ini? Mudah-mudahan kita tergolong ke dalam golongan orang-orang yang tidak rugi di kala mana masih ada lagi remaja belia yang lalai dan leka tanpa mengetahui bahawa Ramadan sedang bergerak meninggalkan kita dari sehari ke sehari dengan pantasnya. Remaja belia perlu melihat suasana Ramadan sebagai bulan pengisian diri yang sangat penting. Ia perlu didakap erat dan dijadikan sebagai mangkin yang akan memperkuat jati diri. Sebagai generasi remaja belia Muslim kita mempunyai tanggungjawab, untuk mengisikan diri kita dengan bekalan dan pendidikan diri yang berteraskan keislaman sejati. Kesibukan Ramadan dengan berbagai aktiviti keagamaan perlu dijadikan sebagai asas untuk memperkuat diri.

JANGAN MENYENDIRI

Remaja belia perlu menyertai jemaah lain untuk berada di masjid-masjid beriktikaf dan bersama-sama menelaah dan membaca Al-Qur'an dengan sebanyak-banyaknya mudah-mudahan dengan cara ini akan dapat membantu kita semua mengisikan diri kita dengan suatu pengisian yang akan mendapat jaminan Allah dunia dan akhirat nanti. Keseronokan-keseronokan yang ada di sekeliling kita perlu dilihat dengan lebih objektif lagi, supaya kita tidak mudah terjerumus ke lembah kelalaian dan kealpaan. Perkembangan kehidupan masa kini diadun lagi dengan kemudahan-kemudahan yang menghiburkan dan melalaikan menambahkan kerumitan untuk remaja belia 'ambak' dari kebiasaan yang sedia ada dan ada kalanya merugikan.

Pengisian di bulan ini boleh disalahgunakan dengan pengisian lepak tidak tentu arah, mundar-mandir hingga lewat malam, berhibur dengan berbagai cara dan banyak lagi, semata-mata untuk memesongkan remaja belia dari mengisikan waktu sebegini dengan lebih berguna dan bermanfaat. Ini akan ditambah lagi kelalaian untuk bersiap menyambut penghujung Ramadan bagi kedatangan bulan seterusnya dengan cara lain di saat sebahagian orang lain berlumba-lumba dan berusaha mencari-cari malam yang penuh dengan keberkatan yang hanya ada di dalam bulan Ramadan iaitu Lailatulqadar. Mahukah kita berterusan lalai dan membiarkan diri kita kosong dengan tarbiyah yang menguntungkan. Tentunya ini adalah merupakan faktor yang memang jarang mahu disentuh oleh remaja belia. Hanya mereka yang dididik dengan pembentukan peribadi dan suasana sekeliling yang merangsang ke arah pendekatan diri kepada Allah sahajalah yang boleh kita lihat dapat mencerminkan pengisian diri yang lebih bermakna.

AMBIL IKTIBAR

Pengajaran yang terdapat di bulan Ramadan terlalu besar untuk kita ambil iktibar. Menahan diri dari makan dan minum, dari sesuatu yang boleh membatalkan puasa, menahan diri dari sesuatu yang merosakkannya dan banyak lagi adalah merupakan proses pembentukan diri ke arah suatu penghasilan yang akan mewujudkan kekuatan dan keteguhan pendirian. Meskipun ianya dalam tempoh dan ketika yang tertentu untuk dilalui ianya cukup manis untuk dijadikan sebagai latihan diri yang boleh menghasilkan berbagai kemahiran. Cuba kita perhatikan apabila di bulan ini sahajalah adanya suasana menahan diri. Menahan diri dalam konteks dari makan minum, yang menjadi tegahan dan larangan semasa berpuasa, menahan diri dari perkara yang tidak berpatutan dan banyak lagi adalah merupakan cara dan satu metodologi yang boleh melahirkan seorang insan yang berwibawa dan berkualiti tinggi. Remaja belia harus menyedari sebagai kelompok yang selalu menjadi sasaran dan mangsa perubahan dan pengaruh, tentu latihan di bulan Ramadan ini dapat dijadikan sebagai utap diri yang kukuh.

UTAP DIRI

Pengaruh sosial misalnya seperti gejala dadah, pergaulan bebas, ponteng sekolah, nakal dan banyak lagi mungkin dapat dielakkan dengan mudah kerana dengan adanya latihan diri semasa berpuasa. Seandainya belia-belia sudah memegang jawatan ataupun sudah bekerja, tentu ini akan dapat membantu mempertingkatkan keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih amanah dan kejujuran yang tinggi. Bukankah jika ini terhasil dan diwujudkan dari tarbiyah Ramadan kita akan melahirkan generasi yang bagaikan matahari menyinari alam. Sejarah telah membuktikan di kalangan sahabat Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah terdiri dari golongan remaja belia yang terbentuk dengan pengisian diri yang mempunyai akidah dan pendirian yang teguh, mereka adalah generasi yang bagaikan matahari menyinari alam.

Kekuatan daya fikir mereka, kejernihan hati nurani mereka, kekukuhan akidah mereka dan keberanian mereka mengharungi kehidupan tidak boleh persoalkan dengan mata kasar dan fikiran cetek yang ada pada kita. Mereka adalah generasi cemerlang yang perlu kita contohi. Kerana nilai yang dihasilkan dari bimbingan dan pengasuhan secara langsung dari Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah bagaikan mutiara yang menghiasi dunia untuk menjadi bekalan yang menghiasi perjalanan menuju ke alam Akhirat. Inilah sepatutnya yang mesti kita jadikan sebagai contoh untuk pengisian diri, dan bulan Ramadan yang kita lalui ini adalah saat dan ketika yang bertepatan untuk melakukannya. Justeru jika kita berjaya melalui dan melayari bahtera kehidupan yang bersendikan kekuatan iman, maka kita akan sekali gus melahirkan generasi pewaris yang ampuh pengaruh sosial yang negatif. Kita tidak boleh membiarkan layar bahtera kita hanya mengikut arus yang tidak menentu matlamatnya.

Kita mahu bahtera yang kita naiki berlayar menunju impian yang murni dan mulia. Ramadan kita lalui biar dengan penuh iltizam dan kekuatan diri, ia mempersiap ke arah arus dan gelombang kehidupan yang kuat, namun kita tetap kukuh dan mantap kerana terhasil dari tarbiyah bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.


Kembali ke muka utama