Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Hasrat Negara

HASRAT NEGARA



SABDA Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bersempena Bulan Ramadan 1430 Hijrah / 2009 Masihi, pada hari Isnin, 3 Ogos 2009 bersamaan 12 Syaaban 1430, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Hampirkan diri dengan masjid di bulan Ramadan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim,

ALHAMDULILLAH, segala puji dan syukur hanyalah teruntuk Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat dan nikmat-Nya juga, meng- izinkan kita sekali lagi dapat berkumpul di majlis yang mulia lagi berkebajikan ini, iaitu Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1430 Hijrah.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Sebagaimana yang sama-sama kita maklumi, buah kurma ini adalah dihasratkan untuk juadah kita berbuka puasa.

Pengurniaan buah kurma dari Paduka Ayahanda kepada umat Islam di Negara Brunei Darussalam, tanpa mengira kerakyatan, bangsa dan umur, adalah merupakan salah satu rahmat kurnia Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita semua.

Masa berlalu begitu cepat. Dalam beberapa minggu sahaja, bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan akan kembali menemui kita.

Inilah bulan, di mana pintu rahmat dan kebaikan dibuka seluas-luasnya dan segala amal ibadah jika dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas, akan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Betapa penting dan tingginya nilai harga masa dalam kehidupan kita, sering saja dikaitkan dengan ungkapan 'Masa itu emas'.

Dalam Islam, kepentingan masa ini telah ditekankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al 'Ashr yang mafhumnya:

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh."

Ketibaan bulan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan di mana umat Islam akan berusaha bersungguh- sungguh memanfaatkan masa, untuk meningkatkan amal ibadat, bagi meraih balasan pahala yang berlipat ganda, dan juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Maha Pencipta.

Dalam pada itu, bulan Ramadan bukan sahaja mengajar umat Islam menghargai masa, tetapi juga mendidik untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Rutin harian bagi seseorang Muslim dan Muslimah di sepanjang bulan Ramadan umpamanya, telah diatur dengan ketepatan masa untuk bersahur, bersungkai dan melaksanakan amal ibadat.

Salah satu kegiatan yang digalakkan dilakukan di bulan Ramadan ialah menghampirkan diri dengan masjid.

Kita merasa bersyukur, dengan kehadiran para jemaah untuk menunaikan Sembahyang Tarawih, di masjid-masjid di negara ini.

Demikian juga dengan kegiatan-kegiatan keugamaan yang diungkayahkan oleh kebanyakan masjid di bulan Ramadan.

Sehubungan ini, kita ingin melihat bahawa lebih banyak lagi kegiatan keugamaan dan kebajikan akan dapat dilaksanakan, khususnya dalam membawa generasi muda meng- imarahkan masjid-masjid, terutama di bulan Ramadan ini nanti.

Oleh yang demikian, maka sama-samalah kita merebut peluang yang ada pada bulan Ramadan nanti, dengan menggunakan masa dengan bijak, mengatur segala kegiatan yang berkebajikan yang hendak dilakukan di bulan yang mulia lagi mubarak itu.

Rancanglah masa untuk bermunajat, bermuhasabah diri dan berfikir tentang kebesaran ciptaan Ilahi.

Di samping itu, kita perlu juga merancang masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat.

Mengenai pengagihan buah kurma kurnia pula, saya berseru kepada semua para petugas yang telah diamanahkan, supaya akan dapat merancang dan mengatur strategi dengan bijak, agar pengagihannya berjalan dengan lancar dan sampai kepada penerima- penerimanya tepat pada masanya.

Dalam kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultah Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta semua jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang telibat dalam pengurusan dan pengendalian pengagihan kurma kurnia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kembali ke muka utama