|

Sabtu, 5 September 2009
15 Ramadan 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
AL-QUR'AN SUMBER KEKUATAN, INSPIRASI UMAT ISLAM
NEGARA Brunei Darussalam akan memperingati Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada hari Isnin, 6 September 2009. Sesungguhnya sambutan tersebut adalah menjadi satu tradisi bagi kita di Brunei yang diadakan saban tahun bagi memperingati turunnya Al-Qur’an pada setiap malam 17 Ramadan. Ternyata turunnya Al-Qur’an telah dapat menerangi seluruh alam dari keadaan kegelapan, kerana sifatnya kitab Allah itu tetap membawa cahaya yang bersinar-sinar, lagi bergemerlapan. Membawa cahaya iman dan cahaya kebenaran daripada kebatilan serta cahaya ilmu yang berjaya mengubah kehidupan yang cemerlang daripada sebarang kesesatan dan kejahilan. Menjadikan kehidupan manusia lebih bertamadun, sopan dan mulia.
Kalau kita berbalik kepada sejarah, sebelum turunnya Al-Qur’an ke dunia semesta ianya dipenuhi dengan warna-warni kehidupan nafsu-nafsi, keganasan, kemaksiatan dan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata yang sebenar siapa yang kuat akan lebih berkuasa dan menindas yang miskin serta menghukum sesuka hati menurut peraturan dan undang-undang yang dicipta sendiri. Pendek kata tidak ada satu sistem kehidupan yang benar-benar dominan yang boleh menjadi pelindung dan penyelamat. Namun setelah turunnya Al-Qur’an semuanya telah berubah, semua menjadi aman, sejahtera dan bahagia, akan tetapi kalau kitani perhatikan dalam era global ini, masih saja wujudnya penindasan dan tingkah laku yang bertentangan dari norma-norma kehidupan sebenar yang berfalsafahkan kasih sayang, bersopan santun dan keakraban yang sejati.
Kitab suci yang penuh hikmat dan rahmat telah berjaya menisbahkan antara yang hak dan dengan yang batil, dan antara iman dengan kufur. Pendek kata Al-Qur’an telah dapat memecahkan kekusutan dan kebuntuan fikiran manusia terhadap nilai-nilai yang baik dan murni. Dari sanalah titik tolak manusia dapat mengenal pasti yang telah dibawakan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Selama lebih daripada 1,000 tahun, Al-Qur’an itu sudah pun teruji. Tidak ada suatu ajarannya yang dapat diperkecilkan oleh sebarang penemuan baru hingga ke hari ini. Walaupun banyak percubaan-percubaan orang untuk merosakkan imejnya, namun Al-Qur’an tetap tidak terjejas dan malahan percubaan-percubaan musuh Islam ke arah itu gagal sama sekali untuk menghancurkan Al-Qur’an itu sendiri.
Namun alhamdulillah di negara kita, kesedaran Islam kepada kitab suci Al-Qur’an itu semakin berkembang dengan adanya galakan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah menyediakan beberapa prasarana, kemudahan untuk mempelajari Al-Qur’an kepada semua golongan umat Islam dari sejak kanak-kanak lagi hingga membawa ke warga emas. Dalam erti kata yang luas kerajaan menggalakkan pembacaan Al-Qur’an dikembangluaskan ke seluruh pelusuk tanah air dengan hasrat semua orang Islam di negara ini besar damit akan dapat membaca dan menguasai Al-Qur’an. Malah kerajaan juga menggalakkan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan memulakan dengan membaca Al-Qur’an setiap hari sebelum memulakan tugas. Ini sudah menampakkan betapa kerajaan memang serius bagi menjadikan setiap orang Islam pandai membaca Al-Qur’an.
Untuk itu elok rasanya kita merenung akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada 2 April 2009. Antara lain baginda bertitah menjelaskan: “Adalah menjadi kewajipan negara serta keperluan bagi orang-orang Islam sendiri untuk memenuhi tuntutan fardu ain masing-masing dalam bidang pembacaan Al-Qur’an boleh saja menjejaskan amal ibadat seseorang menjadi kurang sempurna. Sebab ibadat dalam Islam itu banyak yang dilakukan dengan tulisan dan bahasa Al-Qur’an.”
Sempena kita memperingati hari bersejarah dalam kalendar Islam itu marilah mengambil manfaat dengan mengambil iktibar untuk mempertebal iman kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala berlandaskan petunjuk Al-Qur’an dan ajaran-ajaran Rasulullah sesuai dengan identiti kebruneian yang tidak kendur-kendur memuliakan Al-Qur’an dan memperteguh kehidupan beragama. Apapun sebenarnya dalam menanai hasrat negara kita sama sekali tidak dapat lari dari berbagai cabaran, kitab suci Al-Qur’an telah menyediakan kita petunjuk yang lurus lagi benar untuk dijadikan landasan dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut agar apa jua usaha kita bukan sahaja berjaya, tetapi juga diberkati oleh Allah. Setiap perbuatan atau amalan yang diberkati ia akan harakat, rakat dan berpanjangan.
Kembali ke muka utama
|