|
Pelita Brunei - Cetusan Minda
CETUSAN MINDA 44
KEPERIBADIAN UTAMA MENURUT UKURAN-UKURAN ISLAM
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara
1990 (The S.E.A Write Award 1990)
PARA ilmuwan Islam termasuklah juga sebahagian daripada pakar-pakar pendidikan dunia yang bukan beragama Islam mengatakan bahawa pendidikan Islam adalah bimbingan jasmani - rohani berdasarkan hukum-hukum agama Islam menuju kepada terbentuknya keperibadian utama menurut ukuran-ukuran Islam.
Bisaitah, kita cuba kembangkan secara ilmiah dan bertanggungjawab apa yang hendak dibicarakan dalam Cetusan Minda kali ini. Keperibadian utama di sini dimaksudkan sebagai keperibadian Muslim, yakni keperibadian yang di dalamnya terpancar nilai-nilai Islam. Nilai-nilai ini muncul dalam setiap saat, juga diguna pakai sewaktu berfikir. Nilai-nilai Islam ini pula tergambar dalam kita menentukan sikap, pendirian serta dalam berperilaku. Dengan kata lain, nilai-nilai Islam ini dijadikan paksi dalam setiap gerak baik fizikal mahupun minda untuk jadi pembimbing kita.
Melakukan bimbingan bererti memerlukan kesedaran bagi pembimbing dan dilakukan secara sedar dan penuh bertanggungjawab pula. Dalam makna, dengan suatu 'niat' dengan cara-cara tertentu dan harus memiliki pengetahuan tentang rahsia perkembangan anak didik, teori-teori pendidikan dan pengetahuan tentang Islam, serta di dalam dirinya terpancar jiwa peribadi Muslim sejati.
Dalam pendidikan Islam, 'niat' menduduki tempat terpenting. Sebab niatlah yang menentukan nilai tanggungjawab dari bimbingan yang mereka lakukan, baik bagi pembimbing mahupun anak yang dibimbing.
Namun, niat sahaja tidak cukup, kerana masalah itu hanya merupakan pekerjaan rohaniah yang berada pada awal pekerjaan mendidik atau membimbing. Diperlukan aspek lain seperti kecekapan operasi berupa sistem atau dasar pendidikan itu sendiri. Nah, di sini kepentingan institusi pendidikan yang formal. Itu satu hal.
Kemudian pendidikan Islam wajar juga melihat dari tiga sudut pandangan iaitu dari sudut individu, masyarakat, serta dari sudut individu dan masyarakat. Dari segi individu, pendidikan disifatkan sebagai suatu proses pengembangan potensi masing-masing individu atau anak. Dari segi masyarakat, pendidikan bermakna proses pewarisan budaya. Manakala dari segi individu dan masyarakat, pendidikan bermakna proses interaksi antara potensi individu yang menganggotai masyarakat dengan budaya.
Menurut pengamatan dan penyelidikan bahawa pendidikan dari segi pandangan individu beranggapan bahawa manusia di bumi ini mempunyai sejumlah atau seberkas kemampuan yang sifatnya umum pada setiap manusia. Ya, sama umumnya dengan kemampuan melihat dan mendengar, tetapi berbeza dalam pemahaman dan tahap menurut masing-masing orang seperti halnya dengan kemampuan pancaindera juga.
Dengan kata lain, pendidikan didefinisikan sebagai proses untuk menemukan dan mengembangkan kemampuan - kemampuan ini. Jadi pendidikan adalah proses manifestasi yang tersembunyi pada anak didik. Nah, dalam konteks Brunei Darussalam di sini letaknya kepentingan Islam dan Melayu untuk diterapkan kepada anak didik.
Dari segi pandangan masyarakat, diakui bahawa manusia memiliki kemampuan-kemampuan asal. Dan bahawa anak-anak damit itu mempunyai benih-benih bagi segala yang telah dicapai dan dapat dicapai oleh manusia. Ia menekankan kepada kemampuan manusia memperoleh pengetahuan dengan mencarinya pada alam di luar manusia.
Di sini mencari itu lebih merupakan proses memasukkan yang wujud di luar seorang pelajar itu. Jadi di sini dengan sendirinya pendidikan bermaksud proses pemindahan kesimpulan penyelidikan bersumber dari warisan, yang seorang tidak dapat atau tidak perlu melakukan sendiri. Nah, di sini letaknya kepentingan Islam, Melayu dan Beraja sebagai elemen hidup berbangsa dan bernegara.
Dari segi pendidikan individu dan masyarakat pula cuba melihat pendidikan sebagai suatu transaksi, iaitu proses memberi dan mengambil, antara manusia dengan lingkungannya, begitu juga pembentukan sikap yang membimbing usaha-usahanya dalam membina kembali sifat-sifat murni dan jasmaniahnya.
Lalu apa uniknya pendidikan itu jika dikaitkan dengan Islam? Dilihat dari segi individual, pendidikan Islam merupakan proses pengembangan potensi-potensi manusia yang dilandasi oleh nilai-nilai ajaran Islam.
Proses pengembangan potensi sesuai dengan petunjuk Allah itulah yang disebut sebagai 'ibadah'. Tujuan utama dalam pendidikan Islam adalah untuk mencipta manusia 'abid' yakni selalu beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Mereka selalu mengembangkan segala potensi yang dikurniakan Allah dalam kehidupan untuk berbuat kebajikan atau berdakwah bagi memantapkan pemikiran yang Islamik.
Dilihat dari segi masyarakat, pendidikan Islam merupakan proses transformasi unsur-unsur peradaban Muslim, yakni tradisi umat Islam yang terikat oleh akidah, syariah dan akhlak, dari generasi ke generasi agar jati diri umat tetap terpelihara dan boleh berkembang secara sempurna.
Sebab tanpa adanya transformasi, maka jati diri umat Islam akan luntur, malah mengalami disintegrasi dan tersingkir dari percaturan perkembangan peradapan umat lain. Nah dalam konteks Brunei Darussalam, di sini terserlah kepentingan faktor-faktor Islam dan Beraja itu.
Manakala dilihat dari segi individu dan masyarakat, pendidikan Islam merupakan proses pengembangan fitrah manusia, iaitu interaksi antara fitrah sebagai potensi yang melengkapi manusia semenjak lahir dan fitrah sebagai 'din' yang menjadi pasak tegaknya peradapan Islam.
Satu sisi fitrah tersebut dikembangkan dari dalam diri manusia sendiri, di samping ditransformasikan dari generasi ke generasi secara berkesinambungan. Di satu sisi lain pula, fitrah tersebut diterjemahkan ke dalam kehidupan manusia selanjutnya lalu diwariskan dan dikembangkan; dari generasi ke generasi, oleh masing-masing generasi, dan untuk seluruh generasi. Nah, bukankah sudah terserlah keunggulan Islam, Beraja dan Melayu itu di bumi Darussalam ini. Lalu apa lagi!
Manakala pengertian lebih lanjut pendidikan Islam dari segi individu dan masyarakat ialah proses yang selalu beroperasi dengan memperhatikan aspek-aspek individual dan lingkungan tanpa melupakan tujuan akhir penciptaan manusia oleh Allah Subhanahu Wata'ala Allah di dunia ini, iaitu 'beribadah'.
Di sini faktor pembawaan dan lingkungan menjadi perhatian utama dalam pendidikan Islam, dengan tetap menempatkan nilai ajaran Islam sebagai nafas, penggerak, dan pengawal bagi perkembangan peribadi manusia sehingga boleh menjalankan fungsi-fungsi kehidupannya secara sempurna sebagai mana telah Allah amanatkan kepadanya. Nah, nampak betapa pentingnya unsur Islam dan Beraja itu.
Membentuk manusia jati diri, bermakna tidak membiarkan manusia dalam kebimbangan dan kesesatan, di mana masing-masing individu membentuk dirinya atas kemahuannya sendiri; melainkan pembentukan yang mempunyai ciri-ciri yang jelas dan melalui strategi yang benar-benar mantap. Kita ada dan sudah sedia mantap dengan Melayu Islam Beraja (MIB). Ini yang wajar dikembangkan dan tambah dimantap-paksikan.
Ciri khas manusia sejati adalah manusia yang selalu beribadah kepada Allah, berada dalam petunjuk dan lindungan-Nya. Beribadah dalam pengertian tidak terbatas pada masalah 'ritual' semata-mata, melainkan pelbagai dimensi kehidupan, mencakupi segala kegiatan dalam hubungannya dengan individu, sosial dan 'ritual' yang dilandasi oleh nilai-nilai Islam. Apakah ini tidak terjelma dalam falsafah MIB?
Cendekiawan ulung Islam, Muhammad Iqbal, berkata bahawa pendidikan bukanlah sekadar emansipasi dari berbagai keterbatasan individu. Yang hendak dicapainya adalah penentuan peribadi yang lebih mantap. Tujuan akhirnya, bukan sekadar kegiatan intelektual, melainkan tindakan yang memperdalam keseluruhan keberadaan 'ego' dan mempertegas serta mempertajam kemahuannya, disertai keyakinan yang kreatif bahawa dunia ini bukanlah suatu yang sekadar cukup dilihat dan dikenal melalui berbagai konsep pandangan tertentu, melainkan sesuatu yang harus diciptakan dan dibuat kembali melalui kegiatan yang berkesinambungan.
Dengan keterbatasan yang dimiliki, manusia tidak akan mengendurkan tekadnya untuk meraih cita-cita yang lebih tinggi agar boleh hidup terus, tidak terpelanting dan termakan oleh arus perkembangan zaman. Malah boleh memanfaatkan perkembangan tersebut untuk kemaslahatan dirinya dan masyarakat secara umum.
Kerana kita yakin, segala sesuatu ada yang mengatur, iaitu kekuatan tertinggi yakni Allah Subhanahu Wata'ala. Tuhan telah berjanji hanya akan merubah nasib kaumnya apabila kaum tersebut bersungguh-sungguh mahu merubah dirinya sendiri.
Untuk itu, sudah sewajarnya kita bersungguh-sungguh menemukan jati diri negara bangsa lalu berusaha meraih cita-cita melalui kegiatan kehidupan. Kesungguhan mencapai cita-cita itu, MIB menjuru Negara Zikir, bermakna maksud-maksud tersebut tidak boleh datang dengan sendirinya, dan terpenuhi secara tiba-tiba kecuali diperlukan proses yang panjang melalui berbagai usaha dan kegiatan. Ya, usaha dan aktiviti berterusan dengan kesepaduan semua pihak. Sama-sama sepemandangan, sepenciuman dan keharmonian permuafakatan.
Proses penemuan diri, yang diwujudkan dengan berbagai kegiatan yang berterusan dari satu generasi ke satu generasi, dari satu abad ke satu abad, dalam konteks kehidupan berbangsa dan bernegara setentunya yang kita maksudkan ialah falsafah MIB. Nah, proses sedemikian itu tidak salah dianggap sebagai 'ibadah'.
Kenapa saya berani berkata begitu? Muhammad Iqbal berkata bahawa beribadat merupakan proses penemuan diri yang khas, di mana 'ego' yang selalu dalam usaha pencari itu, mengukuhkan dirinya tepat pada saat ia melenyapkan dirinya. Dengan demikian, ia menemukan kembali harga dirinya dan mengakuinya sebagai suatu faktor yang dinamis dalam kehidupan alam semesta.
Nah dalam konsep 'ibadah' yang hendak dituju ialah terdapat tempat bagi terjalinnya hubungan yang harmoni antara setiap individu dengan pemimpinnya, dan antara individu dengan alam semesta. Rakyat dengan raja mempunyai tujuan seiring. Raja dengan rakyat bersepakat untuk menjadikan negara MIB ini sebagai Negara Zikir. Apa peduli, orang lain kata. Ini kita, ya, kita warga Brunei Darussalam.
Bersama dan bersepadu untuk menjunjung tinggi nilai-nilai Islam. Dan hubungan ini merupakan persiapan bagi terciptanya pertautan yang kekal, iaitu dengan Allah Subhanahu Wata'ala.
Di satu pihak, 'ibadah' mendorong manusia untuk memahami dan menghargai terhadap kebudayaan, serta menyadarkan manusia untuk menggali dan mengembangkannya, kemudian merealisasikan dalam kehidupan bermasyarakat. Di aspek lain, 'ibadah' merupakan benteng terhadap berbagai kekuatan yang serba menggoda dari kehidupan moden.
Cendekiawan Islam yang bernama Muhammad Quthub pula berpendapat bahawa ibadah itu tidak terbatas hanya pada tata cara peribadatan yang telah ditentukan. Ibadah itu mempunyai makna yang lebih menyeluruh dan luas sekali, meliputi seluruh aktiviti dan bidang kehidupan, dan mencakup seluruh perbuatan. Semua aktiviti hidupnya ditunjukkan buat Tuhan, diperhatikan sekali apa yang diperbolehkan-Nya, menjaga diri dari segala yang membuat-Nya murka, dan mengerjakan segala apa yang disenangi-Nya.
Nah memang benar, dalam Islam ada konsep hisbah, yang berdasarkan prinsip 'amar bi al-ma'ruf wa nahi'an al-munkar'. Orang Islam wajib menyeru satu sama lain melakukan perkara yang makruf, yang baik, yang benar, dan melarang manusia melakukan perkara yang mungkar, yang jahat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-'Ashr ayat 1 hingga 3 yang kira-kira maksudnya:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Nah, nilai yang benar itu ialah nilai yang disampaikan kepada manusia di dalam Al-Qur'an. Nilai ini muktamad sifatnya.
Kesimpulannya, dalam konteks negara kita, Brunei Darussalam, perkembangan dan kemajuan yang berdasarkan nilai yang abadi (Islam), yang hak (Melayu dan Beraja), pasti akan membawa kepada kejayaan dan akan mewujudkan perpaduan anggota masyarakat. Lihatlah apa yang terjadi kepada negara-negara sahabat kita, sentiasa menimbulkan krisis dan pertelingkahan yang tidak habis-habis. Kita wajar ambil iktibar.
Maaf cakap, kebenaran yang hak (Islam, Beraja dan Melayu) inilah paradigma bangsa Brunei kita di bumi Darussalam ini. Dan paradigma ini tidak boleh diubah oleh apa-apa teori ilmu yang relatif atau yang berubah-ubah menurut sistem kemajuan, sistem ekonomi, sistem politik yang melanggar Sunnatullah. Kenapa?
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam antara lain bertitah bahawa: "Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah …"
Dengan petikan titah itu disudahilah Cetusan Minda kali ini. Negara MIB memang tepat untuk dijadikan Negara Zikir. Amin!
Kembali ke muka utama
|