Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya


ANDAI ITU TAKDIRNYA
Oleh : Rahimah Haji Tengah

MALAM semakin larut, namun aku masih terpaku di hadapan skrin komputer. Aku yang tadi bersemangat ingin menghabiskan semua kerja-kerjaku terhenti seketika apabila panggilan telefon yang baruku terima membuat aku berhenti dari meneruskannya.

Mindaku mula kosong. Aku tidak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Apakah perlu aku menemuinya atau ku biarkan saja dia bertarung nyawa menghabiskan sisa hidupnya.

Telefon bimbitku berkali-kali berbunyi. Sudah lebih sepuluh kali missed call dan beberapa paparan received message yang aku terima. Namun semua itu tidak pernah aku jawab mahupun membalasnya.

Tiba-tiba pintu kamarku diketuk. Kedengaran suara mama memanggil namaku. Aku mula mengatur langkah malas ku menuju ke pintu kamar. Kulihat mama dan papaku tercegat di hadapan pintu.

“Ayu … kenapa lambat sangat nak buka pintu … Ayu sakit ke?” mama mula bertanya.

“Tak adalah mama … Ayu tak sakit,” malas saja bunyi suaraku menyahut pertanyaan mama.

“Habis tu kenapa Ayu asyik berkurung saja dalam kamar. Makan pun tidak,” soal papa pula.

“Tak adalah papa … Ayu cuma hendak habiskan kerja Ayu.”

“Oklah kalau macam tu tapi Ayu cubalah makan atau minum sikit. Nanti perut kosong … hah! Lain pula jadinya,” mama cuba untuk memujukku.

Aku masih tidak berselera hendak makan. Entah kenapa lain benar perasaanku ketika ini. Aku yakinkan pada mama dan Papa bahawa aku tidak mahu makan sebaliknya aku ingin menghabiskan kerja-kerjaku sebelum aku melelapkan mata.

Penjelasanku diterima oleh mama dan papa. Sesudah mereka pergi, aku kembali menghadap skrin komputer namun aku masih tidak dapat menyiapkan kerja-kerja yang sepatutnya aku siapkan.

Telefon bimbit yang ku matikan dari tadi ku hidupkan kembali. Terdapat pesanan ringkas tertera di situ. Aku mula membaca satu per satu. Tak ada lain. Semua pesanan yang ku- terima pasti berbunyi … Ayu ... tolonglah datang ke Hospital RIPAS sekarang juga, Adam Fahmi sedang tenat ni … Dan pesanan itu pula kuterima dari teman- teman dan keluarga Fahmi.

Jam di dinding menunjukkan pukul 9.30 malam. Aku mula merasa gelisah. Apakah Adam akan pergi menghadap Ilahi. Apakah Adam akan pergi meninggalkanku atau mungkin selamanya aku tidak akan pernah lagi bertemu dengannya.

Aku mula mengambil wuduk dan mengerjakan Solat Isyak yang tadi belum ku tunaikan. Dalam doaku tidak lupa aku memohon ke hadrat Ilahi agar Adam Fahmi dapat diselamatkan.

Mindaku mula berputar pada peristiwa yang berlaku petang tadi. Sebelum pulang ke rumah, aku singgah di sebuah kedai berjual roti. Aku membeli beberapa jenis roti untuk ku- bawa pulang. Sebelum melangkah keluar, pandanganku tertumpu pada dua orang manusia yang amat ku kenali. Memang Sah! ... Mereka adalah Adam Fahmi dan Sofia.

Aku terpegun seketika melihat keakraban mereka sambil menuju ke kereta. Dari jauh kulihat Sofia tertawa mesra. Aku mencapai telefon bimbitku dan mula merakam aksi mereka. Aku juga tidak lupa mengambil gambar-gambar mereka yang penuh mesra itu.

Sesudah kereta sport Fahmi meluncur berlalu pergi. Aku mula mengatur langkahku menuju kereta. Aku mengikuti setiap jalan yang mereka lalui. Beberapa jam kemudian, kereta Fahmi berhenti di hadapan sebuah banglu agak mewah. Aku tahu itu rumah keluarga Sofia. Aku menghentikan keretaku di tepi jalan tidak jauh dari rumah Sofia. Kulihat Fahmi keluar bersama Sofia.

Berberapa minit kemudian, Fahmi pun meninggalkan pekarangan banglo Sofia. Aku terpaku seketika. Dalam hatiku berkata apakah Fahmi telah berlaku curang padaku. Dan Sofia? Siapakah Sofia dihati Fahmi. Setahu aku mereka hanya teman biasa.

Lamunanku dikejutkan dengan satu panggilan. Ternyata Fahmi yang menelefonku. Aku tidak menjawabnya. Sudah ada lima missed call dari Fahmi, namun aku masih tidak mahu menjawabnya.

“Sayang malam ni kita pergi dinner … I ada surprise buat you … love Fahmi.”

Aku menerima pesanan ringkas darinya. Sekali lagi aku tidak mahu membalasnya. Kereta yang ku- pandu beralih haluan. Aku singgah di hadapan gerai malam berhadapan dengan Kampung Ayer. Jam di tanganku sudah menunjukkan ke angka enam petang. Aku keluar dari kereta menghirup bayu segar di kawasan itu. Keadaan di situ sungguh mendamaikan hatiku seketika. Hilang rasa geramku pada Fahmi dan Sofia.

Telefon berdering lagi. Kali ini mama yang menelefonku.

“Ayu … hah! Mama ni. Kenapa belum pulang lagi. Inikan dah nak masuk solat Maghrib?” tanya mama.

“Ayu ... pergi jalan dengan kawan Ayulah mama. Janganlah risau ... nanti Ayu balik ok,” aku cuba menahan air mataku.

“Oklah kalau macam tu tapi tadi Fahmi ada telefon ... katanya dia tak dapat hubungi Ayu.”

“Oh! ... Iya ke ... tak perasan pula Ayu dia ada call,” aku membohongi mama.

“Takpelah … nanti Ayu call dia balik. OK ... bye Mama.”

“OK ... sayang ... cepat balik ya ... nanti kita makan malam sama-sama di rumah,” jawab mama lagi.

Selesai berbicara dengan mama, aku menerima panggilan dari Fahmi pula. Kali ini aku kuatkan hati untuk berbicara dengannya.

“Sayang dekat mana ni? Dari tadi I call tak dijawab pun,” manis sungguh ucapan Fahmi.

“Saya di Gerai Malam Bandar … saja nak buang stress,” balasku pula.

“Eh! ... Kenapa pula disitu … I dah reserved one dinner table di Sheraton Hotel for us … remember?” Fahmi cuba untuk mengingatkanku tentang temu janji yang telah kamu buat sejak kelmarin.

“Takpelah … you cancel saja lagi pula I dah kenyang,” balasku lagi.

“Ok ... tapi you tunggu I di situ … I’m on my way to your place,” Fahmi membalas.

Sebetulnya aku memang malas sangat hendak berdepan atau berbicara dengan dia ketika ini. Kalau boleh aku tak mahu menemuinya. Tapi desakan Fahmi membuat aku ingin bertanya apakah yang telah aku saksikan petang tadi sekadar gurauan atau sebaliknya.

Setengah jam kemudian kereta Fahmi memasuki kawasan letak kereta di kawasan gerai ini. Aku berupaya untuk bersikap biasa saja walaupun aku menyedari perbicaraan ini nanti akan mengundang kesulitan.

Fahmi mula mengatur langkah menuju di mana aku berdiri. Gerai malam semakin ramai dipenuhi oleh mereka yang ingin menjamu selera di situ. Bunyi ombak dihempas oleh perahu-perahu tambang yang masih membawa penumpang-penumpang masih kedengaran memecah keheningan malam.

“Hai … sayang,” kedengaran suara Fahmi menyapaku sambil melambai- lambaikan tangannya.

“Hai ...,” ringkas saja ucapanku. Tidak seperti selalu.

“Kenapa ni? ... macam ada masalah saja,” Fahmi memulakan bicara apabila aku mula berdiam diri.

“Takde apa-apa … biasa aje,” aku membohongi diriku.

“Eh! ... takkanlah tak ada apa-apa. Suruh I cancel dinner pula tu?” Fahmi bersuara lagi.

Aku masih membatukan diri. Aku membetulkan tudung di kepalaku. Baju kurung yang masih kupakai dari pagi mula ku rasakan tidak selesa. Maklumlah belum bertukar pakaian.

“Come on ... tell me Ayu Arissa … What’s wrong?” Fahmi bersuara lagi apabila melihat kumasih membatukan diri.

Aku masih belum mahu bersuara. Apakah perlu aku bertanya padanya andai ku tahu jawapan yang kuterima nanti akan melukakan hatiku. Tangan Fahmi mula menyentuh jari-jemariku. Aku segera melepaskan genggaman tangannya. Fahmi terkejut dengan karenahku.

“Eh! ... Kenapa ni … I’m your fiancée remember?” Fahmi cuba mengingatkanku.

“Arissa! … tell me ... did I do something wrong?” Kali ini kudengar Fahmi meninggikan suaranya. Tidak pernah pula aku mendengar Fahmi berbicara seperti itu sebelumnya padaku.

“I ... nak balik,” ringkas saja jawapanku.

Belum sempat aku melangkah, Fahmi menahanku dan memegang lenganku. Ku lihat wajah Fahmi mula berubah. Tanpa ku sedari air mataku mula mengalir ke pipi. Fahmi terkejut dengan kerenahku.

“I’m sorry Arissa ... I didn’t mean to … Ucapan Fahmi terhenti seketika apabila telefon bimbitnya mula berdering.

“Can I call you back,” ringkas saja jawapan Fahmi pada pemanggil itu.

Telefon bimbit Fahmi berdering lagi dan kali ini kedengaran Fahmi seakan memarahi pemanggilnya. Kesempatan itu kuambil untuk melarikan diri dari Fahmi. Aku berlari menuju ke keretaku tetapi Fahmi terlebih dahulu menyekatku.

“Arissa … What is wrong with you!... What have I done?” Fahmi inginkan penjelasan dariku.

Aku terhenti namun aku

tak berdaya untuk mengatakan apa yang ada dalam benak fikiranku ketika ini.

“Arissa … have you gone mad! ... answer me!” bentak Fahmi dengan nada yang tinggi.

Aku masih tidak dapat menjelaskan apa-apa padanya. Aku menghulurkan telefon bimbitku dan melihatkan adegan yang ku saksikan antara dia dan Sofia. Fahmi begitu terkejut. Dari riak wajahnya tergambar kesedihan. Aku tak pasti apakah Fahmi menyesal akan perlakuannya dengan Sofia itu.

“Arissa … I can explain. This is not what it seems,” beria-ia benar Fahmi ingin aku memahaminya. Aku masuk ke keretaku tanpa menoleh padanya. Kereta yang kupandu mula meninggalkan Fahmi. Kulihat dari jauh kereta Fahmi mula mengekoriku dari belakang.

Telefon bimbitku berdering tidak henti-henti. Aku tahu itu pasti Fahmi. Tidak semena-mena, kereta Fahmi sudah berada di hadapanku memintas laluanku. Aku terpaksa memberhentikan kereta yang kupandu. Fahmi menyuruhku keluar. Sebaik saja aku keluar, pertengkaran mula berlaku di antara kami dan ketika itu juga aku berkata pada Fahmi mahu memutuskan pertunangan kami.

Aku melihat riak wajah Fahmi mula berubah. Selepas pertengkaran itu aku tidak tahu apa yang berlaku setelah aku meninggalkannya. Sebak di dadaku tidak dapat ku tahan lagi. Begitu pedih dan kecewanya aku mengenangkan pertengkaran ini. Dan baru sebentar tadi aku menerima panggilan telefon dari ibunya mengatakan Fahmi terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Aku tersedar dari lamunan apabila telefon bimbitku berdering lagi. Kali ini ibu Fahmi mengatakan padaku bahawa Fahmi telah dapat diselamatkan dan berharap agar aku dapat menemuinya.

Namun aku tetap berkeras tidak mahu menemuinya ketika ini. Aku berbohong pada ibu Fahmi bahawa aku kurang sihat dan perlukan rehat. Ibu Fahmi memahami keadaanku. Aku cuba untuk melelapkan mataku, namun ingatan ku pada Fahmi tidak pernah luput.

Keesokan harinya aku bangun seperti biasa seolah-olah tidak ada masalah yang timbul. Hari ini aku kuatkan semangat untuk berjumpa dengan Fahmi. Biar apapun yang akan terjadi aku akan menerima dengan hati yang terbuka dan reda dengan ketentuanNya.

Aku bernasib baik kerana dibenarkan berehat di rumah setelah berjumpa doktor akibat demam panas yang kualami sejak malam tadi. Kesempatan cuti sehari itu ku buat untuk menziarahi Fahmi di hospital. Dari jauh kulihat beberapa orang teman-teman Fahmi serta keluarganya ada bersamanya. Degup jantungku berlari dengan kencang apabila mataku terpandang Sofia rancak berbual dengan ibu Fahmi.

Wajah sinis ibu Fahmi serta keluarganya membuatkan aku tidak selesa. Selepas bersalaman, aku mendapatkan Fahmi. Kulihat dia masih belum sedarkan diri. Sofia pula masih tidak mahu berganjak dari tempat duduknya berdekatan dengan di mana Fahmi berbaring.

“Arissa … boleh kita berbicara di luar?” tiba-tiba ibu Fahmi bersuara.

“Iya datin,” ringkas saja jawapanku.

Datin Suhana, ibu Fahmi membawaku berjalan menuju ke keretanya. “Kita makan ke tempat lain. Ada sesuatu yang ingin saya bincangkan.” Pemandu kereta Datin Suhana mula membukakan pintu kereta Mercedes berwarna hitam.

Setengah jam kemudian kami sudah berada di hadapan sebuah restoran mewah milik keluarga Fahmi. Aku hanya memesan fresh orange sekadar ingin membasahkan tekakku. Kulihat Datin Suhana memesan nescafe panas. Beberapa minit kemudian pelayan di restoran itu datang membawa pesanan kami.

Datin Suhana membetulkan kerongsang berlian yang ada di bajunya. Wanita ini sungguh anggun walaupun sudah berusia 50 tahun. Aku masih ingat lagi pertama kali Fahmi mengenalkanku padanya, wanita ini begitu angkuh sekali dengan kedudukannya. Aku sedar wanita ini tidak akan pernah setuju jika aku meneruskan perhubungan dengan Fahmi. Mereka dari golongan atasan mana mungkin mereka sudi menerima ku seorang gadis kampung yang miskin.

Namun atas desakan Fahmi, Datin Suhana terpaksa menerima pilihan anaknya kerana bimbang Fahmi akan meninggalkannya. Aku bukanlah cinta pertama Fahmi. Sebelum ini pun Fahmi telah mempunyai beberapa orang teman wanita yang hebat-hebat belaka. Ada model dan seleberiti terkenal, anak orang kaya, anak jutawan mahupun hartawan. Namun Fahmi tetap memilihku sebagai suri hidupnya.

Sofia pula meupakan anak teman akrab ayah Fahmi. Mereka sebetulnya ingin dijodohkan tetapi dengan kedatanganku dalam hidup Fahmi membuat perjodohan mereka dleraikan.

"Arissa ... saya minta maaf pada awak jika sekiranya apa yang hendakk saya katakan ini akan melukakan hati awak." Datin Suhana memulakan bicaranya. Aku yang masih terpaku tiba-tiba sedar dari lamunanku.

"Maksud datin?" Aku menyoalnya pula. Ternyata aku masih tidak pasti apa yang dimaksudkan olehnya.

"Begini sajalah. Saya mahu kamu putuskan pertunangan kamu dengan Fahmi tambahan pula Sofia lebih menyayanginya dan Sofia merupakan pilihan kami sekeluarga."

Terasa degupan jantungku berlari kencang. Selama dua tahun pertunangan kami berjalan lancar. Inilah kali petama aku mendengar Datin Suhana mengungkapkan bantahannya.

"Apa ... Datin pasti ... Fahmi akan setuju dengan semua ini?" Soalku lagi.

"Fahmi akan saya bawa ke luar negara untuk menjalani rawatan dan Sofia ... dia akan menemani Fahmi di situ."

Air yang ku minum terasa hendak keluar semula. aku merasa hendak meraung ketika ini tetapi aku tidak mampu. Aku mula sedar sekarang bahawa akhirnya aku akan tetap kehilangan Fahmi. Mungkin jika ditakdirkan aku lahir dari golongan berada, pasti Fahmi akan menjadi miliku selamanya.

Di awal perhubungann dengan Fahmi aku memang merasa aku akan kehilangannya walaupun ikatan yang kami bina ini amat kukuh, namun aku sedar ajal, maut dan jodoh adalah ketentuan Yang Maha Esa.

"Mari Arissa ... kita balik ke hospital," Datin Suhana bersuara lagi.

Sejak hari itu aku tidak bertemu degan Adam Fahmi lagi. Ikatan petunangan selama dua tahun tidak menjanjikan apa-apa. Ternyata adegan yang ku lihat di antara Fahmi dan Sofia suatu ketika dulu telah menceritakan segala-galanya. Aku tidak tahu apa terjadi pada Fahmi dan Sofia sekarang.

Tapi apa yang nyata aku masih dan akan terus menyintai Adam Fahmi dan perasaan itu tidak akan pernah hapus sampai bila-bila pun. Hanya cincin berlian putih pemberian Fahmi sempena pertunangan kami masih ada dalam simpananku walau cincin itu tidak lagi pernah tersarung di jari manisku.


Kembali ke muka utama