|

JBP harungi cabaran pastikan keselamatan, kesejahteraan orang ramai
Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
JABATAN Bomba Penyelamat (JBP) merupakan sebuah agensi kerajaan berperanan memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam di tahap yang tinggi.
Sebagai sebuah jabatan yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, JBP sentiasa mempertingkatkan mutu perkhidmatan ke tahap yang mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan salah satu cabaran utama jabatan itu ialah dalam menepati response time yang cepat dan tepat.
Sejak penubuhan JBP selama 50 tahun yang lalu, JBP telah menunjukkan banyak perkembangan, pembaharuan dan pencapaian lebih-lebih lagi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam usianya yang mencapai kedewasaan dan kematangan ini, JBP telah merealisasikan hasrat jabatan dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sesuai dengan visinya 'Bekerjasama Dengan Masyarakat Bagi Melindungi Apa yang Mereka Hargai' dan misinya 'Mengurangkan Kadar Kejadian Akibat Kebakaran dan Bertindak dengan Cara Profesional Bagi Menangani Apa-apa jua Panggilan Kecemasan'.
 TUGAS anggota bomba dan penyelamat masa kini dan mendatang adalah amat mencabar dan berisiko, ianya memerlukan kesegeraan untuk meresponse, ketabahan, fitness, kegigihan, pengorbanan masa dan tenaga dan ada kalanya jiwa mereka sendiri terancam demi untuk menyelamatkan nyawa yang terlibat dan harta benda.
(Foto : Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat)
Salah satu milestone yang amat ketara ialah penukaran nama Jabatan Perkhidmatan Bomba kepada JBP pada 9 Mac 2006. Penukaran nama ini telah memperluaskan skop bidang tugas jabatan ini yang tidak hanya setakat tertumpu kepada kerja-kerja konvensional seperti memadam kebakaran, malahan lebih memfokus kepada bidang tugas yang lebih mencabar dan berisiko yang menjurus dalam kerja-kerja menyelamat dan kecemasan yang kini sudah menjadi trend pada masa ini.
Ini adalah juga selaras dengan perkembangan dan kehendak semasa demi memberikan sumbangan dan khidmat bakti yang sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara. Ini termasuklah juga keramaian anggota bomba yang dahulunya hanya berjumlah 36 anggota pada tahun 1960, kini telah berkembang pesat sehingga mencapai 1,470 anggota yang terlatih dan bertaraf profesional pada masa ini.
Begitu juga dengan Bomba Wanita yang telah diserapkan ke dalam cawangan operasi dan penyelamat secara sepenuh masa sejak tahun 2006 yang berkeupayaan bertindak selaku second responder dalam memberikan perkhidmatan menyelamat kepada mangsa khususnya di kalangan kaum wanita.
SEJARAH
Menurut maklumat yang diketahui setakat ini iaitu satu Memorandum Comissioner of Police, Brunei yang ditujukan kepada The State Secretary, Brunei Ref: BP 1/28/3 bertarikh 1 Disember 1960 dengan tajuk FIRE SERVICES ada menyebutkan mengenai sejarah penubuhan pasukan tersebut pada 1 Januari 1960 dengan rasminya sebagai sebuah jabatan yang berasingan daripada Pasukan Polis dengan memindahkan seramai 36 anggota polis yang dipilih termasuk salah seorang Pegawai Polis yang berpangkat inspektor yang dilantik selaku Penguasa Bomba iaitu Inspektor Mohamad) ke Perkhidmatan Bomba di bawah pentadbiran Pasukan Polis sebagai tugas tambahan, di samping tugas utama Pasukan Polis sebagai mengawal keamanan dan keselamatan.
Setelah pasukan bomba diwujudkan dan berpisah daripada Pasukan Polis dengan tugas utamanya memadam kebakaran, menyelamat nyawa dan harta benda seperti yang termaktub dalam Akta Bomba 1966 sehinggalah dibuat pindaan Akta Perkhidmatan Bomba Pindaan 2002, skop bidang tugas JBP telah perluaskan kepada menyelamat dan menangani apa-apa jua kecemasan.
Di awal penubuhannya Pasukan Bomba telah ditadbir silih berganti oleh Pegawai Pasukan Bomba yang terdiri daripada pegawai-pegawai pinjaman yang didatangkan daripada Hongkong dan United Kingdom sehinggalah penghujung tahun 1980. Bermula pada tahun 1981, anak tempatan telah diberi kepercayaan untuk memimpin Pasukan Bomba dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengurus dan mentadbir jabatan sehinggalah sekarang. Anak tempatan pertama menjawat jawatan Pengawal Pasukan Bomba ialah Dato Paduka Awang Haji Ya'acob bin Haji Mohd. Yusof. Kini JBP di bawah pimpinan Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengarah Bomba dan Penyelamat.
Pada tahun 1987 nama Pasukan Bomba ditukar kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan seterusnya pada 9 Mac 2006 nama Jabatan Bomba ditukar kepada JBP.
Menyentuh mengenai pejabat pasukan bomba pada tahun 1960 adalah diperbuat dari tiang kayu, lantai papan, dinding kajang dan atap daun nipah didirikan terletak di belakang Balai Polis Lama berdekatan padang Besar (Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien). Dalam melaksanakan pentadbiran yang lebih efisien dan memenuhi perkembangan semasa, ibu pejabat baru telah dibina di kawasan Lapangan Terbang Lama, Berakas dan mula digunakan pada 9 Mei 1985. Di bangunan ibu pejabat ini juga menempatkan beberapa bahagian seperti Pejabat Pengarah, Timbalan dan Penolong Pengarah, Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Pencegahan Kebakaran, Pusat Kawalan, Stor dan Logistik, Bahagian Kebajikan dan Keugamaan, Unit Teknikal serta pentadbiran dan Kewangan.
CABARAN
Dalam mengharungi kemelut dunia yang tidak menentu ini, kejadian-kejadian bencana sama ada bencana alam secara semula jadi mahupun akibat kelalaian manusia semakin berleluasa. Bencana-bencana alam yang melanda negara ini seperti kejadian banjir kilat, tanah susur, angin kencang dan sebagainya sebenarnya telah menguji setakat manakah persediaan - persediaan rapi telah dilaksanakan oleh pelbagai stakeholders di negara ini di dalam kita bersama-sama menangani kemungkinan kejadian-kejadian berkenaan.
Natijah yang diperolehi daripada kejadian-kejadian ini jelas memperlihatkan bahawa kita seharusnya tidak boleh bersikap selesa atau complacent dengan keadaan pada masa ini. Dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang, usaha-usaha secara bersama dan bersepadu yang lebih bersistematik telah dipertingkatkan oleh angota-anggota JBP bagi memperkukuhkan lagi capability di peringkat masyarakat tempatan dan nasional ke arah menangani dan mengurangkan risiko bencana demi memastikan perkara-perkara dan kejadian yang lebih buruk tidak akan menimpa di negara ini.
 PASUKAN Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa musibah pada bila-bila masa dalam apa jua keadaan sekalipun.
(Foto : Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat)
Kerana itu sebagai usaha proaktif, JPB berusaha meningkatkan kerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dan agensi-agensi yang berkepentingan (stakeholders) serta sentiasa bersiap siaga dari semasa ke semasa demi untuk menghadapi apa jua sebarang kemungkinan yang di luar jangkaan. Sehubungan dengan ini, anggota-anggota jabatan ini berjaya melengkapkan diri dengan pelbagai teknologi serta kepakaran yang terkini yang lebih specialised yang menjurus kepada aspek-aspek menyelamat, yang sejajar dengan piawaian antarabangsa seperti mana yang telah digariskan oleh 'Hyogo Framework for Action (HFA) 2005-2015 : Building the Resilience of Nations and Communities to Disasters'.
Dalam pelan strategic JBP menyatakan bagi memberi kesedaran dan melengkapkan masyarakat dengan ilmu pengetahuan, tatacara bertindak sebelum, semasa dan selepas kejadian kebakaran dan lain-lain kecemasan. JBP sering berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan yang lain serta sektor swasta untuk melatih pegawai dan kakitangan di setiap agensi-agensi untuk mengelakkan sebarang kejadian yang mungkin mengakibatkan korban jiwa agar dapat melaksanakan tindakan awal oleh setiap masyarakat sebelum bantuan pihak bomba sampai.
Tugas anggota bomba dan penyelamat masa kini dan mendatang adalah amat mencabar dan berisiko, ianya memerlukan kesegeraan untuk meresponse, ketabahan, fitness, kegigihan, pengorbanan masa dan tenaga dan ada kalanya jiwa mereka sendiri terancam demi untuk menyelamatkan nyawa yang terlibat dan harta benda. Kita sebagai anggota masyarakat sentiasalah menghargai pengorbanan dan jasa-jasa anggota JBP. Selamat Menyambut Jubli Emas dan semoga maju jaya.
Kembali ke muka utama
|