Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Hutang menurut perspektif Islam

AGAMA Islam tidak melarang umatnya berhutang, walau bagaimanapun, Islam tidak menggalakkannya lebih-lebih lagi bila hutang tersebut membebankan untuk dilunaskan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasai' dari Muhammad bin Jahsy yang maksudnya :

"Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanngung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk Syurga selagi hutangnya belum dibayar."

Berhutang adalah satu perkara yang sukar untuk dihindari oleh sesetengah individu kerana mereka beranggapan hanya dengan ini sahaja mereka akan dapat memenuhi keperluan hidup, untuk menjaga nama dan kedudukan dan ada juga yang berhutang kerana tuntutan hidup yang moden dan ingin menyaingi hidup orang lain. Perubahan gaya serta perbelanjaan kehidupan yang semakin tinggi juga menguatkan keperluan untuk berhutang.

Hutang bererti memberikan sesuatu yang menjadi hak milik pemberi pinjaman kepada peminjam dengan pengembalian di kemudian hari sesuai perjanjian dengan jumlah yang sama. Menurut buku Fiqh dan Perundangan Islam pula 'Al-Qard' atau hutang dari segi bahasa bermakna 'Al-Qat'u' (potong). Dari segi istilah pula menurut Imam Hanafi, 'Qard' ialah pemberian harta 'mitsliy' (yang mempunyai unit yang sama di pasar) oleh seseorang kepada seseorang yang lain supaya dia membayarnya semula atau dalam ungkapan yang lain suatu kontrak yang khusus mengenai penyerahan harta 'mitsliy' kepada seseorang supaya orang itu memulangkan kembali harta 'mitsliy' yang sama sepertinya.

Memberi hutang hukumnya sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup, bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Manakala hukum berhutang pula harus. Walau bagaimanpun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya maka wajib ia berhutang.

Wajib memberi hutang kepada orang yang di dalam keadaan darurat. Tidak wajib pula memberi hutang kepada mereka yang kaya dan ingin menambah kekayaannya. Memberi hutang hukumya makruh jika pada 'zan' (sangkaan) bahawa hutang itu akan digunakannya dalam perkara makruh. Dan haram hukumnya jika pada 'zan' (sangkaan) bahawa hutang itu akan digunakannya dalam perkara haram.

Syarat-syarat bagi orang yang memberi hutang dan orang yang berhutang itu ada empat perkara iaitu :

1) Hendaklah ia seorang yang sudah baligh.
2) Hendaklah ia seorang yang berakal, bukannya gila.
3) Tiada tegahan baginya untuk mempergunakan hartanya. Jika orang yang memberi hutang itu ada harta, tetapi ia di tegah daripada mempergunakan hartanya itu oleh mahkamah, seperti ia seorang muflis (bankrup) maka hutangnya itu adalah tidak sah.
4) Dengan kerelaannya sendiri atau tiada ada paksaan untuk memberi hutang.
Manakala syarat-syarat bagi sesuatu yang dihutang itu hendaklah ia dari jenis barang yang sah dijual secara tempahan (salam). Syarat-syarat bagi sesuatu yang dihutang ada lapan perkara iaitu lima dari syarat barang yang dijual (mabi') dan tiga dari barang yang ditempah seperti :

1) Hendaklah ia suci : Ikan, kain, buah dan sebagainya. Bukan benda haram seperti arak, anjing, babi dan sebagainya.
2) Ada manfaatnya : Baju untuk dipakai, buah untuk dimakan, kereta digunakan untuk kenderaan dan sebagainya.
3) Dapat diserahkan : Pemberi hutang menyerahkan benda yang dihutangkannya dapat diterima oleh orang yang berhutang.
4) Ada dalam milik dan kekuasaan orang yang memberi hutang : Benda yang dihutang adalah milik pemberi hutang.
5) Orang yang memberi hutang dan orang yang berhutang mengetahui akan benda yang dihutang (muqradh) : Mengetahui nilai dan kadar benda yang dihutang seperti nilai wang ataupun jenis benda.
6) Dapat ditentukan sifat-sifat sesuatu yang dihutang (muqradh) : Menjelaskan sifat-sifat barang yang dihutang dengan sejelasnya.
7) Sesuatu yang dihutang (muqradh) itu hendaklah dari sesuatu yang tidak bercampur dengan jenis lain yang tidak dapat ditentukan : Benda yang bermacam jenis atau tidak ketahui jeninya tidak sah dibuat hutang.
8) Sesuatu yang dihutang itu tidak berubah keadaannya : Seperti hendaklah ia jangan domasuki oleh api untuk mengubah keadaanya kepada keadaan yang lain seperti barang yang dimasak, dibakar, digoreng dan direbus.

Kewajipan membayar hutang jelas terpikul dibahu orang yang berhutang. Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang-piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari dari membayarnya. Adapun orang-orang yang berhutang tetapi enggan membayarnya sedangkan mereka mampu untuk membayarnya adalah termasuk mereka yang memakan harta milik orang lain. Sesungguhnya mereka itu telah melakukan kebatilan di dalam agama dan melakukan dosa yang nyata. Umat Islam juga dinasihatkan agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali bila perlu. Jika terpaksa hendaklah ia berazam dan berniat untuk membayar hutang tersebut.

Ketika masih hidup hutang perlu dijelaskan kerana jika orang yang berhutang itu meninggalkan dunia dan tidak sempat melunaskan hutangnya, maka hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya. Orang Muslim yang mati dan meninggalkan hutang akan dikenakan hukum qishah pada Hari Kiamat kecuali pada tiga perkara orang yang berhutang untuk menghimpun kekuatannya dalam memperjuangkan agama Allah, orang yang berhutang demi menguruskan jenazah si mati dan orang yang berhutang untuk berkahwin dengan tujuan mengelak dirinya dari melakukan maksiat. Berhutang juga mempunyai hubungan dengan roh. Roh seseorang akan tergantung selagi hutangnya belum dibayar.

Perbelanjaan yang sederhana amat dituntut dalam Islam dan hendaklah ianya dilakukan menepati keperluan dengan hawa nafsu. Biarlah setiap sesen wang yang dibelanjakan bukan setakat memenuhi selera tetapi matlamat yang ingin dicapai ialah mendapat berkat dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Kita diingatkan supaya berjimat cermat dari mula lagi dan mengelakkan diri dari beban hutang kerana hari-hari mendatang memerlukan perbelanjaan. Ambillah kesempatan untuk kewajipan dan menabung serta melabur demi masa depan yang lebih terjamin. Kebijaksanaan dalam pentadbiran kewangan dan harta dan menjauhkan daripada penipuan dan riba di antara faktor penting kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


Kembali ke muka utama