|

Sabtu, 6 Mac 2010
20 Rabiulawal 1431
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
'WANG PLASTIK' - GUNAKAN DENGAN BIJAKSANA
KERAJAAN Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit atau lebih dikenali sebagai 'wang plastik'. Langkah kerajaan ini dilihat amatlah positif dan bertepatan bilamana melihat 'trend' tentang penggunaan wang kredit yang tidak terkawal dan berleluasa dan 'mudah' didapati hatta oleh mereka yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Sehingga di sudut pandang yang lain ianya menimbulkan kegawatan jika dibiarkan tanpa kawalan yang bersistematik. Namun apa pun alasannya, tindakan kerajaan sungguh tepat demi menjaga kepentingan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam pada jangka waktu yang jauh.
Bukan Negara Brunei Darussalam sahaja yang mengalami fenomena ini malah negara-negara jiran serta dunia global juga menghadapi situasi yang sama. Bagi negara kitani sendiri adalah dianggarkan berjuta-juta ringgit orang berhutang disebabkan gara-gara kad kredit yang tidak mengenal sempadan. Tetapi kalau kitani bijak menggunakannya, insya-Allah kitani tidak akan terjerat, kerana wang plastik adalah merupakan alat sahaja untuk menyampaikan hajat sama ada berjual beli dan seumpamanya sedangkan kitani yang menentukan hala tujunya.
Sebenarnya memiliki wang plastik ini tidaklah ada salahnya asalkan setiap individu itu dapat mempergunakan dengan penuh bijaksana dan berhemat. Kerana dalam zaman canggih ini, penggunaannya amatlah relevan lebih-lebih lagi di luar negara. Kebaikannya dari segi keselamatan itu sendiri di mana kitani tidaklah perlu membawa wang yang begitu banyak yang kadang-kadang menimbulkan pelbagai risiko seperti dirompak, hilang dan sebagainya. Namun di sebaliknya ianya membawa mudarat jika kita tidak mengawal penggunaan kad kredit dengan bijaksana. Tetapi biarlah kitani menggunakan kad kredit semasa dalam 'kecemasan' dan 'kegawatan', tetapi bukan sesuka hati dan menurutkan hawa nafsu, kerana akhirnya kita juga yang akan menanggung susah dan merana. Ini, kerana kita terpaksa melunaskan hutang-hutang berkenaan dengan bayaran yang tinggi termasuk 'interest' yang dikenakan oleh pihak bank setiap bulan. Dan sejak mutakhir ini, banyak pemegang-pemegang kad kredit dibawa ke makhamah kerana gagal melunaskan/membayar hutang dan kadang-kadang apa yang mendukacitakan sehingga membawa kepada perintah muflis. Kerajaan sebenarnya tidaklah mahu melihat rakyatnya dibebani dengan hutang bertimbun-timbun yang tidak berkesudahan di mana dalam erti kata yang lain membayar hutang sepanjang hayat. Memang berhutang tidak dapat dielakkan hatta sesiapa mereka sekalipun selagi kita memerlukan itu dan ini selagi itulah kita berhutang sama ada sedikit atau banyak. Namun persoalan pokoknya setiap individu perlulah pandai mengimbangi dengan kedudukan kewangan masing-masing, jangan sampai kita terjerat kepada berhutang melebihi daripada kemampuan yang ada. Ingatlah masa depan biskita dan keluarga biskita.
Ini bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 pada 23 Februari 2010. Baginda antaranya menekankan : "Kita sama-sama memahami bahawa kemewahan hidup yang bersandarkan hutang yang bertompok-tompok merupakan kemewahan yang rapuh dan malah akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang."
Maka melihat trend ini, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengambil langkah-langkah yang dikira dapat menyelamatkan rakyat dan penduduk negara dari terus terjerumus ke lembah dibebani dengan hutang yang banyak. Kerana jika tidak dibendung lebih awal mungkin sahaja akan menimbulkan pelbagai 'bencana'. Inilah sebenarnya yang kerajaan mahu elakkan, kerana kerajaan penuh percaya walaupun di peringkat awal mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan, tetapi atas dasar menjaga kepentingan awam khasnya kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini, kerajaan terpaksa serius mengambil langkah-langkah yang drastik dengan melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit. Langkah ini juga amatlah bertepatan sebagai satu strategi dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu dari tiga tiang utama Wawasan Brunei 2035.
Sememangnya kitani tidak menyangka 'musibah' yang akan menimpa kerana pada peringkat awal semua kita begitu ghairah untuk memiliki kad kredit sebagai simbol eksklusif, tetapi rupa-rupanya menjerat diri kita semua ke lembah hutang yang banyak. Tetapi masih belum terlambat untuk balik ke pangkal jalan terutama sekali bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan agar tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan kemudahan yang disediakan oleh wang plastik. Maka sama-samalah kitani beringat sebelum kena demi kesejahteraan semua pihak. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.
Kembali ke muka utama
|