Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Bentuk sikap dan pendirian diri sebaiknya
Oleh : H.A. Manap

KITA sering kali mengalami pergolakan jiwa apabila berhadapan dengan tuntutan persekitaran. Kehendak dan naluri remaja sering bertentangan dengan situasi kepimpinan, pengajaran, pendidikan, pemikiran dan sistem nilai. Remaja menghadapi kesukaran berhadapan dengan situasi sedia ada. Mereka menghadapi kontradiksi jiwa akibat percanggahan sistem nilai di sekolah dan persekitaran rumah. Remaja juga kadangkalanya keliru dalam menentukan arah hidup sendiri. Ada kalanya akal menjadi lemah berfikir, tidak berupaya menahan dan mengawal sehingga muncullah naluri yang bertindak menjadi pengarah dan pengawal bagi setiap perbuatan. Timbul pula faktor-faktor dorongan yang menyumbang kepada proses perubahan. Perubahan ini berlaku mencipta yang positif ataupun menghasilkan yang negatif. Ada kalanya perubahan yang dihasilkan dari keadaan yang tidak terarah mempercepatkan proses kehancuran dan kebinasaan seluruh diri remaja. Hal demikian disebabkan sikap remaja yang suka mengambil tahu dan mencuba segala perkara baru dalam kehidupan mereka.

Lantas remaja akan berhadapan dengan ujian besar dan terdedah kepadanya, iaitu terdedah kepada kemurkaan Allah dan terdedah kepada kemurkaan Ibu bapa. Tiada ubat dan penawar untuk menyembuhkan penyakit ini kecuali kembali ke jalan Allah. Sentiasa mengingati Allah dan menyayangi ibu bapa yang telah sekian lama mengasuh dan mendidik sambil mengharapkan kebaikan dan kesempurnaan anak-anak mereka. Ada ketikanya mengubah sesuatu keadaan bukanlah termasuk dalam jangkauan kemampuan kita kerana sebab-sebab tertentu. Namun yang jelas kita memiliki kemampuan sama ada besar atau kecil. Bagi membentangi jiwa dan pemikiran dari unsur-unsur negatif, jalan sebaik-baiknya hanyalah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak dapat menyembuhkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan kesan tersebut sedikit demi sedikit.

ISIKAN DIRI DENGAN ILMU

Di dalam Surah Ar Rad ada disebut bahawa, "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri." Untuk itu, perlunya ilmu. Remaja perlu mengisi kehidupan dengan ilmu pengetahuan dengan selalu membaca bahan-bahan berunsur ilmiah, serta membaca sirah perjuangan umat Islam yang boleh menjurus kepada kebaikan serta dijadikan contoh. Allah menerangkan yang maksudnya : "Sekali-kali Allah tidak akan membiarkan orang-orang Mukmin dalam keadaan mereka, sehingga ia memisahkan antara yang jahat dari yang baik ..." (Ali 'Imran : 179). Bagi Remaja yang tersilap langkah dalam melayari bahtera kehidupan ini, carilah jalan keluar yang diredai Allah. Ia bertujuan memupuk sifat kehambaan setelah tersedar dari kesilapan dan keenakan diulit dan dibuai rasa cinta kepada keduniaan dan rangsangan nafsu yang tidak terkawal.

Manusia remaja harus mempunyai sikap menentang dan berjuang untuk mengatasi setiap bentuk halangan dengan kesabaran seperti mana firman Allah yang mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan perkuatkanlah kesabaran kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu termasuk di kalangan orang yang beruntung …" (Ali 'Imran : 200). Tidak rugi menjadi remaja yang beriman. Hadis Nabi ada menyebut tujuh golongan yang akan dinaungi pada Hari Kiamat. Salah satu daripadanya ialah remaja yang menggantungkan hati dan dirinya di masjid. Di situlah tempat mendidik diri melakukan kebaikan seperti membaca Al-Qur'an, sembahyang berjemaah, mendengar ceramah, mempelajari ilmu agama seperti akidah dan ilmu-ilmu lain. Apabila ilmu agama sudah mula lengkap dan sempurna, di samping peningkatan keimanan kepada Allah, remaja tidak perlu lagi berasa takut pada bayang-bayang sendiri. Bagi mereka yang mempunyai pegangan iman yang teguh, mereka akan memperoleh kekuatan luar biasa yang tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata. Segala kesukaran, kepayahan atau rintangan persekitaran, dapat ditewaskan oleh kuatnya rasa yang tertanam kepada Allah.

Hal sedemikian kerana kita percaya hanya Allah sahaja yang mampu memberi keredaan dan kemanfaatan serta Dia juga yang memberi rahsia kebahagiaan ke dalam hati orang yang bahagia dengan rasa mutmainnah dan sakinah. Tidak seperti orang yang rugi, sentiasa berada dalam keresahan.

MENDEPANI CABARAN

Semua bentuk cabaran persekitaran yang kita lalui ini hendaklah diambil perhatian dan ditangani oleh semua pihak termasuk kesedaran dan kepekaan remaja itu sendiri supaya mereka menjadi generasi Islam yang mampu menjana kecemerlangan, dan ramuan penting ke arah itu ialah melalui pembentukan sahsiah dan pemupukan perpaduan di kalangan remaja itu sendiri. Telah banyak disentuh dan dinyatakan bahawa ciri sahsiah Islam yang perlu ditanamkan di kalangan generasi remaja Islam itu itu ialah beriman, berakhlak, berilmu, berupaya dan berkemahiran, memiliki jati diri, bertanggungjawab / akauntabiliti dan patuh kepada pelaksanaan dan pembinaan akhlak yang baik lagi beriman teguh. Remaja yang dikasihi hari ini dan hari esok adalah mutiara yang sangat berharga untuk dilalui, tiada siapa yang akan mampu mewujudkan kebaikan diri selain daripada kita yang sepatutnya melakukannya.


Kembali ke muka utama