Begitulah kerja-kerja penulisan yang dibuatnya pada tiap-tiap malam tanpa pedulikan isterinya yang menunggu berbaring di dalam bilik. Dia bersemangat dengan azam yang kuat di dalam hatinya. Dia mahu menjadi seorang pengarang. Sebelum kahwin dia sudah berangan-angan untuk menjadi seorang sasterawan tanah air yang digalati dan disegani. Banyak sudah karya-karya yang disiarkan. Hatinya cukup puas, setiap kali hasilnya diterbitkan di dada akhbar-akhbar. Dia bangga dan syok sendiri. Inilah cita- citanya dari sejak di bangku sekolah lagi sebagai seorang penulis berkaliber di tanah air. Liman memang serious dengan kerja-kerjanya. Kelulusannya tidak tinggi hanya setakat Darjah Enam sekolah Melayu. Oleh sebab kegigihannya lantaran banyak membaca buku dia menjadi pintar bercakap dan menulis dengan bahasa yang mendalam, di samping banyak pengetahuan dalam bahasa kiasan, perumpamaan, pantun, puisi dan lain-lain lagi mengenai sastera. Di sekolah dia banyak bergiat dengan memasuki pertandingan aktiviti sekolah yang diadakan seperti berbahas, berpidato dan lain-lain. Jarang ia kalah di dalam menyertai pertandingan tersebut. Dia berpegang teguh dengan prinsip hidup iaitu sebelum hujan sediakan payung.
Liman bekerja di sebuah pejabat kerajaan sebagai kerani dengan gaji cukup makan bersama isterinya Timah yang baru empat bulan dikahwininya dengan dasar cinta pandang pertama. Timah memang suka Liman. Kerana Liman dianggapnya seorang yang berwibawa, serba boleh dan rajin berusaha ke arah perkara yang diminatinya, terutama bidang yang sedang diceburinya. Tambahan pula Liman mempunyai ciri-ciri ketokohan seorang pemuda yang tampan dan tidak selekeh di kebanyakan pemuda yang lain di kampungnya yang suka membuang masa. Wajahnya menawan, personalitinya hebat dan susah hendak ditandingi pemuda sebaya seangkatan dengannya. Timah amat beruntung bersuamikan dengan pemuda yang boleh ditampilkan dan diketengahkan di mana-mana saja jenis majlis. Bila dalam majlis berkumpulan ada yang akan berbisik sesama sendiri bertanyakan mengenai dirinya. Liman dapat merasakan bisikan yang memuji dirinya seorang tampan dan bergaya.
Dalam tempoh yang begitu singkat kehidupan mereka sebagai suami isteri, hanya seperkara yang tidak diingini isterinya. Bahawa suaminya Liman kurang bertanggungjawab terhadap rumah tangga. Maklum sajalah bagi orang yang bercita-cita tinggi yang ingin menjadi penulis terkenal. Setiap minit masa berlalu pasti dipenuhi, Liman tidak suka membuang masa dengan tidak tentu arah. Masanya hanyalah untuk menulis dan mengarang. Dalam keadaan itu isterinya sering kali terabai. Terutama terhadap nafkah batin selaku insan yang baru kahwin. Liman tidak berapa serious mengenai hal ini. Di waktu malam ia lebih mementingkan kerja-kerja penulisannya. Dalam soal berumah tangga bagi Liman, isteri adalah perkara kedua.
Lama sudah isterinya bersabar, namun setiap malam tiba, pendekatan Liman terhadap isterinya jauh panggang dari api, dianggapnya seperti membuang masa, membuatkan Timah sering kegelisahan menunggu dan menunggu seperti menunggu buah yang tidak jatuh. Timah sering kesejukan. Malam tak berteman. Tidur seorang diri. Ada suami, suami pula tak ambil peduli. Liman pentingkan diri sendiri. Lain pula halnya kalau mempunyai cahaya mata dapatlah juga hati Timah terhibur untuk memecah kesunyian siang dan malam. Timah kini seakan putus harap. Ia menyesal mencintai Liman. Suami yang diharapkan untuk bermanja dan menyandarkan kasih sayang tidak ambil tahu. Barulah dia sedar dan faham bahawa bersuamikan orang kacak dan tampan itu tidak semestinya memberikan jaminan kepuasan dan kebahagiaan hidup. Tiap-tiap malam Timah dirundung duka sehingga bergenang air mata.
Sambil menyandarkan dirinya di atas katil dan sekali-sekala merenung ke atas dinding ceiling melayan kerenah angan-angan yang sering mengusut fikiranya. Di benaknya berkecamuk. Tidak tahu lagi apa yang harus dibuat. Setiap kali nasi dihidang untuk makan malam jarang dijamah.
Timah menanti masa yang sesuai untuk bertindak. Ia sudah cukup sabar. Batinnya meronta-ronta dan terseksa. Kehadirannya sebagai isteri hanya dijadikan sebagai tunggul yang tidak bernyawa. Kali ini dia berazam untuk berhadapan dan melawan.
Jam yang melekat didinding di hadapan katil berbunyi dua kali. Menunjukkan hari sudah jauh malam. Namun suaminya belum juga masuk tidur di sisinya. Timah resah gelisah terpisah. Ia perlahan-perlahan bangun dan berjalan ke bilik library tempat suaminya berkarya. Dilihatnya Liman masih lagi menaip untuk menyudahkan karangan yang belum siap. Timah hampa lagi, berterusan di dalam kehampaan. Kali ini benar-benar Timah berniat untuk bertindak dan memutuskan tidak mahu berfikir panjang lagi. Di dalam hatinya apa akan jadi, jadilah. Perasaannya tidak lagi boleh dibendung lagi.
Di siang hari seperti biasa selepas dari balik bekerja, di ruang tamu. Liman duduk di kerusi empuk sambil membaca surat khabar. Timah berlenggang-lengok dari dapur ke bilik tamu. Kali ini Timah memang nekad untuk melepaskan bom atom yang belum pernah digugurkannya. Bom itu akan diletupkan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke lengan tangan. Kalau boleh bom yang akan diledakkan itu biarlah mengalahkan kekuatan bom atom yang digugurkan di Jepun semasa perang dulu. Timah berdiri di depan Liman dengan muka yang merah padam dengan gayanya yang garang macam singa lapar. Ya memang singa dah lapar. Kalau boleh di saat itu juga Liman akan dimakannya sampai ketulang. Ia sudah betul-betul benci dan meluat melihat muka Liman selamba itu. Di dalam hati Timah berkata, hebat saja di luar tapi di dalam kosong tak berisi langsung. Liman yang sejak tadi membaca surat khabar itu terperanjat melihat Timah berdiri seperti orang yang dirasuk hantu.
"Hei! Bang Liman yang handsome pondan!" Timah bertengking memperli melepaskan geramnya. Liman terkejut. Tapi dapat diduganya.
"Mengapa seperti orang kena rasuk ni, Ah!" Liman menjawab sambil hairan. Kerana selama ini isterinya tidak berperangai yang kasar itu.
"Oh! Kau kata mengapa ya? Aku ingin tahu yang engkau itu bujang ke atau mempunyai perempuan simpanan lain? Selama ini aku puas sudah bersabar di dalam rumah ini, tapi kau buatkan aku seperti tunggul yang tidak bernyawa." Timah berontak dan tidak segan-segan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suaminya dan berontak lagi.
"Kau buatkan aku seperti sampah di dalam rumah ini dan kau anggap aku seolah-olah tidak wujud. Kau terlalu mementingkan dirimu sendiri sehingga kau abaikan tanggungjawabmu sebagai suami. Sudah pun kau bekerja dari pagi hingga ke petang dan malam pula kau tinggalkan diriku tidur keseorangan." Timah menangis melepaskan geram yang disimpannya berbulan-bulan sejak kahwin. Cuma itulah saja malam pertama ia hanya menggauli dirinya dan selepas itu jarang-jarang dan kadang-kadang.
"Begini saja Timah." Liman mencelah dari ketegangan itu.
"Abang tahu, maafkanlah abang dan abang berjanji tidak akan mengabaikan dirimu keseorangan lagi." Liman lembut memujuk memohon maaf. Tetapi Timah tetap berkeras.
"Maaf, maaf … itu saja lelaki tahu! Besok kau abaikan lagi." Timah tetap membentak. Walau bagaimanapun maaf Liman tetap ditolaknya. Kerana selama berkedudukan dengan Liman banyak memberi pengajaran pahit terhadap dirinya. Kali ini Timah mahu kata putus darinya. Dia tidak mahu bertolak ansur lagi. Timah inginkan kebebasan yang mutlak dan tidak mahu lagi di ikat dan dirantai seperti patung tidak bernyawa. Ia cukup bosan diperlakukan dengan penghidupan yang tidak bermakna itu. Ada suami macam tak bersuami. Ada rumah macam duduk di dalam penjara. Kali ini benar-benar ia tidak lagi tahan menunggu rumah neraka itu. Meskipun rumah cantik cukup lengkap serba-serbi sedia ada. Ia tetap tidak memberikan makna.
"Begini saja Liman!" Timah menyebut nama Liman. Tidak lagi menggunakan perkataan 'Abang', baginya memanggil 'Abang' tidak ada gunanya lagi.
"Liman seorang pengarang dan rajin bekerja siang dan malam. Itu adalah salah satu bonus Liman yang tidak boleh dipisahkan. Aku nampak saban hari waktu hari kelepasan awam dan setiap malam atau selepas dari pejabat kau begitu rajin menulis dan mengarang…" Timah terhenti kerana nafasnya semput dan tercungap-cungap. Maklumlah hujah rumusan dan penggulungan terakhir dan kali ini amat penting untuk disampaikan kepada Liman. Liman diam membisu. Mulutnya seperti dikunci. Walaupun dia seorang pemikir. Tapi dia langsung tidak punya idea untuk membalas kemarahan isterinya itu. Ia memang tahu kesalahan yang dilakukannya selama ini. Merika berdua seperti di dalam kandang bicara mahkamah tertinggi yang hanya menunggu hukuman masing-masing. Hujah-hujah yang diluahkan oleh Timah tidak lagi terjawab dan seolah-olah Liman sudah akur dan kalah di dalam bicara itu. Liman tunduk dan menyerahkan dirinya bulat-bulat untuk menerima apa saja keputusan yang dikenakan kepadanya. Timah menyambung semula kali ini dengan kalimat yang pedas seperti cili api. Ia memberi kata dua kepada Liman.
"Sekarang kau pilih satu di antara dua syarat yang kuucapkan ini, ini kali yang terakhir … CINTA kepada isterimu atau CINTA kepada CITA-CITAmu menjadi seorang penulis. Aku mahu kau menjawab syarat ini dengan fikiran yang waras. Kalau kau tidak dapat menjawab dengan perkataan dan berlagak seperti orang bisu, bererti kau memilih CITA-CITAmu menjadi penulis dan dengan erti kata kau dengan sendirinya tidak mencintai isterimu lagi."
Perkataan Timah terputus. Hatinya sebak sebal, air matanya berhemburan ke pipi setitik demi setitik macam mutiara yang baru di dapat dari laut Pulau Sari. Liman tunduk seolah-olah menahan perasaannya dari tadi. Hatinya kali ini terpukul dan cukup terguris, dia tidak tahu apa yang hendak dibuatnya untuk memilih yang mana satu syarat-syarat yang mencemaskan dirinya itu. Memang dari bujang lagi cita-citanya begitu kental untuk menjadi seorang penulis yang berbakat dan terkenal dan kalau boleh ia mahu menjadi sasterawan negara yang unggul seperti Dato (Dr.) A. Samad Said. Memang penulisan tidak dapat dipisahkan dari hidupnya. Itulah matlamat yang sebenarnya. Kerana penulisan dianggapnya satu ruang rangkaian seni yang dianugerahkan semula jadi di dalam diri dan kehidupan hariannya. Lama juga Liman berfikir untuk menentukan satu syarat yang akan dipilihnya itu. Di dalam benak Liman, dia beranggapan isteri boleh dicari di mana-mana.
Setelah berfikir tentang dua syarat yang dikemukakan. Kesimpulannya, walaupun pedih terpaksa ditahan. Ia memilih CITA-CITAnya menjadi penulis. Dengan itu ia tidak berkata apa-apa melainkan hanya membisu sebagai jawapannya.
Hampir setengah jam tidak ada jawapan yang keluar dari mulut Liman dan Liman terus membisu. Bererti terjawablah sudah syarat yang dikenakan terhadap suaminya itu.