|
Pelita Brunei - Cetusan Minda
CETUSAN MINDA 36
GOTONG ROYONG TERSERLAH
NILAI SEMANGAT BERPASUKAN
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara
1990 (The S.E.A Write Award 1990)
SALAH seorang teman memiliki sarjana pendidikan pada awal kemerdekaan, pesara Perkhidmatan Awam seperti saya, berkata bahawa kalau kita mengkaji budaya kerja orang Melayu, kita mendapati bahawa orang Melayu sangat mementingkan nilai dan semangat bekerjasama terutama apabila menjalankan sebarang pekerjaan yang melibatkan kepentingan bersama.
Pesara yang baru saja melimpasi usia 60 tahun itu kerana baru sebulan menerima pencen tua BND250.00 sebulan berbanding dengan saya yang telah menerima sejak Oktober 2007, menjelaskan bahawa istilah tradisionalnya ialah memucang-mucang atau bergotong-royong. Dalam pengurusan moden, katanya, disebut sebagai kerja berpasukan.
"Benar, ... kata saya sambil meneguk teh halia di sebuah restoran di Pekan Tutong sejurus selesai membeli barangan ulam-ulaman di tamu Sarambangun dan menyambung, "Konsep atau budaya kerjasama atau memucang-mucang orang Melayu ini terungkap dengan cakap orang tua-tua bahawa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah."
Teman saya itu, yang tinggal di Kuala Belait (lebih sembilan bulan tidak berjumpa) segera menjawab setelah sempat memuluk kueh tapai yang begitu kecil," Haji Salleh tahu, nilai memucang-mucang atau semangat bergotong-royong ini dibentuk oleh keadaan hidup berjiran bahawa kepentingan individu amat bergantung kepada sokongan dan kerjasama anggota lain dalam masyarakatnya. Ada orang mengatakan budaya ini sesuai dalam masyarakat Pertanian sahaja (maksudnya zaman bahari saja) atau masyarakat kampung. Kita bukan bercakap tentang perbedaan struktur antara masyarakat tradisional dengan masyarakat moden."
"Lalu, apa maksud anda?" tanyaku.
Teman lama saya itu menerangkan bahawa yang dimaksudkan ialah tentang nilai sosial kerja, tentang nilai kerjasama dalam kegiatan manusia untuk mencapai matlamat dan kepentingan bersama melalui organisasi, sama ada organisasi itu disebut masyarakat kampung, masyarakat bandar, jabatan kerajaan, atau syarikat swasta yang besar, namun fungsi sosialnya tetap sama.
Dalam hal ini saya pun terus teringat kata-kata yang pernah diluahkan oleh penceramah undangan luar negara mengenai pengurusan sewaktu seminar pengurusan di kalangan pegawai-pegawai kanan kerajaan (saat itu saya masih berkerja) berkata bahawa kebanyakan pekerja, terutama dalam organisasi yang besar, mungkin tidak memahami dan langsung tidak mengetahui apakah misi organisasinya, atau apakah hubungan tugasnya dengan matlamat sosial organisasinya dalam hubungannya dengan dunia luar. Dasar atau matlamat itu tidak dijelaskan kepada pekerja kerana pihak pimpinan beranggapan ini bukan masalah pekerja tetapi adalah tanggungjawab ketua pimpinan atau lembaga pengarah. Hal ini menimbulkan rasa tidak bertanggungjawab perkerja terhadap organisasinya. Motivasi sosial atau moralnya tidak ada.
Lalu seingat penulis banyaklah orang katani bercakap mengenai MBO (Management by Objective) yang begitu ghairah iaitu pengurusan yang menggalakkan pekerja mengenal pasti masalah pengeluaran atau masalah lain, kemudian menyelesaikannya kepada pihak pengurusan. Teknik ini disebut sebagai Kumpulan Kawalan Mutu dan kita ikut-ikut seronok mengenainya.
Dalam hal ini beberapa orang di antara kami meluahkan pendapat yang begini maksudnya: Kita bercakap tentang kerja berpasukan, tentang Kumpulan Kawalan Mutu (QCC), tentang sopan santun pekerja dan tentang MBO tetapi terfikirkah di kepala kita bahawa budaya nilai kerjasama, budaya kejiranan ini memang sudah terdapat dalam budaya kerja orang Melayu sejak turun temurun iaitu melalui gotong-royong atau memucang-mucang. Istilah ini mungkin berbeza namun konsep sosial dan korporatnya tetap sama.
Maka ingatan saya kembali kepada kawan saya yang sama-sama minum di Pekan Tutong yang menerangkan bahawa salah satu kesan jelek proses pemodenan masyarakat hari ini ialah, manusia makin lama makin bersifat individualistik dan materialistik, seperti berlaku di Barat, hinggakan pekerja perusahaan contohnya, tidak lagi mempunyai rasa tanggungjawab yang kental terhadap kepentingan organisasi dan masyarakatnya, terhadap jirannya, malah terhadap ahli keluarga mereka. Lalu dalam masyarakat seperti ini, soal etika kerja, moral kerja, atau soal budaya di tempat kerja tidak ada dan sukar dibina. Lalu apa jadi? Herankah kita, apabila mengadu suatu perkara maka terjadilah cakap-cakap begini:
"Tunggu, orang yang bertanggungjawab dalam hal ini belum sampai."
"Mana aku tahu, bukan tugasku!"
"Macam mana tu hah, dia berpesan, jangan dikacau dan dicampuri tugasnya."
"Baik tah jumpa terus orang di atas. Tugasku hanya diarahkan buat ani."
Semua ini menggambarkan terhakisnya proses dan semangat kerjasama. Jika pun wujud interaksi, ianya bernada tidak ikhlas, dibuat-buat atau dipaksa-paksakan! Ke mana perginya semangat kerja berpasukan?
Nah, mari kita ambil ikhtibar daripada pasukan bola sepak. Ramai orang meminati permainan bola sepak tapi berapa ramai yang dapat mengambil ikhtibar tentang semangat berpasukan yang ditunjukkan dalam permainan itu.
Ahli pasukan bola sepak yang bermain sebagai satu pasukan, akan bermain dengan sempurna dan baik, mantap serta menang dalam permainan. Sebaliknya, sesuatu pasukan akan kecundang jika pemain-pemain hanya ‘syok sendiri’ yakni tidak mempunyai semangat berpasukan dan masing-masing ingin menunjuk-nunjuk kepintaran masing-masing.
Dalam hal ini, satu bebanan dan tanggungjawab yang berat yang tidak boleh diangkat oleh seseorang, akan menjadi mudah dan ringan (lihat budaya gotong-royong) sekiranya ditangani beramai-ramai. Meskipun individu berbeda-beda, tapi semangat bersatu kental dan kukuh, nescaya beroleh kejayaan. Kemudian sebatang lidi atau tulang daun kelapa, dengan senang saja dapat dipatah-patahkan, tetapi jikalau ianya diikat menjadi sebatang penyapu lidi, nescaya kita tidak boleh mematahkannya. Jelas bahawa berkerja sebagai satu pasukan amat penting dalam apa-apa perkara pun lebih-lenih lagi perkara yang berkebajikan misalnya memucang-mucang atau bergotong-royong.
Pakar-pakar pengurusan menyatakan bahawa konsep kerjasama sangat penting dalam pengurusan dan organisasi yang mementingkan pembangunan. Takrif pengurusan yang senang tapi bernas maksudnya berbunyi, "Pengurusan ialah teknik atau proses yang mendorong manusia bekerjasama untuk mencapai matlamat (bersama) organisasinya."
Maka berkatalah tokoh-tokok korporat bahawa organisasi korporat adalah wahana, yakni struktur atau bentuk, yang digunakan bagi melaksanakan matlamat pengurusan itu. Kita sedia maklum dalam mana-mana organisasi, baik besar mahupun kecil, matlamatnya tidak dapat dicapai olah satu atau dua orang sahaja, tetapi memerlukan kerjasama semua anggota organisasi itu.
Nah, bukankah ini terpancar melalui budaya memucang-mucang atau bergotong-royong itu. Berbalik kepada cakap teman saya itu maka inilah nilai yang dimaksudkan itu. Nilai kerjasama yang ikhlas ini sesungguhnya memang amat dipentingkan oleh orang Melayu sejak dahulu lagi. Ianya terangkum dalam budaya atau sosiologi memucang-mucang atau bergotong-royong itu. Beramal secara ikhlas dan menolong secara jujur. Elok kita hayati firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Yunus ayat 26 maksudnya:
"Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta tambahan yang mulia; dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diluputi oleh sebarang kesediaan dan kehinaan."
Aduhai hari ini, nilai yang amat berharga ini, misalnya menolong secara jujur dan ikhlas yang terpancar dalam konsep gotong-royong yang bertunjangkan kerjasama, sedar atau tidak sedar, cuba dimusnahkan oleh proses pemodenan yang dilambangkan oleh organisasi korporat yang ditiru dari Barat.
Dr. Hassan Ahmad dalam makalahnya “Membina Sikap Kerja Yang Positif” (Majalah Dewan Masyarakat, Oktober 1992) berkata bahawa dalam organisasi korporat hari ini terdapat banyak tembok dan pagar yang menghalang perkembangan semangat kerjasama di tempat kerja.
Dalam bahasa Inggeris, kita selalu menggunakan perkataan “compart-mentalisation” dan “hierarchical structure” untuk mencirikan organisasi seperti ini. Manusia sering terpisah oleh tembok jawatan, pangkat dan darjat yang berlapis-lapis, tembok tugas atau fungsi yang dijenis-jeniskan menurut pengkhususan yang cukup banyak, tembok autoriti dan kuasa yang berperingkat-peringkat.
Nah, dalam struktur yang berlapis-lapis dan bertembok-tembok ini, para pekerja jarang-jarang dapat mengadakan interaksi sosial di tempat kerjanya untuk menyelesaikan masalah bersama yang berkaitan dengan kerja masing-masing secara spontan. Perhubungan di tempat kerja berlaku secara formal, melalui berbagai-bagai lapisan kuasa yang disebut sebagai 'chain of command' yakni melalui berbagai-bagai peringkat atau kuasa ketua dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
Untuk mengatasi masalah ketiadaan perpaduan di tempat kerja, disebabkan struktur organisasi yang sebegitu rupa, para pekerja selalu terpaksa diarahkan supaya berkerjasama mengadakan mesyuarat, menggunakan telefon, tidak menggunakan fail (kerana perhubungan melalui telefon dianggap lebih cepat dan mesra daripada perhubungan melalui fail, memo dan surat) atau membina semangat, bekerja dalam pasukan, atau mewujudkan konsep pejabat terbuka.
Namun masalah komunikasi yang bertembok-tembok dan berlapis-lapis, terus menghalang terbentuknya proses dan semangat kerjasama kerana berdasarkan interaksi yang ikhlas, dibuat-buat atau dipaksa-paksakan. Dalam pengurusan serupa itu masyarakat Barat berasa sukar dan enggan mengadakan pertemuan di tempat kerja, melainkan dalam urusan rasmi sahaja.
Natijahnya ialah sifat nafsu-nafsi, pentingkan diri sendiri, melihat masalah sebagai masalah orang lain dan mengamalkan pepatah 'tidak mahu menjaga tepi kain orang'. Hal-hal serupa ini mengundang malapetaka. Walhal perkongsian persoalan dan pemasalahan kehidupan di kalangan individu di dalam masyarakat dapat mengurangkan kos berbayar atau imbalan dalam kehidupan ini.
Beberapa perunding motivasi dan psikologi pula berpendapat dalam konteks yang lebih luas bahawa peri pentingnya semangat sukarelawan, yakni kerjasama tanpa harapkan imbalan, dalam arus kehidupan tanpa mengambil kira suasana, keadaan dan zamannya, apatah lagi kita ingin menjadikannya sebagai pemangkin kepada kehidupan yang harmoni, bahagia tanpa peningkatan kos kehidupan masyarakat maka perlu ada pihak terus menerus menghidupkan sebagai satu budaya hidup yang berprinsip, beretika dan profesional. Memucang-mucang berasas kepada nilai-nilai positif ini.
Nilai-nilai ini tidak akan berkembang di tempat kerja jikalau kita cuma membuatnya secara bermusim dengan disempenakan kepada satu-satu acara. Pun nilai-nilai ini akan luntur jika kita cuma asyik menyebut di bibir sahaja. Nilai ini harus diserapkan ke dalam sistem atau struktur organisasi seluruhnya jika kita mahu kesannya secara berkekalan. Jika tidak, ia adalah ibarat mencurah air di daun keladi.
Sukarelawan profesional yang dimaksudkan ialah yang bertindak dalam suatu operasi kesukarelawan tidak mengharapkan ganjaran sama ada dalam bentuk kewangan malah lebih memperlihatkan sifat-sifat pengorbanan, simpati pada orang yang dibantu, jauh sekali mengambil kesempatan dalam apa keadaan sekalipun. Nilai-nilai ini terdapat dalam konsep memucang-mucang atau bergotong-royong.
Apa yang diharapkan oleh mereka yang sedia memucang-mucang atau rajin menghulurkan kerjasama hanya balasan di kemudian hari daripada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menunjukkan kejujuran dan keikhlasan di dalam tindak tanduk amalan memucang-mucang atau kerjasama itu. Inilah agaknya mesej yang hendak disampaikan oleh kawan saya itu.
Memang benar, dorongan atau semangat kerjasama lahir ketika wujud kesedaran bahawa semua mempunyai tanggungjawab sosial dan moral terhadap masyarakat di mana ia menjadi sebahagian daripadanya. Tinggal lagi, terserah kepada kita untuk memilihnya.
Di dalam kehidupan ini ada pilihan-pilihan. Anda pilih yang baik atau yang mana. Yang pasti, sifat nafsu-nafsi dan pentingkan diri sendiri bakal mengundang malapetaka. Kesimpulannya, kita jangan mudah terpengaruh dengan takrif kerja yang diamalkan di Barat iaitu sebagai operasi yang mekanikal sifatnya dan terpisah daripada peribadi manusia. Ini bukan soal genetik. Sesungguhnya, orang Melayu sangat mementingkan nilai dan semangat kerjasama ketika menjalankan sebarang pekerjaan yang melibatkan kepentingan bersama.
Kembali ke muka utama
|