Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
injauan
Sastera dan Budaya

MANGSA BANJIR PULANG KE RUMAH MASING-MASING
rencana oleh : Norliah Md. Zain

PARA mangsa banjir dan tanah susur di negara ini sudah boleh menarik nafas lega apabila sebahagian besar kawasan terjejas telah pun pulih seperti sedia kala. Keadaan jalan yang pada awalnya hanya boleh dilalui oleh kereta pacuan empat roda sudah boleh dilalui oleh kereta jenis salun. Selain itu perkhidmatan elektrik dan air di sebahagian kawasan terjejas juga telah pulih seperti sedia kala.

Semua ini adalah berkat daripada usaha dan kerja keras dari pelbagai pihak bagi membantu mangsa yang terbabit. Kegigihan mereka dalam menyalurkan bantuan ini haruslah disanjung. Dengan keadaan yang sudah pulih itu membuatkan para mangsa sudah boleh kembali ke rumah masing-masing untuk membersihkan keadaan halaman rumah yang telah dikotori oleh banjir. Sememangnya ini menuntut ketabahan dan kesabaran yang tinggi kepada para mangsa kerana mereka bukan sahaja terpaksa menghadapi keadaan sewaktu berlakunya kejadian malah terpaksa pula berusaha memulihkan keadaan rumah masing-masing selepas kejadian.

MANGSA TERLIBAT

Menurut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan selaku Penasihat Bersama Tabung Mangsa Banjir dan Tanah Susur, di Majlis Menerima Sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), jumlah mereka yang terlibat dalam bencana alam tersebut ialah 1500 orang yang kebanyakannya adalah terdiri dari penduduk Mukim Tanjong Maya dan Lamunin di Daerah Tutong.

Memandangkan bencana yang menimpa itu melibatkan kerugian yang besar bagi mereka yang terbabit, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Mangsa Banjir dan Tanah Susur. Tujuan penubuhan tabung adalah untuk meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir dan tanah susur, di samping memberi peluang kepada orang ramai termasuk pihak swasta menghulurkan bantuan dalam sama-sama meringankan bebanan mangsa-mangsa yang terlibat.

Orang Brunei memang dikenali sebagai masyarakat yang begitu prihatin terhadap penderitaan orang lain. Ini terbukti apabila tabung berkenaan yang baru saja dibuka pada 3 Februari 2009, telah menerima sejumlah BND282,000.00 dari penyumbang-penyumbang pihak kerajaan, swasta dan orang perseorangan pada 5 Februari 2009. Jumlah kutipan kemudiannya bertambah lagi pada 9 Februari 2009 di mana tabung ini telah menerima sumbangan derma berjumlah BND250,000.00 daripada YSHHB dan BND500,000.00 daripada BIBD menjadikan kutipan telah mencecah BND1.103 juta. Sejak hari itu kutipan demi kutipan telah berjaya diterima oleh tabung berkenaan. Malah ahli jawatankuasa tabung berkenaan telah melancarkan sumbangan bantuan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Walaupun tabung berkenaan masih lagi dibukakan sehingga 19 Mac 2009 untuk orang ramai memberikan sumbangan, namun memandangkan para mangsa amat memerlukan bantuan segera, penyam- paian sumbangan derma hasil dari Tabung Mangsa Banjir dan Tanah Runtuh telah pun dimulakan pada 14 Februari 2009 di Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat. Penyampaian sumbangan kemudiannya dilaratkan ke daerah-daerah.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjelaskan ketika ditemui media semasa lawatan susulan Yang Berhormat dan rombongan ke kawasan-kawasan yang telah dilanda banjir dan tanah runtuh di Mukim Rambai, Ukong dan Tanjong Maya, Tutong bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bantuan diberikan kepada mangsa terbabit sebanyak BND2,000.00 bagi setiap rumah, mengikut kelayakan dan garis panduan yang ditetapkan.

Selain itu para mangsa banjir dan tanah susur juga menerima sumbangan kewangan daripada Tabung Mangsa Banjir dan Tanah Susur Negara Brunei Darussalam sejumlah BND800.00 disumbangkan bagi setiap rumah.

Sememangnya bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa- mangsa musibah tersebut. Sumbangan bantuan itu juga menunjukkan keprihatinan dan sikap pemedulian pihak kerajaan, pihak swasta, orang perseorangan dan rakyat serta penduduk di negara ini terhadap masalah dan kesejahteraan rakyat dan penduduk yang terjejas oleh banjir dan tanah susur.

INISIATIF DAN PENGAJARAN

Pengorbanan pihak-pihak berkenaan untuk bekerja lebih masa dalam menyelamatkan keadaan haruslah disanjung tinggi. Tanpa kehadiran dari pihak-pihak berwajib juga belum tentu bantuan atau penyelesaian terhadap penduduk terbabit dapat dilakukan.

Kegigihan pasukan-pasukan penyelamat itu sememangnya membuka ‘jalan’ kepada agensi-agensi yang lain untuk terus menyalurkan bantuan kepada penduduk berkenaan. Para mangsa telah dapat menerima bantuan berupa keperluan makanan di samping tempat tinggal sementara.

Walau bagaimanapun, segala usaha-usaha pihak berkenaan perlulah dimantapkan lagi. Kita tidak boleh berpuas hati dengan khidmat yang sedia ada. Oleh itu perancangan yang lebih teliti haruslah dilakukan dengan segera.

Di samping itu, orang ramai haruslah mengambil iktibar dalam kejadian yang berlaku. Sewaktu bencana alam itu melanda, ia memberi pengajaran kepada kita bahawa mereka yang berumah di lereng-lereng bukit boleh saja mengalami tanah susur yang kemudiannya boleh meruntuhkan dan menjejaskan rumah kediaman. Namun ini tidak bererti ia menjadi satu kelegaan bagi mereka yang berumah di tanah rata. Bagi mereka yang berumah di tanah rata pula, mereka turut punya kemungkinan untuk dilanda banjir pada bila-bila masa. Oleh itu bagi mereka yang berhasrat mendirikan rumah, kajian terperinci haruslah dilakukan agar kita tidak mengalami kerugian. Dapatkan pengesah- an atau nasihat dari pakar- pakar kaji bumi sebelum bertindak mengambil keputusan untuk mendirikan rumah di kawasan-kawasan tertentu. Ini penting agar rumah yang diimpikan benar-benar selamat untuk didiami di samping boleh mengelak dari sebarang kerugian.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Berkhidmat Kaunter TAP di bulan Ramadan

Tabung Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan bahawa di sepanjang bulan Ramadan 1429, waktu perkhidmatan kaunter pertanyaan bagi setiap cawangan-cawangan TAP akan bermula dari jam 8.15 pagi bingga 1.00 petang.

Sementara itu, waktu penerimaan pembayaran bagi setiap hari Isnin hingga Khamis bermula dari jam 8.15 pagi hingga 1.00 petang manakala bagi setiap hari Sabtu, penerimaan pembayaran tunai akan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 10.30 pagi dan bagi pembayaran cek pula sehingga jam 1.00 petang.

Dalam hal ini, ahli, majikan dan orang ramai dinasihatkan agar dapat mengambil maklum mengenai perubahan waktu berkenaan bagi memudahkan urusan-urusan yang berkaitan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut bolehlah diperolehi dengan menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.