|
MENUNAIKAN TANGUNGJAWAB
GENERASI MERDEKA
Oleh : H.A. Manap
TAHUN ini genaplah usia kemerdekaan negara ke-25 tahun, generasi merdeka adalah merupakan generasi yang sangat beruntung kerana dapat mengecapi pencapaian cemerlang negara dengan sebaiknya. Setelah melangkah jauh dan kini mencapai usia kemerdekaan 25 tahun, kita perlu menilai dan muhasabah diri sejauh mana sudah tanggungjawab kita dalam menanai dan melaksanakan pengisian kemerdekaan tersebut. Hal ini penting kerana ia adalah merupakan enjin yang menggerakkan pola pemikiran, budaya kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tidak dapat tidak dalam memastikan kesinambungan dan perlaksanaan pembangunan masyarakat dan negara, generasi muda belia berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan juga pola kehidupan tersebut. Ia tidak boleh diambil ringan malahan ia perlu ditanai dengan penuh tanggungjawab dan komitmen yang tinggi.
Justeru kemerdekaan negara kita akan lebih bermakna jika generasi muda belia dapat memahami akan keperluan dan aspirasi bernegara dengan sebaiknya. Melalui pemahaman sedemikian ini ia akan melahirkan generasi yang kental dan teguh menghadapi cabaran. Limbai dan liuk kita mestilah seragam agar apa jua perancangan yang dilaksanakan, penyertaan semua pihak akan lebih bermakna. Inilah namanya pengisian yang proaktif dan konstruktif ke arah pembinaan masyarakat yang berwibawa. Nilai sebuah kemerdekaan itu sangat tinggi harganya, ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, malah ianya juga tidak boleh dinilai secara rambang. Sebuah negara yang merdeka itu adalah merupakan negara yang akan mampu bergerak dan melalui ranjau kehidupan dengan lebih berani dan mantap. Justeru jentera yang menggerakkan proses sedemikian harus dari kalangan isi jalama di dalamnya, apatah lagi generasi muda belia akan lebih menjadi tumpuan ke arah mengangkat dan melaksanakan matlamat dan erti kemerdekaan sedemikian.
MEMAHAMI KEPERLUAN NEGARA
Justeru untuk menuju ke arah itu, salah satu dari kepentingan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara merdeka ialah memahami keperluan yang dikehendaki. Generasi muda belia perlu memahami apakah sebenarnya yang dikehendaki dalam memenuhi pengisian negara itu sendiri. Pemahaman ini penting agar pertumbuhan kehidupan generasi muda belia akan lebih terarah dan dapat menggembleng daya fikir, tenaga dan sebagainya untuk digunakan sebagai mekanisma yang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara. Banyak yang mungkin belum menyedari bahawa di semua peringkat masing-masing kita adalah berperanan dan mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan, apatah lagi pendedahan yang semakin meluas akan lebih membantu hal ini. Lantas generasi muda belia juga tidak terlepas dari menanai tanggungjawab sedemikian. Cuma saiz dan skop yang diperlukan itu mungkin ada bezanya. Di peringkat pertumbuhan kehidupan muda belia ini adalah masa yang paling tepat untuk memahami dan sekali gus melaksanakan keperluan itu.
Dalam era dan perkembangan yang kita lalui sekarang ini, generasi muda akan digembleng untuk lebih produktif dan dinamik. Ini semata-mata bertujuan untuk mewujudkan jentera dan juga kumpulan penggerak yang akan berperanan membantu dalam merealisasikan aspirasi dan juga matlamat pembangunan di negara kita ini. Misalnya banyak bidang dan skop yang boleh disumbangkan oleh generasi muda untuk menyerlahkan peranan dan tanggungjawab sedemikian itu. Salah satu darinya yang amat diperlukan pada masa sekarang ialah kemahiran dan kecekapan diri. Bidang ini sudah semakin amat diperlukan kerana ia bukan sahaja membantu mewujudkan peluang peningkatan diri akan tetapi juga sekali gus ia boleh membantu mengangkat kegemilangan bangsa. Sebenarnya tidak ada titik permulaan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai bangsa merdeka, asalkan kita sudah bersedia dan mempunyai keupayaan untuk melakukannya maka di sanalah bermulanya peranan dan tanggungjawab kita.
JANGAN BERHARAP PADA YANG LAIN
Kitalah yang lebih patut memainkan peranan di dalamnya tanpa banyak bersandarkan kepada bantuan dari yang lain. Jika kita mampu menunaikan kewajipan dan tanggungjawab sedemikian ini, maknanya kita akan lebih berkeupayaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang hebat, mampu berdiri di atas kaki sendiri dan kita tidak tersungkur sekalipun tiupan perubahan yang semakin deras dan kencang hembusannya. Kita perlu belajar dan mengambil iktibar dari berbagai keadaan yang dilalui oleh orang lain yang terpaksa bergelut untuk lepas dari kemelut kesulitan hidup. Mereka terpaksa merempuh kehidupan bersama tekanan suasana yang amat mencabar. Masyarakat terbina dalam keadaan dan suasana yang menagih kekuatan untuk keluar dan kepompong kerumitan itu. Namun bagi kita agak berbeza, kita amat beruntung, kerana kita tidak berada di dalam suasana sesak nafas, sempit pemikiran dan tekanan yang menghalang kemajuan. Justeru keadaan sedemikian inilah nantinya yang akan merupakan faktor penyumbang dalam merealisasikan peranan dan sumbangan kita.
Arus dan gelombang kemerdekaan negara akan terus melalui perubahan seiring dengan gelombang kepesatan perubahan sekarang yang terlalu pantas dan amat mencabar. Kemahiran dan pengetahuan seseorang akan lebih banyak berperanan dalam menyumbangkan perkembangan yang kita rancang dan majukan. Peranan dan kepekaan dalam menyumbang dan memahami keperluan sebuah negara yang merdeka adalah suatu yang amat penting. Ia penting bagi mengelakkan kita tertinggal ke belakang dan tidak dapat menikmati kemajuan sekeliling yang bergerak pantas. Ia juga penting kerana ia menyediakan banyak peluang-peluang kecemerlangan diri yang akan membawa keberuntungan dan hasil yang baik kepada pelakunya. Mungkin ada yang masih merasakan bahawa peranan dan sumbangan kita masih belum diperlukan lagi, sebenarnya ini adalah tanggapan yang tidak tepat.
TUNAIKAN KEWAJIPAN
Di mana pun kita melalui kehidupan ini kita tetap mempunyai peranan dan tanggungjawab. Persoalannya ia perlu difahami dan hayati apa bentuk dan skop keperluan tersebut. Jika kita faham maka kita mungkin tidak akan merasa kaku untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sedemikian. Kita perlu menyahut kehendak dan aspirasi negara yang memerlukan perubahan yang dinamik dan proaktif. Kita tidak lagi perlu untuk mengintai dan menanti peluang disediakan. Sebaliknya kitalah yang perlu menyediakan peluang dan ke arah pembaharuan. Inilah yang menjadi idaman dan kehendak perubahan dan kemajuan negara merdeka yang kita kecapi sekarang. Kita perlu berani bangkit dengan gagasan yang gagah lagi perkasa untuk kita pamerkan ke dunia luar bahawa kita adalah merupakan satu bangsa yang berupaya tinggi dan mampu bersaing dalam apa jua keadaan sekalipun. Untuk kita merealisasikan aspirasi ini kita amat memerlukan generasi yang tangkas, mampu berdikari dan mampu bangkit dalam erti kata berdiri dengan bersendikan ilmu pengetahuan yang tinggi. Kita memerlukan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi kerana dengannya akan melahirkan gagasan rakyat yang berjiwa besar dan memiliki berdaya saing yang sangat kental. Semoga dengan kekuatan kita dalam menanai dan memahami kehendak sedemikian kita tidak akan terlepas peluang untuk menjadi sebahagian dari jentera dan mekanisma penggerak perubahan dan kemajuan yang kita inginkan.
Kembali ke muka utama
|