|

Sabtu , 7 Mac 2009
10 Rabiulawal 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
'CUKAI PINTU' BANGUNAN KOMERSIAL, RUMAH PANGSA 1 APRIL 2009
MULAI 1 April 2009, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengenakan cukai kepada semua pemilik-pemilik bangunan komersial dan rumah pangsa dalam kawasan lingkungan bandaran di negara ini. Kerajaan melalui Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) mulai dari tarikh berkenaan akan mengenakan cukai di bawah peruntukan undang-undang Akta Lembaga-Lembaga Bandaran di bawah Bab 12 Penggal 57. Lembaga Bandaran BSB dalam kenyataannya baru-baru ini menekankan bahawa cukai bangunan atau lebih dikenali ‘cukai pintu’ akan dikenakan bagi bangunan-bangunan komersial dan rumah pangsa yang disewakan di dalam kawasan yang diisytiharkan di bawah kawalan lembaga berkenaan dengan kadar tidak melebihi 15 peratus setahun dari nilai tahunan sebuah rumah atau bangunan.
Ibu negara BSB telah diperluaskan dari 1,287 hektar (12.87 kilometer persegi) kepada 10,036.24 hektar (100.36 kilometer persegi) pada 1 Ogos 2007. Perbandaran baru itu sejajar dengan kemajuan pesat negara dengan pelbagai bentuk prasarana dan rangkaian infrastruktur yang semakin berkembang. Langkah perluasan itu sebagai kesinambungan berterusan ke arah menjadikan BSB sebagai pusat pentadbiran yang lebih ’viable’, berdaya saing dan berdaya tahan serta menjadikannya bandar raya menjelang 2010. Berikutan perluasan itu, pemilik bangunan di kawasan baru BSB tidak dapat lari dari tanggungjawab tersebut untuk dikenakan cukai yang sememangnya menjadi perkara biasa yang dikenakan kepada pemilik-pemilik bangunan dalam bandar hampir di serata dunia. Namun cukai bangunan di kawasan bandaran BSB, Tutong dan Kuala Belait dan Seria telah pun dilakukan sejak tahun 1947.
Menurut Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran BSB, Awang Haji Mansor bin Haji Mohammad Yassin, pengiraan cukai bangunan telah pun selesai dilaksanakan mengikut Bab 17 dalam akta yang sama dan notis telah pun dikeluarkan kepada pemilik-pemilik bangunan mengenainya. Jika terdapat sebarang bantahan, tempohnya akan diperpanjangkan sehingga 21 Mac 2009. Dalam hal ini, semua pemilik bangunan disarankan untuk menghadapkan bantahan secepat mungkin secara bertulis kepada Pengerusi Lembaga Bandaran BSB bagi pertimbangan selanjutnya.
Bagi tujuan penaksiran, kawasan Lembaga Bandaran BSB dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Pertama ' pusat bandar ’central of the city’ contohnya, bangunan-bangunan yang terdapat di sepanjang Jalan-jalan Sultan, Pemancha, Mac Arthur dan Jalan Kianggeh. Zon Kedua – di luar pusat bandar ’outside the central of the city but still ini the city’, contohnya, kawasan baru Lembaga Bandaran BSB. Semua ini bertujuan untuk menetapkan harga nilaian semeter persegi sebulan yang digunakan bagi mendapatkan nilai kasar tahunan bangunan yang digunakan sendiri akan tetapi tertakluk kepada kegunaan tersebut.
Di dalam pusat bandar / bangunan/pejabat perniagaan dikenakan BND10.80 - BND12.90 semeter persegi sebulan; bangunan perniagaan dan kediaman BND5.40 - BND8.60 semeter persegi sebulan; bangunan/rumah kediaman BND2.20 semeter persegi sebulan. Di luar pusat bandar pula, jenis kegunaan bagi bangunan/pejabat perniagaan dengan harga nilaian BND8.60 semeter persegi sebulan; bangunan perniagaan dan kediaman BND4.30 semeter persegi sebulan dan bagi bangunan/rumah kediaman BND1.10 semeter persegi sebulan. Sementara itu jenis kegunaan bangunan berbentuk stor/stesen minyak/bengkel harga nilaian BND10.80 semeter persegi sebulan, ‘site office’ BND5.40 semeter persegi sebulan; kuarter buruh BND 1.10 semeter persegi sebulan dan pawagam pula dikenakan BND8.60 - BND10.80 semeter persegi sebulan.
Dalam amalan biasa negara-negara lain di dunia, sememangnya pemilik bangunan seharusnya menyumbang dalam bentuk cukai kepada kerajaan bagi sama-sama membantu membangunkan prasarana-prasarana baru serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan membaik pulih kemudahan-kemudahan infrastruktur yang sedia ada, di samping mewujudkan yang baru. Ini dengan secara langsung akan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang selama ini membiayai segala kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
Pengutipan hasil melalui cukai bangunan komersial dan rumah pangsa sudah setentunya akan dapat menampung perbelanjaan kerajaan yang semakin meningkat dalam menyediakan prasarana kemudahan asas dan perkhidmatan serta kawal selia kawasan perbandaran. Apa yang diharapkan agar orang ramai dan pemilik bangunan akan memberikan kerjasama dalam merealisasikan langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi sama-sama menanai tanggungjawab sosial dan di dalam waktu yang sama menyumbang kepada perekonomian negara.
Kembali ke muka utama
|