|
Pelita Brunei - Cetusan Minda
CETUSAN MINDA 33
ADUHAI, MANA PERGINYA
NILAI-NILAI KEMANUSIAAN
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara
1990 (The S.E.A Write Award 1990)
BENAR, hidup ini tidak dapat dipisahkan dengan masalah. Jika ada orang mengatakan bahawa hidupnya ini tiada pernah ditimpa atau dilanda masalah, itu boleh dikatakan satu pembohongan yang luar biasa. Sepanjang hidup mesti ada masalah. Namun jangan lari dari masalah. Siapa pun kita, akan sentiasa dan pasti dihadapkan dengan masalah.
Soalnya, ketahanan diri dan semangat jati diri yang mantap luar dan dalaman boleh dijadikan utap bagi menghadapi masalah-masalah, meski masalah itu turut meruntun naluri dan cita rasa orang lain untuk bersimpati dengan kita yang ditimpa masalah. Sekadar simpati, aduhai!
Soalnya juga, sesulit mana pun masalah itu, yang terpenting ialah bagaimana kita mengatasi dan menghurai masalah itu sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Nah, itu juga yang menjadi teras kekuatan kita bagi mengatasi masalah lalu berubah menjadi baik dan sempurna. Mudah-mudahan!
Bagaimana mengatasi dan menghuraikan masalah itu dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya? Tentunya, ya tentu sahaja penyelesaian yang terbaik dan sempurna bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu adalah sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang tahu.
Manusia digalakkan untuk berusaha dan terus berikhtiar sebaik dan sekerap mungkin. Tidak menyerah kepada takdir. Jauh sekali menyalahkan takdir. Justeru masalah yang sengaja dicipta dan dilontarkan kepada orang lain juga tidak menghalang bagi seseorang untuk mengatasi masalah itu. Setentunya dengan berusaha itu, kita turut memanjatkan doa agar diringankan bebanan, di samping diberi petunjuk hala mana yang harus dituju. Aduhai, jangan sekali-kali bergayut pada nasib!
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat 2 yang kira-kira maksudnya:
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat".
Yang ditekankan di sini bukan pada kuantiti atau jumlah perbuatan hamba-Nya, tetapi yang ditekan ialah nilai yakni nilai amal hamba-Nya.
Lalu teringat saya pada laporan seorang pengurus besar sebuah percetakan di Amerika, sewaktu saya menjalani penempatan kerja kewartawanan di Amerika beberapa belasan tahun dahulu. Katanya, dalam kebanyakan pertubuhan yang dikajinya lebih 80 peratus daripada masalah yang dihadapi setiap hari oleh pihak pengurusan ialah masalah manusia, tetapi ya tetapi sebanyak 80 peratus daripada perhatian pihak pengurusan tertumpu kepada masalah lain, tidak kepada masalah pembinaan tenaga dan budaya kerja manusia.
Nah, dari pengalaman, kita dapat perhatikan pihak pengurusan selalu melakukan perombakan organisasi dan mengeluarkan berbagai-bagai peraturan serta peta hurai atau 'road map' untuk mengatasi kelemahan manusia namun masalah manusia tidak juga terselesai dengan cara demikian.
Benar, institusi mana pun boleh mengeluar pelbagai peraturan atau memeterai perjanjian demi perjanjian, tetapi budaya kerja manusia itu yakni kebolehannya, keiltizamannya, moralnya dan ilmunya tidak dapat dibina dengan cara begitu, selama mana mereka tiada memahami nilai-nilai kemanusiaan secara menyeluruh. Bukan mengamalkan nilai kemanusiaan sebelah pihak sahaja. Aduhai, kenapa?
Sehubungan itu dunia masa kini menyaksikan bahawa dalam sesebuah masyarakat negara bangsa yang tertentu, sebahagian besar warganya dihalang secara terang-terangan daripada mempertingkatkan keupayaan mereka sebagai manusia dalam erti kata sepenuhnya, baik dari sudut peningkatan taraf hidup mahupun dari sudut kehidupan yang lain. Ah, jangan sebut tentang sosiopolitik! Aduhai!
Mereka dihalang dalam serba-serbi aspek kehidupan kerana kewujudan dan sengaja diada- adakan struktur-struktur dan institusi-institusi yang tidak adil. Struktur dan institusi ini jelas memenangkan satu pihak sahaja.
Contohnya, dalam bidang ekonomi, mereka disekat untuk berurusan berskala besar untuk mengembangkan bakat dan minat tinggi niaga mereka dengan pelbagai sekatan-sekatan dan seumpamanya. Mereka hanya dibenarkan berurus dagang dalam lingkungan yang begitu terhad, itu pun sekadar memenuhi keperluan asasi seperti makan dan pakaian seharian. Sekadar meneruskan kehidupan! Tak perlu kita mengeluh, aduhai!
Contoh kedua, warga malang itu yang seagama dengan kita, sebahagian besarnya bertungkus lumus sehari suntuk untuk menyambung kehidupan mereka, manakala pihak peneraju yang rakus berupaya selebar dan seluasnya mengumpul sebegitu banyak kekayaan serta keangkuhan sehingga mereka tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan kekayaan dan keangkuhan itu. Lalu muncul nafsu serakah yang tiada tolok bandingnya, meminggir dan tanpa silu malu mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan.
Masyarakat dunia seketika hanya jadi penonton senyap, aduhai! Sebahagiannya terbahangga namun syukur rupa-rupanya masih banyak warga dunia yang masih tahu dan menghargai apa yang dikatakan sebagai nilai-nilai kemanusiaan. Nilai-nilai kemanusiaan yang dijunjung itu tidak memilih anutan dan pegangan kepercayaan.
Kedua-dua contoh yang begitu mudah dan dapat kita baca serta lihat sepanjang masa, baik dalam media cetak mahupun media elektronik, menunjukkan wujudnya struktur-struktur dan institusi-institusi masyarakat dunia yang melakukan diskriminasi terhadap kebanyakan penduduk demi faedah segelintir. Individu-individu sebegini, waima apa pangkat dan gelarannya, boleh malah layak kita anggap sebagai penindas nombor wahid.
Mereka yang melakukan penindasan mendapat keuntungan dari struktur-struktur yang tidak adil sama sekali manakala yang ditindas menjadi mangsa struktur-struktur tersebut. Penindas bukanlah semata-mata seorang yang berazam bagi sedaya upaya mengekalkan struktur-struktur itu. Bahkan seseorang yang mendapat keuntungan dari struktur-struktur tersebut dan tidak membuat sebarang usaha bagi membawa keadilan juga merupakan seorang penindas.
Oleh sebab struktur-struktur yang tidak adil ini menghalang manusia dari mendapat cukup makan, pakaian dan tempat perlindungan; menghalangnya dari mengembangkan daya kreatif dan daya ciptanya dan menyekat pertumbuhannya maka ianya jelas adalah struktur-struktur yang menghina nilai-nilai kemanusiaan.
Lalu dalam kita melihat sejauh mana tersingkirnya nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat moden, kita terpaksa menanya diri kita sendiri sama ada akan berhasilkah usaha-usaha ke arah pembentukan sebuah masyarakat di mana seseorang boleh menyedari potensi kemanusiaan yang sepenuhnya.
Pengalaman-pengalaman tamadun manusia selama ini telah menunjukkan kepada kita bahawa penyingkiran nilai-nilai kemanusiaan dan peningkalan nilai-nilai kemanusiaan adalah dua kemungkinan bagi umat manusia. Waima kedua-duanya merupakan alternatif yang nyata, matlamat manusia hanyalah peningkatkan nilai- nilai kemanusiaan.
Perjuangan bagi peningkatan nilai-nilai kemanusiaan boleh berlaku kerana penyingkiran nilai-nilai kemanusiaan bukanlah sesuatu yang ditakdirkan, walaupun ianya merupakan satu hakikat sejarah yang konkrit, tetapi sesungguhnya merupakan akibat satu susunan struktur atau institusi yang tidak adil.
Jelaslah bahawa ketiadaan nilai-nilai kemanusiaan bercanggah dengan matlamat menjadi seorang manusia yang sepenuhnya, lambat laun secara alamiah mereka yang tertindas akan berjuang menentang mereka yang bertanggungjawab ke atas keadaan tersebut.
Semasa berjuang bagi mendapatkan kembali nilai kemanusiaan mereka yang diperas regut itu, mereka mesti cuba menanamkan kembali nilai-nilai kemanusiaan dalam diri mereka dan juga dalam diri penindas mereka.
Hubaya-hubaya, seorang penindas yang mengeksploitasi dan mencabul dengan kekuasaannya tidak boleh mendapat tenaga yang secukupnya dari kuasa yang sama untuk membebaskan mereka yang ditindas atau untuk membebaskan dirinya. Hanya kuasa yang terbit dari kelemahan mereka yang ditindas akan cukup bertenaga untuk membebaskan kedua-duanya.
Nah aduhai, siapa yang lebih berupaya dari mangsa penindasan untuk memahami betapa dahsyatnya sebuah masyarakat yang menindas?
Nah aduhai, siapa yang menderita akibat-akibat penindasan lebih dari mangsa penindasan sendiri?
Nah aduhai, siapa yang boleh lebih memahami perlunya diamalkan nilai-nilai kemanusiaan?
Jika kita fikir lebih mendalam dan rasional, mereka yang ditindas dan beberapa ahli tertentu dari kelas penindas yang ikut serta dalam kegiatan itu mungkin mahu membawa perubahan bagi satu atau dua sebab. Pertama, seseorang itu mungkin hendak membawa perubahan kerana dia membenci sistem yang sedia wujud kini. Jelas sekali, pelbagai aspek dalam sistem menyingkirkan nilai-nilai kemanusiaan seseorang individu dan dia merasa perlunya memusnahkan sistem tersebut, dan konon mahu membina sesuatu yang lebih baik. Ini bukanlah perasaan yang ganjil namun ada bahayanya dalam berpegang kepada perkara di atas sebagai asas perubahan.
Perasaan benci akan berkuntal dalam pemikiran. Jika seseorang membenci sistem tersebut, sudah tentu tidak lama lagi dia juga akan membenci mereka yang mengekalkannya. Apabila seseorang membenci, lantas dunia yang dipandangnya dipisahkan menjadi 'kita' dan 'mereka'. Kemudian muncullah dialog begini: “Jika kamu tidak ikut kami, kamu sedang berusaha menentang kami.” Dan apabila seseorang membenci, dia akan mengumpulkan beberapa orang yang sefahaman dengannya. Dan kumpulan ini menganggap dirinya sebagai pembela umat manusia! Hinggakan mereka yang bermati-matian untuk mewujudkan sebuah dunia yang adil akan diasingkan sebagai 'musuh'.
Kedua, seseorang mungkin hendak membawa perubahan kerana ianya menyayangi manusia. Bukannya demi rakan-rakan seperjuangan atau keluarganya, tetapi demi umat manusia. Semasa mengamati keadaan keliling dan melihat cara manusia disingkirkan nilai-nilai kemanusiaannya, seseorang itu ingin menyertai perjuangan tersebut kerana dia mahukan sesuatu yang lebih baik untuk umat manusia.
Natijahnya, suatu perjuangan kebebasan yang berasaskan kasih sayang akan menjadi perjuangan dengan manusia bagi umat manusia seluruhnya, dan akan membolehkan kita membebaskan bukan sahaja diri kita malah juga mereka yang menindas. Perjuangan tersebut, disebabkan matlamat yang diberikan kepadanya oleh mereka yang ditindas, akhirnya akan merupakan satu tindakan kasih sayang menentang ketiadaan perasaan kasih sayang dalam keganasan penindas. Jika kita menganggap kasih sayang sebagai tapak asas dalam pembinaan sebuah dunia, kita terpaksa menanya diri kita satu soalan yang amat penting.
Bagaimanakah kita akan menyemai perasaan kasih sayang bagi umat manusia, lebih-lebih lagi umat manusia yang miskin, ditindas dan hidup dalam ketakutan serta kesengsaraan berbanding dengan golongan manusia yang angkuh, kejam dan menindas manusia lain dengan menggunakan kekerasan tanpa mempedulikan langsung nasib mereka?
Untuk benar-benar menceburkan diri dalam perjuangan bagi sebuah dunia yang lebih berperikemanusiaan, seseorang itu harus mempunyai kasih sayang. Kasih sayang adalah amalan keberanian, bukannya amalan pengecut, maka kasih sayang adalah komitmen kepada manusia lain.
Walau di mana pun mereka yang tertindas berada, kasih sayang adalah sama dengan perjuangan mereka, perjuangan bagi kekebasan. Dan sebagai satu tindakan keberanian, kasih sayang tidak boleh menjadi sentimental. Dan sebagai satu tindakan kebebasan, ia tidak harus dijadikan muslihat untuk memutarbelitkan manusia lain. Ianya mesti menghasilkan tindakan-tindakan kebebasan yang lain, jika tidak ia bukannya kasih sayang.
Aduhai, semakin banyak kita menganalisis ketidakadilan dan punca-puncanya, semakin banyak kita mendedahkannya, semakin banyak tentangan terhadapnya. Namun kesedaran semula jadi menginsafkan kita bahawa saudara-saudara kita yang tidak makan, yang tidak ketawa, kanak-kanak yang tidak menyanyi, mereka yang hidup ditindas, menderita dan dibenci, sesungguhnya adalah merupakan mangsa struktur-struktur yang tidak adil. Lalu di antara kita yang sudah sedar tiada pilihan lain kecuali untuk bersama-sama dalam perjuangan mangsa penindasan. Perjuangan itu mesti berdasarkan kasih sayang bukan semata-mata bagi mereka yang ditindas bahkan bagi seluruh umat manusia, termasuk mereka yang sesudah sedar masih tidak melibatkan diri dalam perjuangan, termasuk mereka yang masih merayau-rayau, seolah-olah ketiadaan azam atau keupayaan untuk membuat satu pegangan hidup. Menyayangi kesemua manusia tidak bermakna mengelakkan konfrontasi, pun bukan pengekalan satu keharmonian yang palsu.
Kembali ke muka utama
|