Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Kukuhkan dan mantapkan kekuatan diri
Oleh : H.A. Manap

KITA amat menyedari fenomena perubahan sosial, budaya, teknologi dan cara berfikir kini lebih banyak mengisikan ruang lingkup seharian kita. Ternyata tidak ada siapa yang tidak merasakannya. Di mana pun kita berada hakikatnya kini kita di dalam era bilamana perubahan berbagai perkara lebih banyak mendominasikan kehidupan. Kita dikepung oleh perubahan, kita juga dikelilingi oleh berbagai pembaharuan yang sudah sukar untuk kita menjauhkan diri darinya. Dari sebuah dunia yang terpencil kini ia menjadi sebuah perkampungan kecil yang tidak bersempadan. Semua kini merasakan terlalu dekat antara satu dengan yang lain. Kemudahan teknologi perhubungan yang canggih menjadikan kita sedemikian rupa. Justeru kita pula menerima berbagai perubahan dan pengaruh, ini tidak mengecualikan budaya, cara hidup dan sosialisme masyarakat dan berbagai lagi adanya. Aliran informasi yang tidak hentinya menjadikan kita sebagai masyarakat bermaklumat yang sukar dibendung. Kebanjiran maklumat dengan berbagai informasi ternyata menjadikan kehidupan kita lebih terbuka.

Ramai sudah merasakan betapa pentingnya persiapan diri itu diwujudkan sebagai utap bagi menghadapi perubahan semasa yang berlaku ini. Kita perlu melihat bahawa ada peranan dan tanggungjawab penting untuk tunaikan tanggungjawab dan kembali kepada ajaran dan perintah Allah. Ini bertujuan bagi mewujudkan satu kekuatan diri yang benar-benar ampuh yang boleh menjadi utap dalam mempertahankan diri menghadapi suasana dan keadaan sekarang. Kita pula amat beruntung kerana kebaikan yang ada pada kita sebagai umat Islam yang sentiasa hidup dengan berpandukan ajaran Allah, dan membentuk diri kita semua sebagai insan yang kamil.

Sebagai umat yang dinyatakan Al-Qur’an sebagai umat terbaik yang mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya keadilan, dari kemelut mengalami permasalahan yang sangat kompleks. Keterbukaan sistem kehidupan masa kini membuka banyak ruang perubahan yang menimbulkan berbagai corak. Cara hidup, kebudayaan dan juga perubahan sosialisme ternyata banyak dipengaruhi oleh perubahan keterbukaan sistem yang kita lalui. Apabila berlakunya perubahan dan keadaan sedemikian ini maka, kita akan dapati ada golongan akan menjadi sasaran dan mangsa perubahan tersebut. Sasaran yang ada itu ialah untuk meningkatkan dan menggiatkan perubahan yang digerakkan, sementara mangsa perubahan ialah mereka yang mengikuti rentak perubahan tanpa mempersiapkan diri.

Pertembungan dua perkara ini membawa implikasi yang menjurus ke arah perkembangan yang positif dan sebaliknya. Implikasi yang dimaksudkan banyak bergantung kepada keupayaan individu itu pula melalui proses perubahan dengan bersendikan kemampuan yang dimiliki. Belia-belialah yang akan perlu mempersiapkan diri dengan berbagai utap yang boleh membantu dalam menangkis, segala perubahan dan juga pengaruh negatif yang mungkin akan mencorakkan budaya kehidupan.

Bila budaya kehidupan dicorakkan tentulah calak yang akan dilahirkan ialah mengikut kehendak dan proses perubahan itu sendiri. Ini tidak semestinya akan dapat memenuhi kehendak kita. Justeru tahapnya juga sangat berperanan dalam menentukan sejauh mana ia akan bertahan dengan berbagai perkara baru yang dibawa oleh arus perubahan semasa. Gelombang perubahan bukanlah sesuatu yang pada keseluruhannya berbentuk negatif kepada individu tertentu akan tetapi ia merupakan satu proses yang akan mengangkat dan merubah keadaan yang sedia ada. Perubahan budaya dan juga cara sosialisme masyarakat banyak dipengaruhi keadaan dan perubahan semasa yang kita lalui. Namun ia tidak akan mampu merubah anjakan paradigma yang kita miliki andainya kita mempunyai jati diri dan kekuatan tersendiri.

NILAI APA YANG ADA

Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang dilalaikan oleh perubahan, kita mahu menjadi masyarakat yang menanai perubahan dan tidak dipengaruhi oleh perubahan yang tidak bersesuaian. Biarlah kita menjadi generasi yang kuat dan merupakan generasi yang mewakili zamannya dengan cemerlang. Dalam hal ini salah satu perkara yang menyumbang kepada ketahanan diri, mental dan fizikal di kalangan generasi yang benar-benar mewakili zamanya ini ialah adanya kekuatan dalaman yang terbentuk dari keinsafan dan kesedaran diri dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka pandai dan mahir membaca Al-Qur’an, pendidikan agama dipraktikkan, kewajipan solat tidak pernah diabaikan dan kewajipan-kewajipan lain tertunai, tanpa ada yang menghalang mereka dari melakukannya.

Kebiasaan dan asuhan yang indah menjadikan mereka sebagai generasi yang tahan uji dan kukuh pendirian dan kehidupan mereka. Pembentukan diri mereka tidak pernah lari dari penghayatan beragama yang kuat. Mereka tidak melihat perubahan ini sebagai bahan ikut-ikutan. Malahan mereka melihatnya sebagai pemangkin ke arah kemajuan dan perkembangan diri. Mereka melihat perubahan ini secara proaktif, dan tidak membiarkan perubahan itu mempengaruhi naluri dan diri mereka. Mereka yang mempengaruhi perubahan, melalui penyesuaian keadaan dan tempat. Mereka yang menjadikan perubahan sebagai sukat-sukat untuk mengangkat dan menaikkan tahap dan kualiti diri mereka.

Ramai yang tersalah tafsir apabila mendepani perubahan sosial misalnya. Generasi muda remaja akan lebih terarah kepada pembaharuan yang dibawakan sama ada dalam bentuk fesyen, keterampilan dan gaya pembawaan. Sedangkan perubahan itu bukanlah merupakan alasan untuk kita menjadi pak turut. Perubahan itu jika kita tersalah tafsir akan membawa kita kepada satu keadaan yang ada kalanya tidak bersesuaian dengan cara dan falsafah kehidupan kita sendiri.

Inilah halnya pada diri dan sekeliling kita, kalau kita perhatikan seakan terdapat perubahan-perubahan sosial yang menjurus ke arah penghakisan budaya dan nilai- nilai identiti. Banyak perkara-perkara yang sebelumnya tidak pernah wujud kini sudah menjadi ‘added value’ dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai yang kita maksudkan sama ada baik ataupun tidak ternyata ia sudah berada di tengah-tengah kehidupan masyarakat kita. Bila ini berlaku kita tidak boleh membiarkan begitu sahaja. Kerana jika kita hanya menjadi penonton dalam menyaksikan perubahan yang bukan berdasarkan nilai-nilai kehidupan kita, ia akan bertapak menjadi budaya. Inilah yang dikatakan sebagai perubahan yang menjadikan ramai yang keliru dan bercelaru.

Jadi kekuatan dan utap diri adalah penting dalam melalui proses sedemikian ini. Kerana ia adalah evolusi sosial yang sangat pantas berlaku. Dalam konteks ini jika generasi muda belia mampu memperkuat diri, dengan persiapan yang mencukupi setiap perubahan yang dijadikan sebagai manfaat kehidupan. Dan semua inilah yang nanti menjadikan mereka sebagai golongan generasi yang kuat, dan berwibawa. Kekuatan beragama dalam menunaikan tuntutan beragama dengan sempurna, tidak mengabaikan sebarang kewajipan, tidak mengambil ringan segala suruhan. Melibatkan diri dengan berbagai aktiviti keagamaan haruslah ditingkatkan agar ia menjadi kebiasaan diri kita. Inilah yang akan menghasilkan kesan mendalam terhadap pembinaan diri dan akhlak yang mulia.

MANGKIN KECEMERLANGAN

Justeru, kepada generasi muda jangan diabaikan tanggungjawab beragama, dan lihatlah perubahan dan pergolakan sekeliling yang berlaku ini sebagai ujian besar yang mesti dihadapi dengan berbekalkan iman dan ketakwaan. Inilah utap kita dan inilah juga senjata kita untuk menangkis segala yang datang untuk mempengaruhi dan merosak kehidupan.

Kekebalan kita untuk menangkis segala ancaman dan perubahan ini insya-Allah akan meyakinkan untuk melahirkan ramai generasi yang berakhlak mulia. Dalam hal ini pendekatan yang lebih praktikal perlu diwujudkan iaitu membina generasi belia yang bertanggungjawab serta berakhlak mulia. Bila ini dapat diwujudkan agenda pembinaan masyarakat akan lebih mudah ditangani. Penumpuan akan lebih terarah dan kemas kini.

Sebanyak mungkin kita menginginkan kemajuan dan perkembangan, sebanyak itu juga kita mesti berani menerokai berbagai hala yang memperkuat keyakinan, memperteguh keimanan dan membina tamadun diri yang berasaskan iman dan takwa.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Berkhidmat Kaunter TAP di bulan Ramadan

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.