|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Hari Keputeraan Lambang Perpaduan dan Kerjasama'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut: :
Perayaan keputeraan tingkatkan semangat perpaduan
TANGGAL 15 Julai setiap tahun, negara kita akan menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah melanjutkan usia baginda serta terus kekal karar menerajui kepimpinan negara dan rakyat di negara ini yang sama-sama kita kasihi. Bermula dari tarikh tersebut, seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara ini akan sama-sama bergembira menyambut perayaan yang gemilang itu.
Persekitaran kawasan di Bandar Seri Begawan dengan pelbagai bentuk hiasan dan corak lampu neon beraneka warna, terbinanya pintu-pintu gerbang, di samping pengibaran bendera rasmi negara di serata tempat yang menambahkan lagi suasana keceriaan dan kegembiraan. Apa pun corak acara yang akan diadakan itu ianya adalah bagi meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama yang mantap.
Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini yang berlindung di bawah payung negara sudah tentulah akan bertanggungjawab dan berkewajipan untuk merayakan Hari Keputeraan baginda. Ini sebagai tanda kesyukuran rakyat dalam mengenang jasa dan pemedulian baginda. Semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama akan bekerjasama mengungkayahkan program perayaan bagi berganding bahu serta bersatu padu dalam sama-sama mengambil bahagian atau melibatkan diri baik secara langsung atau tidak. Semua ini menunjukkan masyarakat Brunei bersatu dalam menyokong, mendukung, menjayakan dan memeriahkan serta meraikan perayaan yang sangat bersejarah ini.
Melalui sifat permuafakatan, perpaduan dan kerjasama yang sentiasa kita amalkan, kita akan dapat mengungkayahkan program perayaan dengan jayanya, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat daerah, mukim dan kampung. Semua lapisan masyarakat menunjukkan keprihatinan mereka dan komitmen adalah perlu dalam mengungkayahkannya supaya berjalan lancar, meriah dan berjaya. Kesetiaan rakyat dan penduduk yang tidak berbelah bahagi kepada raja kita yang tercinta dan ini juga merupakan teras keutuhan bernegara dan kekuatan berbangsa. Melalui komitmen ini sudah setentunya akan membuahkan perpaduan dan kerjasama di kalangan lapisan masyarakat dan akan menghasilkan keamanan, kesejahteraan dan ketenteraman yang berterusan.
'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik, Kekal Karar Memerintah Di Atas Takhta'.
Dayang Nur Afiqah Hazirah binti Mohamad Zaidi,
No. 4, Simpang 163, Jalan Kota Batu,
Kampung Mentiri, BU1929.
No. k/p : 01-053590.
Rakyat sentiasa menyokong kepimpinan Kebawah DYMM
SYUKUR ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana saban tahun perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang disambut pada setiap 15 Julai dapat dinikmati dalam suasana aman, damai dan sejahtera.
Masyarakat di negara ini mempunyai semangat kerjasama, perpaduan, sikap tolong-menolong yang diamalkan dan diwarisi sejak turun-temurun yang berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Setiap tahun Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah ditubuhkan bagi memberikan sumbangan dan kerjasama dalam merangka persediaan-persediaan atur cara dan persembahan bagi menjayakan, memeriahkan dan menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan.
Selain itu, semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini telah berganding bahu sama-sama terlibat menyertai acara-acara sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan. Sikap tolong-menolong adalah sifat mulia yang dipandang penting dalam kehidupan tatasusila masyarakat Brunei. Sikap tolong-menolong tidak hanya dilakukan dalam bentuk benda serta wang ringgit tetapi yang paling utama adalah dalam bentuk tenaga dan buah fikiran. Sikap tolong-menolong dalam sama-sama terlibat menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan ini membuktikan bahawa segenap lapisan rakyat dan penduduk telah memberikan sokongan kepada Kerajaan Kebawah DYMM.
Kebawah DYMM pernah bertitah pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-7 pada tahun 1990 yang bertemakan 'Perhubungan Berkesan Mengeratkan Perpaduan' iaitu :
“Satu aspek yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan ialah perpaduan. Beta berpuas hati bahawa perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk selama ini telah membantu kerajaan, terutama sekali dalam usahanya mengekalkan keamanan. Kita semua mempunyai kepentingan yang sama untuk terus-menerus menikmati keamanan. Perpaduan di semua peringkat, di dalam dan di luar kerajaan akan lebih kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan dan perkembangan aspek-aspek kenegaraan di masa hadapan.”
Sambutan Hari Keputeraan telah menampakkan betapa kesejahteraan telah memberi keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup tentu sukar dicapai tanpa adanya perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam masyarakat. Nilai perpaduan merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Awang Haji Azreem bin Haji Ramli,
No. 6, Simpang 74-41-31,
Kampung Mata-Mata
Gadong, BE 1718.
No. k/p : 00-124710.
Tunjukkan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi
BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Inilah istilah yang paling tepat untuk dinobatkan pada rakyat Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi tatkala menjelangnya perayaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Perayaan Hari Keputeraan yang disambut pada setiap 15 Julai diadakan setiap tahun dengan penuh kegemilangan sejajar dengan persiapan dan rancangan rapi yang telah diaturkan terlebih awal.
Menyentuh tentang nilai perpaduan dan kerjasama, ia nyata terlihat pada musim perayaan sambutan Hari Keputeraan ini. Ia seolah-olah telah menjadi darah daging masyarakat di negara ini. Nilai sebegini amat sebati dalam diri setiap rakyat dan penduduk Brunei tanpa mengira usia, darjat, bangsa dan agama seseorang individu itu. Secara tidak langsung ia telah dapat membuktikan ketaatsetiaan seluruh penduduk kepada raja yang mereka sayangi serta sanjungi. Jika ditinjau, memang perayaan negara seperti ini memerlukan jumlah tenaga yang begitu ramai. Persefahaman yang terus-menerus wujud di kalangan rakyat dan penduduk serta integrasi masyarakat dengan pihak kerajaan yang sudah terjalin mesra adalah menjadi simbol kepada perpaduan dan persepakatan yang tinggi dalam sama-sama mengungkayahkan sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan jayanya.
Dengan adanya perpaduan, persefahaman, kerjasama, semangat dan sumbangan serta penglibatan yang berterusan dari semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk sektor awam dan swasta, maka segala kemeriahan, keceriaan dan kegemilangan sambutan perayaan ini akan dapat dikecapi.
Dayang Siti Norhazirah binti Haji Ahmad,
No. 1, Simpang 27, Jalan 24,
Perumahan Kampung Rimba Gadong, BE 3319.
No. k/p : 01-031057.
Hari Keputeraan lambang kebesaran negara
SYUKUR ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sekali lagi kita akan menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-63 Tahun. Bermula dari tarikh tersebut, seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini akan sama-sama bergembira menyambut perayaan yang penuh gilang-gemilang itu.
Sambutan perayaan yang akan kita raikan itu merupakan hari kebesaran negara yang sangat signifikan dan amat besar ertinya. Selaku rakyat yang kasihkan baginda, marilah kita mendukung dan memberikan kerjasama yang padu kepada misi baginda dan kerajaan baginda untuk membangun negara. Apa pun corak acara yang akan diadakan itu, semboyan yang diharapkan agar terus mencetuskan semangat berbangsa dan kesedaran bernegara. Harapan juga terus disandarkan bagi meningkatkan semangat bersatu padu dan kerjasama yang mantap.
Cetusan yang lebih utama untuk terus menumpukan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda. Kesetiaan kepada raja adalah teras dan pasak utama yang amat mustahak dalam kita membangunkan Negara Brunei Darussalam. Penghayatan sedemikian memang selayaknya diharapkan sebab kita percaya, sebahagian daripada kekuatan bangsa serta kekukuhannya sepanjang Negara Brunei Darussalam wujud adalah mendapat tunjangan dari corak kerajaan dan pemerintahan beraja. Pemerintahan beraja yang kita amalkan selama ini ternyata membawa bumi bertuah ini terus sejahtera, aman damai dan stabil. Melalui pimpinan dari singgahsana bertunjangkan Melayu Islam Beraja (MIB), baginda telah berjaya membawa negara ke mercu kejayaan.
Karisma dan kewibawaan baginda telah menyerlahkan lagi imej negara di mata dunia antarabangsa. Kepimpinan baginda bukan saja terus dihormati tetapi yang membanggakan mendapat pengiktirafan oleh para pemimpin dunia. Inilah imej yang 'dilabel' kepada negara kita berkat kepimpinan raja yang sentiasa bekerja keras tanpa mengira penat lelah demi membawa Negara Brunei Darussalam akan terus gemilang dan cemerlang.
Sebagai seorang raja, baginda tetap mengutamakan laila pembangunan dan laila kemajuan negara. Inilah janji yang baginda titahkan semasa menaiki takhta pada 4 Oktober 1967, yang antara lain berbunyi:
“Maka beta selaku sultan dengan sedaya upaya beta akan berusaha pada menjalankan dasar-dasar Paduka Ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara nama baik Negara Brunei Darussalam. Juga mementingkan laila usaha dan meninggikan taraf rakyat melalui laila rancangan dan kesejahteraan perkembangan negara yang telah dan sedang dibuat oleh Paduka Ayahanda dahulu. Mudah-mudahan dengan izin Allah beta juga sentiasa menjaga dan memelihara dengan tidak kendur-kendurnya laila usaha mengenai agama Islam yang benar-benar dan adat istiadat Negeri Brunei.”
Pendek kata, perayaan yang akan bergema di seluruh negara itu adalah lambang perpaduan bangsa kita yang merdeka. Boleh dikatakan tidak seorang pun rakyat Negara Brunei ini terlepas dari menikmati hasil 'buah' pembangunan yang telah diungkayahkan oleh kerajaan baginda. Semua rakyat 'ampit' dan tidak terkecuali daripada menghirup nikmat kesejahteraan rakyat dari segala-segalanya. Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, seorang raja yang penyayang dan pemedulian terhadap kebajikan rakyat jelata tidak mengira di mana, baginda tetap memimpin rakyat kekal bahagia sepanjang zaman.
Baginda menjadi simbol kesayangan rakyat jelata. Mengambil sukut perayaan tahun ini, maka sudah tiba masanya bagi kita membaharui dan membulatkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang kita kasihi dan sayangi serta berazam lebih kuat untuk sentiasa mendukung segala harapan baginda dalam memajukan negara kita yang tercinta ini.
Awang Dickzulkarnaen Hassan bin Haji Abd. Hamid,
No. 13, Simpang 48,
Kampung Sengkurong, Jalan Sungai Tampoi
BG 1721.
No. k/p : 00-255291.
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Semua Pihak Perlu Komited Tangani Influenza A (H1N1)'. Tarikh tutup : 28 Ogos 2009.
2. 'Warga Perkhidmatan Awam Mustahak Bersama Mengurangkan Penggunaan Tenaga Elektrik'. Tarikh tutup : 4 September 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|