Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MUHASABAHKAN DIRI DENGAN KEIMANAN DAN KETAQWAAN KEPADA ALLAH

KEIMANAN dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala merupakan prinsip pertama menurut Islam Hadhari. Ini menunjukkan iman dan taqwa menjadi tunjang dan tulang belakang dalam membentuk tamadun ummah di akhir zaman ini. Ini kerana ketaqwaan adalah kekuatan dalaman yang hebat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf ayat 96 tafsirnya:

"Dan (Tuhan berfirman lagi) : Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Iman dan taqwa yang berasaskan Tauhid adalah menjadi inti pati kehidupan bukan atas dongengan dan khayalan. Iman menurut Islam berpandukan kepada akal. Tanpa akal manusia tidak akan mencapai kepada satu peraturan hidup, malah tidak akan dapat melihat adanya hukum sebab-musabab (sunatullah) di muka bumi ini. Dengan sendirinya kehidupan tidak akan berubah dan tidak akan maju ke hadapan.

Pemikiran melalui akal yang sihat, ditambah dengan ilmu yang kuat, yang membuat segala kekangan negatif dalam hidup sehingga manusia berupaya mengeluarkan segala khazanah dari perut bumi ini. Bumi yang luas ini dapat disalirkan perairan dan ditambahkan produktiviti. Justeru itu iman pada tahap yang tinggi berkait rapat dengan pemerhatian, renungan dan berfikir. Apabila potensi pemikiran ini terbengkalai, akal menjadi terbelenggu yang boleh memusnahkan kehidupan. Iman dan taqwa memacu akal supaya bangkit dari ikatannya, bangun dari tidurnya. Lantas Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan : "Katakanlah (Wahai Muhammad) perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi", justeru berfikir itu satu ibadat kerohanian yang cukup tinggi.

Mengabaikan pemikiran beroperasi adalah mengingkari satu daripada nikmat Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu sekali lagi, kepercayaan khurafat dan perbuatan bidaan merupakan kepercayaan dan amalan yang bercanggah dengan iman dan taqwa kerana ia boleh menghalang kebangkitan satu ketamadunan.

Namun dalam realitinya, ramai mereka yang mendakwa Muslim, beriman dan bertaqwa tidak mampu berfikir secara mendalam. Adakah justeru taqlid dan mengikut secara membabi buta, atau jumud dengan pegangan lama datuk nenek sehingga tidak dapat membezakan mana budaya tinggi yang baik dengan budaya rendah yang merugikan? Malang sekali jika masih ramai umat Islam yang tidak dapat membebaskan diri dari tahyul dan warisan negatif. Malah bahan-bahan tahyul dan khurafat pula yang menjadi pilihan ramai.

Pembelajaran sahaja belum tentu menjadikan orang rasional jika tidak disertai iman yang betul. Ramai juga mereka yang dikatakan terpelajar tetapi terpenjara oleh pemikiran tahyul ini dengan kepercayaan kepada khurafat dan tahyul. Oleh itu dalam iman dan taqwa ditekankan memahami apa itu 'al-Sirat al-mustaqim' (jalan lurus).

Dari perspektif iman dan taqwa, kepercayaan kepada Tuhanlah yang dapat membebaskan diri manusia dari perhambaan kepada benda, hawa nafsu, kuasa, populariti yang tidak bermatlamat baik seperti yang telah dibincangkan di atas. Malah iman dan taqwalah yang dapat menyucikan akal mereka dari syirik, maksiat dan nifaq, mendekatkan diri kepada Tuhan melepaskan lidah dari pembohongan. Oleh itu amat jauh perbandingan mereka yang bertauhid dengan mereka yang syirik seperti antara kelam malam dengan siang hari, antara ilmu dan jahil.

Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan manusia akan mengenali kelemahan diri sendiri. Ini antara faktor yang akan mengangkat darjat dan martabat mereka daripada menjadi abdi kepada duniawi. Dalam Islam menetapkan ciri kehidupan rohaniah yang berteraskan kepada tauhid dan tidak pula sama sekali bertentangan dengan rasionaliti.

Beribadat di hadapan Tuhan, mengenali diri-Nya dan diri sendiri, barulah manusia mengenali akan kelemahan diri yang hakiki. Tahu pula kekuatan dan kemuliaan diri. Lalu umat Islam yang bertaqwa tidak akan menjatuhkan maruah diri bersujud sembah kepada yang selain dari-Nya. Justeru, "Bagi Allahlah kemuliaan, bagi Rasul dan bagi orang beriman itu juga kemuliaan."

Tauhid yang menjadi teras iman dan taqwa bermaksud pergantungan diri sepenuhnya kepada Tuhan, penuh ketundukkan (tawadhuk) dan kasih sayang (mahabbah) kepada-Nya. Ia memberi kesan positif menolak perhambaan kepada sesama manusia, apalagi kepada nafsu sendiri. Hidup rohaniah pada asasnya hubungan antara manusia dengan Tuhan itu akan memberi kesan dalam apa jua keadaan seseorang itu, sama ada di jalanan, dalam bidang ilmu, dalam pekerjaan mahupun ketika tidur atau berjaga.

Justeru itu keseluruhan kehidupan berasaskan iman akan membawa kesan mendalam dalam mengendalikan hidup dalam bidang pertanian, industri, pengurusan dan lainnya yang tidak akan terpisah daripada hidup rohaniahnya. Tuhan akan sentiasa mengawasi amalannya, lalu ia akan bekerja secara lebih tekun, tidak akan menipu atau mengkhianati dan menzalimi pihak lain. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Tuhan mencintai pekerja yang bekerja secara tekun."

Amalan yang didirikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan merubah personaliti seseorang menjadi insan yang patuh dengan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan takut melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan di dunia ini. Keimanan dan ketaqwaan mampu menjadi penawar yang paling mujarab menyembuhkan pelbagai penyakit sosial yang melanda umat pada hari ini.


Kembali ke muka utama