Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu, 5 Ogos 2009
14 Syaaban 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

LAILA DITUAI HASRAT SARA DIRI TERCAPAI

''ALLAHUMA Ya Allah, sekiranya rezeki kami ada di langit, maka turunkanlah ia, sekiranya ada di bumi maka keluarkanlah ia, sekiranya ada kepayahan maka mudahkanlah ia, sekiranya ia jauh maka dekatkanlah ia, sekiranya sedikit banyakkanlah ia. Ya Allah Ya Tuhan kami berkatilah kami dan negara kami padanya," demikian titah dan doa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa merasmikan Majlis Menuai Padi Laila 2009 di Kawasan Kemajuan Pertanian, Projek Penanaman Padi Wasan pada hari Isnin, 3 Ogos yang lalu. Berkat doa yang baginda panjatkan digandingi dengan kesungguhan kitani semua untuk mencapai pengeluaran beras negara bagi sara diri akan dapat dicapai bagi memenuhi 'consumption' rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ke tahap 20 peratus pada tahun 2010 dan 60 peratus menjelang 2015.

Baginda yang melakar sejarah sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat bersawah padi pada 27 April 2009, sekali lagi turun ke sawah bagi mengepalai acara menuai padi yang turut disertai dengan meriah oleh anakanda-anakanda baginda dan Menteri-menteri Kabinet. Senario yang amat menggembirakan dan mencerahkan harapan bagi pengeluaran beras tempatan bernama Laila yang telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha bagi menggantikan 'Brunei Darussalam Rice One (BDR 1)'.

Alhamdulillah, padi yang ditanam oleh baginda telah pun berhasil dituai pada 1 Julai 2009. Penuaian ini adalah merupakan sesuatu aktiviti yang amat signifikan di mana padi yang ditanam oleh seorang raja yang bijaksana dan amat dikasihi rakyat telah mengeluarkan hasil yang pertama bagi musim ini. Sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata, dan setelah empat bulan berlalu, hasil yang dicita-citakan itu muncul dan menjadi realiti. Sesuatu yang perlu kitani syukuri bersama di atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Penglibatan baginda secara langsung bercemar duli bagi mengepalai acara penanaman padi dan seterusnya ke acara penuaian padi tidak syak lagi mencerminkan keprihatinan baginda terhadap pengeluaran beras tempatan dengan hasrat untuk menerajui usaha ke arah peningkatan pengeluaran pertanian negara. Ia juga merupakan satu manifestasi penting bahawa seruan berkali-kali baginda ke arah meningkatkan pengeluaran beras negara semata-mata meningkatkan sekuriti makanan negara adalah sesuatu yang serius dan perlu tindakan yang jitu serta drastik. Kesungguhan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) yang dikepalai oleh menterinya bagi menyahut seruan baginda menampakkan hasil yang amat signifikan. Bahkan kementerian berkenaan dengan berusaha gigih telah mengenal pasti dan membuka kawasan-kawasan tempatan yang berpotensi, meningkatkan keupayaan kawasan-kawasan yang sedia ada dan memantau perkembangan pengeluaran dengan teliti dan tekun bagi mencapai sasaran tahap sara diri dari 3.12 peratus masa kini ke tahap peningkatan sehingga 60 peratus dalam jangka masa tujuh tahun dari sekarang. Selain itu kementerian tersebut dengan diterajui oleh Jabatan Pertanian terus menggembleng usaha bagi membuka tapak-tapak baru dan meningkatkan infrastruktur asas termasuklah jalan, parit dan tali air sedang rancak dijalankan yang juga melibatkan pengusaha-pengusaha padi komersial. Sekalung tahniah perlu kitani untaikan kepada KPSSU di atas kegigihan serta usaha berterusan bagi merealisasikan impian menyara diri sendiri dari terus bergantung kepada pihak luar.

Namun ada juga terdengar suara-suara 'sumbang' dan persepsi yang mengatakan bahawa apakah kitani akan berjaya menyara diri sendiri? Sebenarnya persoalan itu sudah terjawab dengan kejayaan awal penuaian padi baru-baru ini. Kita tidak seharus merasa rendah diri kerana terlambat melakukannya sedangkan negara lain telah jauh ke hadapan. Yang penting jalan sudah dirintis, hasil sudah tuai, maka bersedialah kita seterusnya menyingsing lengan bagi membanyakkan lagi hasil pertanian negara khususnya beras yang menjadi makanan asasi rakyat dan penduduk negara ini. Tidak ada gunanya kitani mempersoalkan kejayaan dan kegagalan itu dan ini, tetapi harus ligat berusaha sebagaimana pepatah Melayu yang mengatakan 'kalau tidak dipecahkan royong manakah dapat sagunya'. Berpegang teguh kepada pepatah Melayu sambil memanjatkan doa kepada Allah, insya-Allah kejayaan pasti diraih dengan syarat kitani bersedia berpimpin tangan bersama, komited dan bersatu tenaga bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk negara bagi keselamatan makanan kitani. Masanya sudah sampai bagi kita semua mengubah paradigma, mengorak langkah baru dan bersedia berazam membangunkan industri beras negara dengan peng- libatan semua lapisan rakyat dan penduduk bagi mengembalikan sejarah kegemilangan lampau 1925 hampir 75 tahun yang lalu dengan kejayaan negara menghasilkan 6,000 tan metrik berbanding ketika ini hanya lebih 900 tan metrik.

Apa yang menarik sebagai seorang pemimpin yang penuh prihatin terhadap nasib bangsa dan negara, baginda sekali lagi melakar sejarah penting negara dengan turun ke sawah dan bersedia 'menyingsing' lengan menuai bersama-sama dengan anakanda-anakanda baginda. Senario yang sungguh mengagumkan kepada kita semua kerana mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sesungguhnya program pelaksanaan peningkatan pengeluaran beras di negara yang telah dimulakan pada April di luar musim 2009 telah menyaksikan satu peristiwa penting dalam bidang pertanian, khususnya penanaman padi. Bersamalah kita berdoa agar rezeki akan terus melimpah ruah memenuhi bumi Darussalam sebagaimana doa raja kitani semasa hari bersejarah Majlis Penuaian Padi. Laila Dituai Hasrat Dicapai.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.