Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 42

MENYUSURI TAPAK SEMUSIM
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


CETUSAN Minda kali ini diilhamkan dari lawangan dan melapihi puisi yang bertajuk 'Menyusuri Tapak Semusim' karya Yahya M.S. cetusan mindanya pada bulan Oktober 2003. Kita agak tertarik dengan alur-alur sejarah yang terusik secara puitis dan syahdu dalam puisi ini. Ianya sungguh mengesankan. Menghayati puisi ini, kita haruslah tahu sejarah negara bangsa kita sendiri terutama dari segi budaya pemahaman kita tentang erti kewujudan sebuah empayar unggul di masa silam yang bernama Brunei Darussalam, Kesultanan Melayu yang berteraskan Islam.

Terbayang kemajuan kedaulatan bernegara yang kita nikmati pada zaman itu. Kemajuan yang boleh kita sebut sebagai kemajuan dalaman atau kemajuan yang berlaku daripada ciptaan minda dan budaya bangsa itu sendiri.

Dalam waktu yang sama, kemajuan sesuatu negara bangsa itu juga boleh berlaku melalui pertembungannya dengan tamadun luar. Contohnya, pada abad ke 16 atau ke 17 bahasa Melayu mengalami perkembangan yang tinggi setelah bangsa Melayu di Nusantara termasuk Kesultanan Brunei bertembung dengan tamadun Islam yang memperkenalkan banyak konsep dan ilmu baru berdasarkan Al-Qur'an dan hadis.

Melalui proses pertembungan budaya atau tamadun ini para penulis Melayu berpeluang menggunakan kekuatan dalaman bahasa Melayu, yakni kekuatan morfologi dan sintaksisnya bahkan juga kekuatan kesusasteraan atau seninya, untuk menghuraikan dan membincangkan konsep baru yang kompleks secara berkesan. Nah, proses ini boleh kita panggil sebagai perkayaan bahasa. Mari memisi luahan jiwa rasa Yahya M.S ini:

Telah tujuh musimlah
sudah aku berkuahkan
tanya :
kakiku menapaki
kerasik-kerasik
tanah Garang
nafasku
menggelombang seperti
sudah berlari seribu
batu
meniti pesisir-pesisir,
mengharungi teluk-
teluk
lulung-lulung dan
pancang-pancang
berdiri sepi
kuala yang terbuka
menyambut ombak
musim landas
dan bukit-bukit
membanjiri dan
mendindingi;
lalu bertanggar aku
menyiring tunjang-
tunjang layu
melintasi ungguh-
ungguh hampir lemas
diragut pasang
pasir dan tanah
membukakan salam
manisnya :
ia ceritakan asal
usulku bermula
dalam lukisan
tapi nyatalah, aku ini
sebenarnya insan
berdarah berdaging
bukannya telur
gugur dari kayangan
di ulu karangan;
yang menjelmakan
salasilah raja-
raja agungku
ialah sebenarnya
tamsil kebesaran
yang digeruni
untuk kujawati jadi
warisan yang abadi.

Kini tiada lagi
kakiku menjejaki
lumpur-lumpur lihit
kaingaran yang
berdarah dan
Lumut Lunting
berpuing
dan gema saung
mutiara jatuh di
Pilung-Pilungan
Bukut Putus yang
menyimpan ubar
dan upasmu
lalu ke Meragang
meruntuh bina akan
racunnya
menghalau Benggali
Putih lemas di laut
selatan
setelah ia
menyumpakkan
makam Bolkiahku
kemudian dengan
khianatnya ia
menunu Siludang
membalaskan dendam
si Masehi,
Francis Xarier.

Dari tulisan kreatif kita boleh menarik suatu ringkasan isi dan plot untuk dijadikan iktibar lalu menyemai iktikad. Makna dan pemahaman karya kreatif itu terkandung dalam keseluruhan karya dan dalam pengalaman mereka yang mendengar dan membacanya. Namun kita dapat meninjau sifat-sifat yang menimbulkan kesan dan erti iaitu pada dua kualiti; yakni kekayaan bahasa dan kesatuan pemikiran.

Kematangan sebuah karya kreatif terletak kepada unsur-unsur bahasa dan bentuk yang menimbulkan keragaman dan kompleksiti, di samping interakasi di antara sesama unsur tersebut serta dengan dunia nyata di luar karya itu sendiri. Makna dari sebuah karya itu baru lahir setelah kita tanggapi ia dalam segala perincian sejarahnya.

Kesatuan karya pula terletak kepada bahagian-bahagian penting bentuknya. Maka dalam prosa dan drama misalnya, bahagian-bahagian penting itu adalah faktor-faktor seperti tindakan, konflik, kumpulan watak dan sudut pandangan penceritaan. Dalam puisi pula unsur-unsur yang penting adalah metafora, perkembangan imej, pola-pola bunyi dan lambang atau simbol. Unsur-unsur penting ini tidak berdiri sendiri tetapi saling sandar-menyandar dan pelbagai keadaannya sehingga sekaliannya mewujudkan suatu bentuk yang unik serta tersendiri.

Jadi jelaslah bahawa seni sastera adalah pengucapan yang tidak lepas daripada menggunakan lambang-lambang. Hakikat ini diperakui oleh kebanyakan pengkaji-pengkaji sastera baik di kalangan orang Barat mahupun di kalangan tokoh-tokoh sasterawan Nusantara. Rata-rata mereka berpendapat bahawa dalam kewartawanan perhubungan adalah perhubungan yang literal sedangkan dalam kesusasteraan perhubungan yang berlaku adalah perhubungan simbolik.

Bahasa yang digunakan dalam kesusasteraan, bukan saja berfungsi sebagai alat perhubungan tetapi juga memperluas erti perhubungan itu. Dengan kata yang lain bahawa bahasa dalam kesusasteraan bukan saja mengungkapkan apa yang tersurat tetapi apa yang tersirat. Dari tangan sasterawan yang mapan dan teruji oleh zaman, bahasa memperoleh peranan dan tanggungjawab untuk menghidupkan suatu dunia yang unik. Seseorang pengkarya memilih bukan sahaja kata-kata dan gaya tetapi juga memberi isi pada cerita, dalam karya kreatif bahasa digunakan untuk mencipta.

Inilah yang sesungguhnya membezakan dari pengucapan fakta. Seseorang pengkarya kreatif membina, dia tidak atau tidak hanya memberi atau memesongkan maklumat. Dia mahu melahirkan yang asli, bukan sekadar memberi laporan seperti yang diamalkan oleh wartawan. Penulis kreatif tetap ingin berkomunikasi dan keinginan ini selalui membuat ia berada dalam konflik dan sering pula melakukan kompromi. Malah tidak dapat dinafikan bahawa faktor-faktor psikologi dan sosial mempengaruhi pengucapan kesusasteraan. Yang jelas bahawa seorang sasterawan itu adalah juga seorang pemikir. Soal yang timbul ialah, setakat manakah kita berfikir apabila kita mengutip bahan ilmu yang sudah sedia ada? Baik disiplin ilmu sejarah, falsafah dan disiplin-disiplin ilmu yang lain.

Namun tujuan ilmu adalah untuk memahami rahsia atau hakikat alam ciptaan Tuhan, mencari kaedah atau cara yang sebaik-baik. Di dalam Al-Qur'an, Allah memerintahkan manusia melakukan ibadah ilmu ini supaya manusia dapat mengenali dirinya dan Tuhannya. Untuk itu manusia harus bebas menggunakan akalnya untuk berfikir. Hadnya hanya adab atau nilai-nilai moral yang secara sejagat dikenakan terhadap manusia yang beriman kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Ilmu, apa pun bidang disiplin ilmunya termasuk ilmu sastera, berkembang kerana adanya manusia berfikir. Dalam berfikir itu, manusia cuba menggunakan pelbagai kaedah termasuk kaedah metafizik bagi menjelaskan perkara-perkara yang sukar dibuktikan secara empiris atau dihuraikan sacara logik misalnya tentang soal wujud dan sebagainya.

Dalam hubungan ini kita lantas teringat bahawa kaedah empiris dan metafizik ini sebenarnya telah diamalkan lebih dahulu oleh pemikir atau ahli falsafah Islam sejak abad ke 8 lagi, lama sebelum orang Eropah mengetahui kaedah ini setelah mereka menemui kaedah falsafah Greek terutama falsafah Plato dan Aristotle melalui karya-karya pemikir Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali dan Ibn Rushd.

Juga lalu kita terfikir, mengapakah orang zaman bahari berjaya meninggalkan karya-karya ilmu, seni, dan persuratan yang besar, yang dapat mempengaruhi zaman-zaman berikutnya. Mampu meninggalkan kesan yang tahan sepanjang zaman dalam minda bangsanya. Di alam Nusantara, contohnya, diwariskan beberapa karya persuratan yang namanya kekal dan terus dibaca, dikaji hingga hari ini. Contohnya ialah 'Sejarah Melayu' atau 'Hikayat Hang Tuah', atau 'Syair Rakis'.

Mungkin, niat atau wawasan penulisnya ialah bagi meninggalkan pusaka atau riwayat yang dapat diketahui atau dibaca oleh anak cucunya, yakni bangsanya yang akan datang, dan tidak untuk mendapat upahan. Atau mungkin juga kerana adanya perintah atau semacam dorongan daripada ketua negara yang berminat dalam soal ilmu dan penulisan! Mari kita kakas madah Yahya M.S. ini:

Dikisahkan Raja
Betatarmu melangkahi
benua
berpuadai ia berangkat
dengan gendang
nafirinya
disiahkan tombak
benderang dan sinipit
budainya
pedang tersula di muka
tangga dada perkasa
terbuka
panji-panji mengibari
angin disinari alam
bernaga
tunggul berbarisan,
ambal dan dadap
bersiringan
berkiap para pahawai,
Damong bercangkah
maut
gangsa dan puan
menghadapi wajah
di mahligai
lalu menghampar
suragaratna kasur
berlawangan
menyilakan sembah
semayam dian tunggal
yang lalu
Titir Raja lalu mendayu
beringsut langkahnya
padu.

Tapi nyamu, ini tiada
dijumpai dalam
aksaramu ;
maka perlulah ia diruah
sampai meluah
biar menggenta garis-
garis saujadah bumimu.
Atau engkau puaskah di
sila dudukmu kini?
rabun asal terasul yang
enggan engkau susul.
Sebab, padaku, aku ini
ada datu niningku
di laut, di darat,
di rantau malah
belantara
ada namanya terpahat
dan suara bergema
bukan sekadar ayau
atau bukan hanya
Batang Paling
seperti Nakhodamu
yang menjurit lada
segantang sepulau
ia bukannya
diangdangan meniti
hujung subuh.

Engkau kini barulah
matamu terbuka, ‘wang
berlaunan menyusuri
belahan yang tinggal
di pasir
tanda yang akan kau aji, kitab mana apa
namanya
di Lumut, di Limau
Manis, di Terusan
Kupang
entah lagi di mana
memanggil gerak
nadimu
berinut timbul
gambar-gambar yang
baru dipeta
membisikkan;
Engkaulah waris
bangsa yang agung.

Nah, tergambar di otak kita di musim bahari dalam masyarakat tradisional Kesultanan Melayu yang berteraskan Islam bahawa perhubungan peribadi, keluarga dan sosial pada umumnya berlaku ketat dalam pola-pola tertentu di mana individu diharap berkorban untuk kepentingan yang lebih tinggi, iaitu keluarga, suku bangsa dan masyarakat. Sifat-sifat kolektif, akrab, ketat dan berorientasi pada tradisi menjadi ciri-ciri umum bagai masyarakat tradisional, masyarakat daerah dan puak bangsa. Dalam masyarakat seumpama ini, kehidupan amat dipengaruhi oleh alam.

Nah, karya kreatif imaginatif tidak bertujuan untuk melahirkan hasil di luar dirinya. Namun kepentingannya terletak pada karya itu sendiri sebagai sesuatu yang mampu dan boleh berinteraksi dengan intelektual dan emosi pembacanya. Jadi untuk memperkatakan karya kreatif kita tidak dapat meminggirkan diri penciptanya. Kerana seni sastera adalah hasil dari kegiatan simbolik manusia. Memang untuk mengertikan karya kreatif kita harus kembali kepada pengkarya itu sendiri. Apa pendidikannya dan dari mana asal usulnya!

Manusia hanya memberi tindak balas setelah berlaku proses pemikiran yang kompleks. Jawapan dan andaian merupakan lambang-lambang yang mempunyai makna yang amat luas. Berbeza dengan manusia tradisional di zaman bahari, manusia zaman kini tidak lagi dilitupi oleh alam fizikal yang konkrit tetapi juga ciptaan-ciptaan dan pengucapan yang penuh imaginasi. Kekadang hasil-hasil dari sistem lambang manusia itu tidak dapat difahami dengan fikiran rasional tanpa imaginasi. Para ilmuwan sastera berhemat bahawa bahasa dalam kesusasteraan adalah media perhubungan sesama anggota masyarakat dalam kegiatan kebudayaan. Cetusan Minda diakhiri pesanan Yahya M.S. :

Bacalah ‘ahuta’ cirimu,
berdiri berkalasak
berkampilan
bukannya engkau
kan malar di bawah
peningkahan
mencari teduhan limbu
di baruh, di pelaluan
kerana orang lain
hanyalah jadi penonton
lakumu
jatuhmu, bangunmu,
engkaulah pandai-
pandaimu
aku hanya mengingati :
“Jangan leka
bergurau.”


Kembali ke muka utama