|
MENGELUH
Oleh : PAT
KACAU, kacau ... Anikan bulan tua. Di manakan ku dapat duit sebanyak atu?” Bisik Bugal sambil matanya memandang jauh dari beranda rumahnya. Di jarinya terselit sekeping sampul surat berwarna coklat muda. Sampul surat itu sudah dibuka dan pasti suratnya juga sudah dibaca.
“Mangapa kita bang, macam orang susah ani?” Tanya isteri Bugal yang masih mengemas ruang bilik tamu. Bilik tamu itu sentiasa dikemaskan kerana kanak-kanak selalu bermain di situ. Bukan saja bermain bahkan mereka juga makan, minum dan berbaring di situ sambil menonton televisyen.
“Tu nah Si Bang Toyib, inda lulus Ujian Penilaian. Tepaksatah mambayar. Bukan sadikit, empat ratus. Anikan bulan tua. Sakit kepalaku mamikirkannya.” Jelas Bugal pada isterinya. Bugal menggaru-garu belakang kepalanya lalu duduk di kerusi. Pandangannya dialihkan ke kaca televisyen yang masih menayangkan rancangan ‘Rampai Pagi TV’.

“Ni nah suratnya, dari sekolah maminta bayar. Tarikh tutupnya 25 haribulan ani. Hari ani baru 15 haribulan. Tarima gaji kira-kira dua minggu lagi. Duit yang ada atu, untuk pebelajaan dapur. Atupun balum tau cukup sampai tarima. Pakai mambali minyak kereta lagi,” sambung Bugal dengan nada resah.
Bugal begitu tertekan. Pelajaran anak-anak tetap penting. Pelajaran adalah pelaburan hari depan. Dengan pelajaran inilah masa depan mereka terjamin. Ditambah dengan situasi sekarang, mencari pekerjaan bukan perkara mudah kalau tidak mempunyai kelulusan yang tinggi dan bersesuian. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan semakin meningkat, sedangkan peluang pekerjaan agak terhad. Perkara inilah yang membuat Bugal mengeluh.
“Bang Toyib, Bun, rajin-rajin tah kamu belajar. Ambil peluang ani, jangan sia-siakan peluang yang tabuka luas. Lagipun masa ani banyak ‘scholarship’ ditawarkan bagi siapa yang mandapat keputusan cemerlang. Kalau kamu dapat lagi bisai. Atu inda apa, yang panting pelajaran kamu lancar tarus inda menyangkut. Kalau kamu berjaya, kitani semua sekeluarga merasa berjaya.”
Nasihat Bugal pada kedua-dua orang anaknya, pada suatu pagi.
“Masa ani kalau kan mencari keraja, diorang akan meliat kelulusan. Kalau ada kelulusan, cerahlah sikit. Sebab kelulusan atu menggambarkan asas pengetahuan yang kitani ada dan apabila sudah dapat keraja nanti, pengetahuan itu dijangka akan dapat dipraktikkan. Atulah diorang mau, tambah lagi kalau ada pengalaman, lagi baik,” sambung Bugal sambil terus memandu kereta.
“Dulu lain, orang bekelulusan inda ramai jadi saingan masih kurang. Liat saja macam orang masuk askar, tamat Darjah 6 pun diterima, kalau boleh membaca dan menulis. Liat saja ‘tangah’ dan ‘uda’ kamu. Diorang masuk askar sekadar tamat Darjah 6 saja. Tapi mereka rajin berusaha. Mereka rajin bergaul sama orang putih. Lama-lama pandai bebahasa orang putih. Sudah atu, diorang belajar dil uar lagi, masa inda keraja. Masa ani diorang pandai cakap orang putih, meskipun inda pernah sekolah orang putih. Lagipun zaman atu mana ada balajar bahasa Inggeris, kalau inda masuk sekolah Inggeris.”
Begitu antara cerita dan nasihat Bugal pada suatu waktu ketika menjemput anak-anaknya pulang dari sekolah. Kebetulan hari itu salah seorang anaknya telah menyertai rombongan sekolahnya melawat sambil belajar ke perkhemahan tentera pagi itu.
“Bayar saja tah bang, nada pilihan lain. Yang panting Si Bang Toyib atu dapat duduk periksa.”
“Soal bayar ani tah mambuat ku bingung. Sudah nyangku bulan tua. Kalau pakai duit yang tinggal atu, kitani bali barang dapur sama lauk pakai duit mana?” Balas Bugal dengan nada menaik. Dia kesal dan kecewa dalam hal ini.
“Macamani saja bang. Esok pagi aku ke bank BIBD. Emas pusaka mama atu aku simpan di sana. Mangkali dapat jua tiga ratus. Yang selabihnya pakai saja duit tabung atu saja,” jelas isteri Bugal.
Bugal diam sebentar. Dia terasa serba salah kerana turut membabitkan isterinya dalam soal pembayaran sekolah anak-anak. Sepatutnya perkara ini Bugal saja yang memikulnya. Lagipun dia ketua rumah tangga termasuk dalam urusan kewangan ini. Tapi kini itu cuma andaian saja. Yang jelas isteri Bugal jua turut sama-sama berganding-bahu berkorban demi kepentingan keluarga dan anak-anak.
Bugal secara diam-diam berterima kasih pada isternya. Dengan diam juga dia berharap suatu waktu dia akan dapat menebus jasa-jasa isterinya kerana bersusah payah mendapatkan sumber kewangan. Tidak cukup dengan itu, isteri Bugal juga cuba memohon kerja sebagai pembersih. Kerja-kerja yang lain, mungkin susah kerana dia tidak mempunyai kelulusan yang maksima. Apatah lagi sekarang ini yang lebih banyak mementingkan kelulusan akademik dan teknikal.
Sudah banyak tempat dipohon oleh isteri Bugal. Ujian bertulis sudah, temu duga sudah tetapi jawapannya masih mendukacitakan. Mungkin itu sudah
nasib. Apa boleh buat, pelajaran hanya setakat itu saja. Oleh kerana pengalaman ini, isteri Bugal bertekat terus untuk mendidik anak-anak mereka hingga berjaya. Biar berkorban wang ringgit, penat lelah yang penting anak-anaknya dapat hidup senang kemudian hari.
“Kenapa yang?” Tanya Bugal pada suatu petang sambil duduk membelek surat khabar ‘Media Permata’.
“Ngalih, tadi banyak keraja. Aku seorang saja, mencuci banyak bilik. Gaji inda seberapa,” jelas isteri Bugal.
Mendengar penjelasan isterinya itu, Bugal terus merasa serba salah. Sepatutnya isterinya tidak perlu kerja, sudah cukup untuk menyediakan makan minum dan menguruskan rumah untuk keluarga. Bugal faham, kerja yang dibuat oleh isterinya itu cukup berat. Ditambah lagi dengan keadaan kesihatannya yang tidak begitu pasti. Harapan Bugal isterinya itu dapat bertahan untuk bekerja lebih lama lagi di situ untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Bugal mengeluh panjang.
“Pa, kasut sekolah ku koyak. Lama sudah inda mambali. Kasut sukan pun koyak jua,” Kata anak Bugal. Ini bererti Bugal terpaksa memerlukan duit lagi untuk membeli kasut baru. Mungkin ini satu ke-
perluan anaknya sejajar dengan keperluan sekolahnya.
“Nanti bapa belikan, tunggu tarima. Kasut sukan atu, kalau boleh repair hantar saja arah tukang kasut,” nasihat Bugal.
Anaknya tidak membantah. Asal saja rosak Bugal suruh baiki. Dahulu kasut bola Si Jibun rosak dibaiki jua. Sebenarnya Bugal pun tidak ingin dibaiki kerana dibaiki pun rosak juga akhirnya. Jadi adalah baik membeli yang baru saja. Tetapi oleh kerana kemampuan terbatas, first choice ialah repair.
Bugal begitu kesihan melihat anak-anaknya. Mereka banyak kekurangan. Tetapi itu tidak mengapa, apa yang Bugal harapkan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran kelak. Dia juga berharap anak-anaknya faham akan maksud Bugal dan isterinya.

“Kami, waktu cuti sekolah ani akan ke KL. Kami akan membawa kita sama.” Kata anak saudara Bugal pada Jibun ketika mereka berkunjung ke rumah. Bugal juga duduk di situ ketika itu. Sebelum anak Bugal, Jibun sempat membalas, Bugal membalas terlebih dahulu.
“Balum ada rancangan lagi. Cuti atu nanti kami kan ke kampung. Membersihkan kabun dan rumah nini di kampung.”
Yang sebenarnya jawapan Bugal itu memang separuh ikhlas. Dia cuma menyedapkan ajakan anak saudaranya itu. Jauh di lubuk hatinya memang ingin ikut sama, maklumlah waktu cuti sekolah. Ini adalah peluang yang terbalik untuk melegakan fikiran selepas penat lelah kerja dan belajar di sekolah. Sebab itulah ramai yang pergi melancong ke luar negeri apabila cuti persekolahan.
Bagi Bugal perkara sebegini banyak yang tinggal rancangan saja. Alasannya ekonomi belum mengizinkan. Kalaupun ada cuma melancong ke kawasan yang terdekat saja seperti Miri, Limbang, Labuan dan KK. Itu pun Bugal bersyukur kerana dapat melihat negeri orang dan merehatkan otak. Bugal berharap anak-anaknya akan faham dan menerima hakikat ini.
“Jibun, Bang Toyib dari mana kamu ni? Siapa dengan kamu? Mana bapa kamu?” Tanya isteri Bugal melihat anak-anaknya baru sampai dari pasar.
“Bapa membawa ke pasar tadi, mambali ikan. Ani ikannya. Kami balik dulu ikut uncle Budin. Sabab kerita bapa inda mau distart. Jadi bapa tinggal menunggu tukang tunda kereta,” jelas Jibun pada emaknya.
“Ani sudah pasti abang tu bingung lagi. Kerita atu mambuat olah tah jua,” bisik isteri Bugal keseorangan.
Bugal betul-betul bingung. Waktu itu waktu tengah hari. Jalan raya kurang sibuk tapi cuaca panas. Mujur juga hari itu hari Ahad, anak-anak tidak pergi ke sekolah. Kalau tidak, siapakan menjemput anak-anaknya pulang dari sekolah. Tapi sayang, woksyop tidak ada yang buka pada hari Ahad. Kalau buka pun hanya setengah hari saja. Bugal terpaksa menyuruh tukang tunda kereta mengangkat keretanya langsung ke rumah saja.
Bugal mengeluh lagi. Sudah pun anak-anaknya memerlukan duit, keretanya juga memerlukan duit untuk membaiki. Bugal terasa serba salah. Malam itu dia tidak dapat tidur lena. Dia merasa susah untuk memejamkan matanya. Kalau hari siang ingin rasa Bugal berjoging rumah untuk menenangkan fikirannya itu. Memang berjoging sebahagian daripada hobinya. Tetapi disebabkan banyaknya anjing liar yang berkeliaran menyebabkan aktivitinya itu selalu terbantut.
“Encik Bugal siap sudah pelan tindakan yang kusuruh buat atu? Kalau siap bah hantarkan tah ya. Aku mau selewat-lewatnya esok pagi.” Kata ketua Bugal, puan Maria. Bugal sudah lama bekerja di pejabat puan Maria. Dia sudah lebih arif akan perangai bosnya itu.
“Sudah puan, cuma balum diprint lagi.” Balas Bugal. Bugal membuka komputernya dan bersedia untuk memprint. Tiba-tiba bekalan elektrik seluruh bangunan di situ terputus. Bugal tidak sempat berbual apa-apa. Nasibnya baik kerana semuanya sudah disimpannya dalam pen drive. Bugal membuat kerja lain iaitu mengemaskan fail-fail pejabatnya.
Semasa dia sibuk mengemaskan fail-fail ini, telefon di atas meja berdering.
“Helo Encik Bugal. Kita dijemput meeting tergempar petang ini, selepas waktu pejabat, pukul 4.30 petang. Bawa sekali pelan tindakan yang bos maksudkan itu. Okay, jangan kita lupa.” Begitu pesan dalam telefon itu. Bugal tahu pesanan itu datang dari setiausaha puan Maria yang duduk di luar biliknya itu.
Bugal mengeluh lagi. Kali ini dahinya juga kelihatan basah oleh bintik-bintik peluhnya. Sebenarnya petang itu dia telah berjanji dengan isterinya dan anak-anaknya untuk makan di luar. Maklumlah Bugal jarang ada kesempatan untuk membawa seisi keluarga makan di luar. Kalau adapun tapi duit tidak ada. Kali ini dia ada lebih duit sedikit, selepas membayar bil elektrik kelmarin.
Tapi kerana urusan pejabat, janjinya itu tinggal janji. Bugal terpaksa akur kehendak pejabat, iaitu menghadiri meeting petang itu. Maklumlah kerja di pejabat itu adalah ‘periuk nasi’nya. Dengan hasil kerjanya ini Bugal dapat menyarakan hidup keluarganya.
Bugal mengesat bintik-bintik peluh di dahinya itu dengan sapu tangan. Bintik-bintik peluh itu pun hilang dalam lipatan sapu tangannya.
“Pa, kalau bapa balik nanti, belikan ‘donat’ lima biji”. Tiba-tiba Bugal teringat akan pesanan anaknya ketika dia turun kerja pagi itu. Bugal terus membuka dompetnya dan ternyata duitnya cuma tinggal BND2 saja.
“Sebiji ‘donat’ hanya BND1.30, macamana kan mambali lima buting.” Bisik Bugal. Bugal mencari kalau-kalau ada terdapat duit syiling dalam lacinya. Bugal mengeluh lagi, dan mengeluh lagi.
Kembali ke muka utama
|