Warga KHEU akan terus berusaha serta mengamalkan sikap bekerja dengan penuh komitmen, efisien dan bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaatnya.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Hajah Hasnah binti Haji Omar yang juga selaku Pengerusi Bersama Majlis Hari Pelanggan KHEU Keempat berlangsung di PDI.
Menurutnya, hasil usaha dan kerja keras tersebut, KHEU telah mencapai banyak kejayaan dalam berbagai bidang, bagaimanapun kementerian itu dan jabatan di bawahnya perlu peka dan sensitif kepada perubahan-perubahan dan cabaran-cabaran di era globalisasi.
Katanya, Hari Pelanggan yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pentadbiran KHEU itu bukan saja bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pelanggan dan orang ramai, tetapi juga sebagai satu peluang atau kesempatan kementerian itu mendapatkan maklum balas dari pelanggan.
“Sumbangan buah fikiran adalah sangat-sangat dihargai supaya kementerian ini dapat berusaha meneliti dan menilai akan prestasi perkhidmatan, berusaha untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dan mencari jalan ataupun cadangan-cadangan bagi mengatasi dan membaiki kelemahan serta kekurangan tersebut supaya prestasi kementerian ini dapat dipertingkatkan selaras dengan maksud tema Sambutan Hari Pelanggan 'Bersama Komited Membangun Perubahan',” ujarnya.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu, Pengarah Pentadbiran KHEU, Pengiran Haji Mohd. Tahir bin Pengiran Haji Yussof yang juga berkesudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang Peraduan Kuiz Balai Pameran PDI.
Seramai 50 pengunjung bertuah berjaya menjawab dengan betul kuiz anjuran Balai Pameran PDI yang telah diadakan sepanjang tahun 2008.