|
Perkampungan Sivik beri informasi hal-hal kenegaraan dan kemasyarakatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Semua peserta Perkampungan Sivik yang terdiri daripada mahasiswa Negara Brunei Darussalam yang sedang dan akan menjalankan pengajian mereka di seberang laut melahirkan rasa bangga dan gembira mengikuti perkampungan selama empat hari ini diadakan.
AWANG Nur Mohammad Iskandar bin Haji Masri berusia 20 tahun mengambil jurusan Geophysics di Universiti Edinburgh.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
Wakil PELITA BRUNEI sempat membuat pendekatan dengan beberapa orang peserta perkampungan sivik tersebut Awang Nur Mohd. Iskandar bin Haji Masri, 20, yang sedang melanjutkan pengajian di Edinburgh University dalam jurusan Geophysics merasakan dengan semangat jiwa kerakyatan Brunei yang ada dalam diri beliau, di samping pengisian yang amat bermanfaat setelah mengikuti perkampungan sivik ini.
Bagi mahasiswa 19 tahun yang belajar dalam Kejuruteraan Mekanikal di Imperial College London, Awang Muhammad Ayyub bin Haji Kamaludin menyatakan kursus seumpama ini telah banyak memberikan informasi yang berfaedah terutama mengenai dengan hal-hal negara serta kemasyarakatan khususnya di Negara Brunei Darussalam.
MOHAMMAD Ayyub vin Haji Kamaluddin mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Imperial College, London.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
“Maklumat ‘first-hand’ dari pegawai-pegawai kerajaan adalah perkara yang sangat relevan bagi kami generasi baru yang mana kami akan kemudiannya terus memimpin dan penyambung arus negara kelak,” tambahnya lagi.
Manakala, Dayang Barizah binti Haji Hassan, 22, mengikuti BSc. Biomedical Science di University of Surrey, Guildford menyatakan banyak aspek-aspek penting yang harus diambil perhatian telah disampaikan sepanjang kursus ini seperti tentang penyelewengan akidah agar tidak terpesong serta tidak mudah terikut-ikut dengan gejala-gejala negatif yang hanya merosakkan akidah dan minda.
DAYANG Barizah binti Haji Hassan menuntut di University Surrey, Guildford, United Kingdom.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
Selain itu, beliau menjelaskan juga tentang Sindiket Dadah Antarabangsa yang sekarang ini telah berlaku di rantau ini yang mesti diambil perhatian agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa sindiket itu.
Awangku Ahmad Khairuddin ‘Azim bin Pengiran Haji Mohd. Salleh, 19, ketika ditemubual PELITA BRUNEI berpendapat bahawa dengan adanya kursus ini sebagai satu pengenalan awal bagi para mahasiswa tentang hal ehwal semasa seperti Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN 21) bagi menambah lagi pengetahuan apabila selesai pembelajaran nanti.
AWANGKU Ahmad Khairuddin 'Azim bin Pengiran Haji Md. Salleh, berumur 19 tahun yang akan mengambil jurusan Geophysics di Universiti Leeds
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
“Saya berharap agar lawatan akan lebih dilanjutkan ke sektor-sektor swasta bagi menambah lagi pengetahuan agar dapat membuka lagi minda kami tentang kegiatan-kegiatan yang dijalankan di sektor tersebut,” tambah pelajar yang mengambil jurusan Geophysics di Leeds University itu.
Awang Hadi Afiq bin Mohd. Kamis, 19, dari University of Sheffield dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal pula berharap agar kursus ini dipergiatkan lagi dari masa akan datang bukan sahaja para mahasiswa dan mahasiswi tetapi kepada masyarakat umum kerana intipati kursus ini sangat berguna iaitu dari sistem pentadbiran negara, sistem pendidikan seperti SPN21, adat-istiadat negara dan beberapa taklimat-taklimat yang lain bagi megembangluaskan lagi kefahaman mengenai Negara Brunei Darussalam.
AWANG Hadi Afiq bin Mohammad Kamis, dari Universiti Sheffield mengambil Kejuruteraan Mekanikal (Mechanical Engineering)
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
“Cadangan saya pada masa akan datang agar diperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti seperti riadah, keagamaan yang boleh meningkatkan minda serta keyakinan diri bagi setiap mahasiswa dan mahasiswi bagi memimpin negara di suatu masa kelak,” ujar Dayang Nurul Huda binti Abdul Hamid, pelajar 20 tahun yang mengambil jurusan Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin (Tafsir dan Ulum Al-Quran) di Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Wakil PELITA BRUNEI juga sempat menemubual Setiausaha Bersama Perkampungan Sivik 2009 menyatakan kursus berkenaan telah berjaya memberikan maklumat-maklumat baru dan yang terkini mengenai dasar-dasar dan perkembangan dalam kerajaan Negara Brunei Darussalam serta program-program yang diatur dan tajuk-tajuk ceramah serta lawatan-lawatan ke beberapa agensi kerajaan.
DAYANG Nurul Huda binti Abdul Hamid mengambil Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
“Beberapa tajuk ceramah dan lawatan ke tempat-tempat yang baru akan diperkenalkan mengikut kesesuaian dan keadaan masa akan datang dan di samping itu, para peserta mendapat sesuatu yang berharga untuk mereka dan mencapai matlamat utama perkampungan ini,” tambahnya lagi.
(Oleh : Wan Mohammad Sahran Wan Ahmadi)
Kembali ke muka utama
|