|
Berkenan menerima Surat Tauliah Pelantikan empat perwakilan negara sahabat
 KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima SuratTauliah Pelantikan daripada Duta Besar Republik Filipina yang baru di lantik ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alexander Badong Yano.
(Foto : Masri Osman)
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima Surat-surat Tauliah Perlantikan empat orang perwakilan negara-negara asing yang baru dilantik ke Negara Brunei Darussalam berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan dari Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alexander Badong Yano, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Robert Dominic Russell Fenn, Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea ke Negara Brunei Darussalam yang tidak menetap, Tuan Yang Terutama Christian Anthony Vhiruri dan Duta Besar dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah ke negara ini yang tidak menetap, Tuan Yang Terutama Julian Wilson.
 KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima SuratTauliah Pelantikan daripada Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland yang baru dilantik ke Negara Brunei Darussalam, TYT Robert Dominic Russell Fenn.
(Foto : Masri Osman)
Selepas menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan, Kebawah DYMM juga berkenan menerima mengadap secara berasingan Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dari Republik Filipina, The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Papua New Guinea dan Suruhanjaya Eropah di ruang lain istana.
Duta Besar Republik Filipina, TYT Alexander Badong Yano, 56, sebelum ini berkhidmat dengan angkatan tentera negara tersebut dan terakhir memegang jawatan selaku Ketua Turus Angkatan Tentera Republik Filipina.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, TYT Robert Dominic Russell Fenn sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Nicosia, Cyprus.
 KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima SuratTauliah Pelantikan daripada Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea yang baru di lantik ke Negara Brunei Darussalam, TYT Christian Anthony Vhiruri.
(Foto : Masri Osman)
Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea, TYT Christian Anthony Vhiruri, 52, sebelum ini bertugas selaku Konsul Agung negara berkenaan di Brisbane, Australia.
 KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima SuratTauliah Pelantikan dari Duta Besar dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah yang baru dilantik ke Negara Brunei Darussalam, TYT Julian Wilson.
(Foto : Masri Osman)
Manakala, Duta Besar dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah yang beribu pejabat di Jakarta Indonesia, TYT Julian Wilson, 49, pada masa yang sama adalah Ketua Delegasi negara berkenaan ke Sri Lanka dan Maldives.
(Oleh : Siti Zuraihah Awang Sulaiman)
Kembali ke muka utama
|