Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Perkampungan Sivik
tingkatkan pengetahuan para peserta

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi berkata, Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Sebarang Laut 2009 telah banyak memberi manfaat dari segi ilmu pengetahuan yang berguna sama ada dalam hal ehwal sosioekonomi dan politik Negara Brunei Darussalam yang menjurus kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).


TETAMU Kehormat, Timbalan Menteri Pendidikan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Seberang Laut 2009.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)

Perkara ini menurut Dr. Muhammad Hadi diperolehi berdasarkan maklum balas dan pendapat mahasiswa sendiri yang telah menyertai program selama empat hari itu.

Pengarah Penerangan, menyatakan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Penutupan Rasmi Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Sebarang Laut 2009 yang diadakan di Jabatan Penerangan, Berakas di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Sebarang Laut 2009, Timbalan Menteri Pendidikan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad.

Menurut Dr. Muhammad Hadi, memandangkan perkampungan ini telah terbukti menyumbangkan peranan yang positif terhadap pembentukan akhlak dan nilai-nilai norma budaya kebruneian dan menyuntik ilmu pengetahuan yang berguna khususnya maklumat terkini mengenai negara ini, maka Jabatan Penerangan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn. Bhd. akan meneruskan program ini di masa akan datang dengan membuat sedikit pembaharuan format yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan cabaran era globalisasi masa kini.

Beliau juga berharap para peserta yang menyertai program ini akan memanfaatkan dan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dan seterusnya menjadikannya sebagai senjata serta pendinding dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan dugaan ketika belajar di luar negara.

PENGARAH Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Abdullah Melayong semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Penutupan Rasmi Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Sebarang Laut 2009 yang diadakan di Jabatan Penerangan
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)

Ke arah itu, beliau mendoakan agar para mahasiswa tersebut tidak akan terpengaruh atau terpesong dengan idea-idea atau apa jua bentuk budaya dan anasir negatif yang tidak sihat yang boleh membawa kepada perubahan sama ada dari segi prinsip, pegangan hidup, agama, idea atau nilai-nilai budaya yang bertentangan dengan falsafah MIB.

”Ini adalah merupakan dasar pendidikan yang ingin kita capai iaitu melahirkan mutu insan yang mempunyai semangat cinta kepada agama, raja dan negara serta bertanggungjawab bagi menjamin 'survival' keunggulan pemerintahan Kesultanan MIB di Negara Brunei Darussalam,” ujar Pengarah Penerangan.

Tegas Dr. Muhammad Hadi lagi, sebagai tanda kasih dan ketaatan kepada pemimpin yang begitu prihatin terhadap pendidikan rakyatnya sudah seharusnya para mahasiswa yang mendapat biasiswa kerajaan untuk meneruskan pengajian ke luar negeri menggunakan peluang dan kesempatan itu supaya berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara untuk membangun negara yang dicita-citakan.

Majlis penutupan rasmi bermula dengan menyanyikan Lagu Kebangsaan beramai-ramai diikuti lagu ‘Bendera Negara’.

Di akhir majlis, para mahasiswa yang menyertai perkampungan ini menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan sebagai tanda yang mereka telah berjaya mengikuti perkampungan selama empat hari tersebut.

(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)

Kembali ke muka utama