Majlis keagamaan itu diadakan petang tadi di Kompleks Litar Memandu, Jabatan Pengangkutan Darat, Kampung Sungai Akar di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Juga hadir sama, Timbalan Menteri Perhubungan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Awang Yusof bin Haji Abd. Hamid, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan di kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis bermula dengan bacaan Ratib Al-Attas dipimpin oleh pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan disusuli dengan ceramah khas Nisfu Syaaban dan persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Ia disampaikan oleh penceramah undangan dari PDI, Awang Haji Ismail bin Haji Md. Arif yang antara lain menjelaskan sunat bagi umat Islam membesarkan kedatangan 15 Syaaban dalam kalendar Islam atau malam Nisfu Syaaban.
Kerana, katanya, barangsiapa umat Islam yang berdoa dan membaca Yaasin sebanyak tiga kali selepas Sembahyang Fardhu Maghrib nescaya akan dikabulkan segala permintaannya selagi ia tidak menyekutukan Allah atau melakukan dosa-dosa besar dan ia sudah bertaubat.
Acara keagamaan itu diteruskan dengan Sembahyang Asar Berjemaah dan Sunat Hajat, kira-kira 150 orang hadir di majlis itu.
(Oleh : Abdullah Asgar)
Kembali ke muka utama