Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Majlis Pecah Tanah
Bagi Projek Tenaga Suria Brunei

SERIA, Rabu, 5 Ogos. - Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Awang Hashim berkata sejak sekian lama Negara Brunei Darussalam bergantung kepada gas asli dan diesel sebagai bahan api bagi loji penjana kuasa untuk meningkatkan keperluan tenaga elektrik.

TETAMU kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Ismail ketika berucap merasmikan Majlis Pemecahan Tanah bagi Tenaga Suria Brunei.

Menyedari akan hakikat tersebut katanya, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mencari berbagai pilihan bukan hanya membolehkan negara memperoleh tenaga campuran yang lebih meluas dan berbagai lagi, tetapi juga bagi keselesaan dari segi kemantapan dan keselamatannya.

Beliau menambah apabila Projek Tenaga Suria Brunei (TSB) siap, ianya akan menghasilkan 1.344 MWH elektrik setahun dan sebagai tambahan, negara akan menjimatkan sekitar 340,400 liter minyak mentah dan pengurangan kira-kira 940 tan CO2 pengeluaran tahunan. Beliau menyatakan perkara tersebut di Majlis Pemecahan Tanah Bagi TSB bertempat di Stesen Janakuasa di sini.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bagi Projek TSB telah diadakan pada bulan Ogos tahun lalu, di antara kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Bahagian Tenaga di JPM dengan Perbadanan Mitsubishi (MC).

Projek tersebut merupakan permulaan bagi projek demonstrasi solar Photovoltaic (PV). Berikutan dengan selesainya spesifikasi bagi sistem PV yang diungkayahkan pada Januari lalu, di mana Sistem Janakuasa AE Jepun (JAEPS) telah dilantik oleh MC sebagai kontraktor utama bagi melaksanakan projek tersebut yang dijangka siap pada tahun 2010.


TETAMU kehormat bergambar ramai bersama para pegawai Bahagian Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Mitsubishi (MC).

Sistem PV dengan kapasiti nominal 1.2 MW mengandungi enam jenis berlainan modul PV yang maju akan dipasang di Janakuasa Stesen Seria dan ia merupakan pemasangan pertama bagi sistem PV berskala besar di Negara Brunei Darussalam.

Dengan menggunakan sistem ini, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Bahagian Tenaga di JPM dan MC akan meneruskan ujian pengesahan bersama bagi tempoh lebih tiga tahun untuk menilai kesesuaian setiap modul bagi kegunaan dalam keadaan iklim tropika di negara ini.

Projek tersebut bukan hanya mengukuhkan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan MC, tetapi juga sebagai langkah utama untuk mempromosi pembangunan bagi tenaga baru di negara ini.

Projek TSB dibiayai sepenuhnya oleh MC sebagai sebahagian dari aktiviti tanggungjawab sosial syarikat tersebut yang akan menjadi salah satu projek PV terbesar di Asia Tenggara.

Antara kesan yang boleh dijangkakan dari PV termasuk bekalan elektrik yang bersih bagi menghalang perubahan iklim, di samping dapat membekalkan tenaga elektrik setempat untuk kawasan pendalaman.

Antara objektif TSB ialah untuk mengenal pasti keupayaan tinggi teknologi PV dan kesesuaiannya dalam keadaan persekitaran meteorologi tempatan, di samping untuk membantu perkembangan sumber manusia dalam bidang PV di negara ini.

(Berita dan foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Kembali ke muka utama