TINJAUAN

Katakan ‘nda’ pada dadah
Oleh : Norliah Md. Zain

DADAH adalah keperluan yang digunakan oleh manusia untuk dijadikan sebagai ubat untuk menyembuhkan penyakit. Namun demikian, apabila ia disalahgunakan akan mendatangkan keburukan kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Disebabkan keburukan inilah maka timbul usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

Penyalahgunaan dadah merupakan sesuatu yang sangat berbahaya sehinggakan penyelesaian yang paling baik kepada penyalahgunaan dadah ialah untuk tidak mencuba menggunakan dadah sama sekali, kerana sekali mencuba boleh mengakibatkan kehancuran seumur hidup.

SITUASI DADAH

Dianggarkan 200 juta manusia antarabangsa menyalahgunakan dadah haram. Di Amerika Syarikat sahaja, hasil dari kajian National Survey on Drug Abuse and Health menunjukkan 19.5 juta rakyat Amerika tahun 2003 menyalahgunakan dadah.

Dadah yang paling banyak disalahgunakan ialah dari jenis marijuana. Mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2005, empat peratus dari penduduk dunia menyalahgunakan cannabis / ganja.

Di Australia, dadah yang sering digunakan dan disalahgunakan ialah alkohol. Alkohol juga merupakan peratus kedua tertinggi yang menyebabkan kemalangan jalan raya yang membawa maut di kalangan remaja di Amerika Syarikat.

Generasi muda pada masa ini terdedah lebih awal kepada dadah. Berpandukan kajian U.S Center for Disease Control pada 2003, 45 peratus penuntut sekolah menengah di Amerika Syarikat meminum alkohol dan 22 peratus menghisap ganja dalam masa sebulan.

Kajian terbaru di Eropah menunjukkan di antara sepuluh hingga 30 peratus di kalangan pelajar 15 tahun menggunakan cannabis, manakala pelajar lelaki dilaporkan yang tertinggi di United Kingdom sebanyak 42.5 peratus. Penggunaan kokain di Eropah juga meningkat. Di Spain dan United Kingdom lebih 2.5 peratus lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat. Penyalahgunaan kokain meningkat di Austria, Denmark, Germany, Greece, Ireland, Italy, Spain dan Netherlands.

Di Negara Brunei Darussalam, dadah syabu merupakan dadah yang paling banyak disalahgunakan oleh penagih-penagih dadah sejak tahun 2000. 42 penuntut pada tahun 2007 dari pelbagai peringkat ditangkap kerana terlibat menyalahgunakan dadah syabu, ganja, estacy, erimin 5 dan bahan-bahan yang mengkhayalkan. Sembilan daripadanya terlibat menghidu gam. Kebanyakan generasi muda di Negara Brunei Darussalam terlibat menyalahgunakan dadah adalah atas dorongan rakan sebaya atau pengaruh kawan-kawan.

Bagi memperingati masyarakat global tentang usaha-usaha yang dilaksanakan dalam pembanterasan dan pengawalan dadah haram seluruh dunia, maka semua negara-negara di bawah PBB menyambut 'Hari Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram' pada 26 Jun setiap tahun.

Pada tahun ini, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mengungkayahkan Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram pada 26 Jun yang lalu, di Hua Ho Petani Mall Tutong. Hadir merasmikan sambutan tersebut Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dayang Apsah binti Haji Abdul Majid. Sambutan tersebut berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Jun yang diisi dengan pelbagai program pendidikan pencegahan dadah. Aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk mendedahkan kepada mereka tentang pendidikan pencegahan dadah yang perlu mereka hayati dan fahami. Ia juga bagi mendorong mereka untuk melibatkan diri dengan program-program yang lebih bermanfaat dan terancang sebagai pilihan terbaik bagi mereka untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi aktiviti-aktiviti yang tidak sihat khususnya dadah.

KESAN

Semasa majlis tersebut Dayang Apsah antara lain berkata kesan gejala penyalahgunaan dadah itu boleh menghancurkan seseorang individu, merosakkan keharmonian keluarga, meruntuhkan kesejahteraan bermasyarakat dan boleh menggugat kestabilan sesebuah negara itu sendiri.

Jelasnya, negara sudah setentunya akan mengalami kerugian yang amat besar dan akan terbeban dengan kos-kos pemulihan dan rawatan. Oleh yang demikian katanya, penglibatan semua lapisan masyarakat adalah perlu. Ibu bapa, para pendidik dan ketua-ketua masyarakat secara umumnya seharusnya menunjukkan 'role model' yang baik kepada golongan ini. Beliau juga yakin dengan usaha yang padu lagi gigih dari semua pihak, kita akan dapat mengurangkan dan tidak mustahil untuk memberhentikan sama sekali para belia, terutama sekali para pelajar dari melibatkan diri dengan kegiatan yang mengerikan ini.

Kementerian Pendidikan jelasnya, memang memainkan peranan dalam membantu pihak BKN dalam kempen-kempen Pendidikan Pencegahan Dadah. Ke arah itu usaha-usaha yang sedia ada dan juga yang akan dilaksanakan akan dipertingkatkan agar dapat mencapai objektif-objektif yang dihasratkan.

Justeru itu katanya, pihak BKN dan Kementerian Pendidikan akan terus berganding bahu untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama yang telah sedia ada dan sentiasa mencari jalan yang lebih efektif untuk menerapkan pendidikan pencegahan dadah di kalangan para pelajar dari peringkat akar umbi lagi. Adalah dihasratkan agar golongan belia dan juga penuntut-penuntut akan terus diberikan pengetahuan yang komprehensif mengenai bahaya penyalahgunaan dadah bagi mengukuhkan kefahaman dan seterusnya meningkatkan kesedaran mereka serta untuk dijadikan sebagai benteng bagi para belia dan pelajar agar tidak dipengaruhi dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau turut menyeru kepada BKN dan Kementerian Pendidikan agar terus berikhtiar dan berusaha lebih gigih dalam memikul tanggungjawab yang sangat mencabar ini. Peranan kaunselor sepenuh masa di peringkat sekolah perlu dipertingkatkan dari segi pemedulian serta pemantauan perkembangan akademik dan kesejahteraan para pelajar. Penglibatan agensi-agensi yang berkaitan seperti sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BASMIDA, pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan-persatuan belia adalah tidak kurang pentingnya dalam sama-sama memainkan peranan masing-masing, ujarnya.

TEMA

Tema sambutan yang ditetapkan oleh PBB iaitu 'Do Drugs Control Your Life' berterusan digunakan selama tiga tahun bermula tahun lepas yang memfokus kepada isu penyalahgunaan dadah. Pada tahun 2008 isu yang telah dipilih ialah isu pengeluaran dadah yang mana isu tersebut tidak menepati senario di Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, pihak BKN telah memilih tema tempatan iaitu 'Menjana Tunas Bangsa Bebas Dadah'.

'Menjana Tunas Bangsa Bebas Dadah' dengan pengertiannya melahirkan, mengeluarkan dan mempersiapkan secara berterusan tunas-tunas bangsa kitani yang berilmu pengetahuan, bersemangat dan jati diri yang kental dalam menghadapi cabaran pengaruh dadah untuk menuju bebas dadah.

Dayang Apsah juga berkata tema 'Menjana Tunas Bangsa Bebas Dadah' adalah sebagai menjunjung tinggi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, yang mana telah menekankan mengenai isu penyalahgunaan dadah dan juga golongan tunas bangsa.

Tema ini juga memberikan gambaran bahawa negara amat mengambil berat mengenai kesejahteraan, perkembangan dan hala tuju golongan tunas bangsa yang terdiri dari para belia dan para pelajar kerana mereka adalah aset negara yang menjadi pewaris generasi akan datang serta sebagai survival bangsa, negara dan agama.

'NO DRUGS AT ALL' (NDA!)

Slogan berciri tempatan telah dilancarkan bersempena dengan Hari Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram. Slogan 'NDA!' yang disebut 'inda' telah dipilih sebagai slogan dalam berkempen menolak kepada penyalahgunaan dadah sama sekali. Abjad NDA juga mengandungi erti 'No Drugs at All'. Slogan NDA akan digunakan bermula 26 Jun 2008 secara berterusan dalam berkempen anti dadah di negara ini.

STATISTIK

Pada tahun 1999 hingga tahun 2007, BKN telah berjaya membuat tangkapan sejumlah 5403. Kebanyakan tangkapan adalah terdiri daripada golongan belia yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan yang tidak bekerja. Malah penuntut sekolah juga tidak terkecuali terlibat dalam tangkapan ini.

Pemangku Pengarah BKN, Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram berkata, pada tahun 2007 sebanyak 732 kes telah direkod di mana 42 orang adalah penuntut-penuntut sekolah. Dari jumlah tersebut, 33 orang adalah penuntut lelaki dan sembilan orang adalah perempuan. Ini adalah satu fenomena yang amat mengecewakan dan membimbangkan semua pihak terutamanya ibu bapa mereka.

Sementara itu sehingga Mei 2008, sebanyak 222 tangkapan telah pun dibuat yang majoritinya adalah golongan belia dan tidak bekerja.

BANTERAS

Dadah apabila disalahgunakan memang mendatangkan banyak keburukan. Maka implikasi buruk inilah telah menyebabkan wujudnya kesedaran dalam masyarakat untuk membanteras wabak ini. Malah di Negara Brunei Darussalam, wujudnya enakmen 'Dangerous Drugs Enactment 1956' menunjukkan bahawa penggunaan dadah sudah mula dikawal di negara ini pada tahun 1956. Sejak itulah, enakmen-enakmen mengenai penyalahgunaan dadah telah mula menerima pindaan sehingga akta yang digunakan sekarang iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27.

Dengan memperkenalkan slogan 'NDA' yang merupakan slogan bercita rasa kitani ini, mudah-mudahan maknanya akan melekat di minda dan di hati setiap individu tidak kira kanak-kanak atau dewasa. Insya-Allah dengan sokongan yang kuat dari jabatan dan rakan kempen serta masyarakat amnya, objektif kempen akan dapat dicapai.