PENGARAH Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Haji Othman bersama peserta-peserta Walkaton Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam memulakan perjalanan dari Pantai Jerudong ke Bandar Seri Begawan.
JERUDONG, Ahad, 15 Jun. - Aktiviti sukan seperti walkaton juga dapat membantu insan-insan berkeperluan khas untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran bahawa mereka boleh berupaya di sebalik kekurangan pada diri masing-masing.
Sehubungan itu kira-kira 200 atlet ‘Special Olympics’ yang terdiri dari mereka yang kurang upaya intelek yang mewakili Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pusat Ehsan Kampong Bengkurong dan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak menyertai walkaton sejauh 22 kilometer yang bermula di kawasan Pantai Jerudong menuju ke Bandar Seri Begawan.
Acara pelepasan para atlet yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni selaku Naib Pengerusi Special Olympics Brunei Darussalam telah disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Haji Othman.
Ketibaan para atlet yang diiringi oleh ahli-ahli dari Persatuan PEMODA di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara telah dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dayang Apsah binti Haji Abdul Majid.
Walkaton ‘Special Olympics’ yang turut disertai oleh ahli keluarga dan para sukarelawan bertujuan untuk menambah dana bagi mengungkayahkan program bagi para atlet ‘Special Olympic’ sepanjang tahun.
SEBELUM memulakan perjalanan, doa selamat dibacakan oleh Naib Pengerusi Special Olympics Brunei Darussalam, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni.
Selain itu ia juga untuk meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan menjadi motivasi pada peserta untuk menjadi masyarakat yang berguna dan digalati melalui kebolehan mereka di bidang sukan.
Tahun ini Special Olympics Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bocce Asia Pasifik Kali Kedua pada 19 hingga 24 Ogos yang mana akan disertai sepuluh buah negara bagi Program Special Olympics Asia Pasifik di rantau ini.
Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac 2004 dengan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan Pusat Ehsan, Special Olympic Brunei Darussalam telah menyertai beberapa latihan sukan dan acara-acara pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Adalah diharapkan atlet berkeperluan khas yang menyertai aktiviti sihat seumpama ini akan menggunakan kesempatan tersebut demi mempertingkatkan kecergasan fizikal diri mereka.
PENANJONG, Rabu, 25 Jun. - Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menjuarai Perlawanan Kemahiran Menembak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) AFSAM (Armed Forces Skill at Arms) tahun 2008.
Penutupan rasmi perlawanan itu disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof di Kompleks Padang Tembak Binturan, Penanjong Garison yang seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang di Lapang Sasar Galeri 1.
Pada upacara itu tetamu kehormat juga diberikan taklimat perlawanan sebelum dijemput ke Gelanggang Tembak di jarak 300 meter bagi perlawanan VIP Novelty Pistol, perlawanan menjatuhkan Piring Besi Jemputan dan perlawanan menjatuhkan Piring Besi Repal Akhir.
Matlamat kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru dan meningkatkan tahap kemahiran di bidang menembak bagi peserta ABDB untuk menyertai pertandingan di peringkat yang lebih tinggi sama ada di kalangan individu, unit, negara dan juga antarabangsa selain menentukan johan antara unit-unit ABDB.
Selain daripada itu, AFSAM juga bertujuan bagi mengeratkan semangat setiakawan di antara anggota dan unit di dalam ABDB dan juga dengan pasukan-pasukan yang diundang dari agensi-agensi luar.
Perlawanan itu disertai oleh TDDB, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Perkhidmatan Bantu ABDB, Institut Latihan ABDB dan Rejimen Pasukan Khas.
Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Penjara dan Unit Simpanan Gurkha juga menyertainya.
Perlawanan AFSAM 2008 anjuran ABDB meliputi disiplin alat penembakan pistol repal dan 'General Purpose Machine Gun' itu dikendalikan TDDB.
Pada tahun ini ABDB juga akan mengadakan Perlawanan Menembak Antarabangsa atau BISAM 08 (Brunei International Skills at Arms Meeting).
LIMBANG, Khamis, 22 Jun. - Sebanyak 13 buah pasukan telah menyertai Tarik Kalat Antara Kelab SeBorneo 2008 Kali Ke-2 sempena ulang tahun ke-45 Sarawak maju dalam Malaysia.
Antara pasukan yang menyertai pertandingan itu ialah tujuh buah pasukan dari Negara Brunei Darussalam (NBD), dua pasukan dari Sabah dan empat pasukan dari Limbang.
Pertandingan tersebut berlangsung di kompleks Sukan Limbang, Sarawak.
Pasukan JJ Team adalah di antara pasukan Negara Brunei Darussalam yang menyertai pertandingan itu buat pertama kalinya. Pasukan ini diletakkan dalam Kumpulan A bersama MG5 'A' Temburong NBD, JKR 'B' (NBD) dan kelab Sukan Kota Raya (Limbang, Sarawak).
Dalam peringkat saringan, JJ Team telah melihatkan kemantapan dan ketahanan stamina dalam menarik kalat secara berdiri yang mana mereka telah menempah tiket ke suku akhir setelah menundukkan cabaran mereka dalam Kumpulan A.
Dalam pertandingan akhir bagi merebut juara dan naib juara, JJ Team telah bertemu dengan JKR 'A' (NBD). Dalam pertemuan itu JJ Team hanya mampu menyandang naib juara, sementara pasukan JKR 'A' memenangi pertandingan itu dengan mudah.
Kejohanan Tarik Kalat SeBorneo 2008 keseluruhannya telah dijuarai oleh pasukan JKR 'A' NBD dengan membawa hadiah wang tunai RM2,500.00 berserta piala iringan, naib juara disandang oleh JJ Team dengan menerima wang tunai RM1,500.00 berserta piala dan tempat ketiga disandang bersama oleh pasukan Kudat Power (Sabah) dan Limbang ‘C’ dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 setiap pasukan.
Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud hadir selaku tetamu kehormat telah menutup rasmi kejohanan itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.