Ke arah ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memperbaiki kualiti dan produktiviti Perkhidmatan Awam dengan meningkatkan kecekapan, keupayaan dan keberkesanan jentera pentadbirannya.
Dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007 - 2012, usaha-usaha akan ditumpukan bagi memastikan sistem pemerintahan yang baik, mengukuhkan keupayaan perlaksanaan program dan projek dan memastikan sistem maklumat yang lengkap, terkini dan ‘reliable’.
Beberapa program pembaharuan telah dilaksanakan untuk mewujudkan budaya kecemerlangan dan memperbaiki lagi Perkhidmatan Awam. Ini termasuklah pensejajaran pelan strategik, peningkatan produktiviti dan kualiti, peningkatan perkhidmatan kepada orang ramai, pembaikan organisasi dan pembangunan sumber manusia (PSM).
Program pensejajaran pelan strategik telah diperkenalkan pada tahun 2003, di mana setiap kementerian dan jabatan kerajaan dikehendaki menyediakan perancangan strategik organisasi masing-masing. Usaha dari setiap agensi kerajaan ini akan diselaraskan dengan visi dan aspirasi negara. Penyelarasan antara agensi telah diwujudkan.
Visi Perkhidmatan Awam Abad 21 yang bertujuan bukan hanya untuk menentukan hala tuju sistem Perkhidmatan Awam, tetapi juga bagi memperkukuhkan semua usaha bagi memastikan adanya ‘synergy’ di kalangan agensi kerajaan. Tumpuannya adalah untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti Perkhidmatan Awam. Satu inisiatif adalah program penelitian semula Perkhidmatan Awam di mana beberapa kementerian dan jabatan telah diaudit oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dari segi aspek seperti sistem dan prosedur, produktiviti dan pengurusan kewangan.
Bagi memupuk budaya kerja yang baik dan memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada jabatan, bahagian atau perseorangan di atas pencapaian mereka dalam mewujudkan proses pentadbiran yang cekap dan inovatif, Pertandingan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam diadakan dua tahun sekali, manakala Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) pada setiap tahun.
Sistem Penilaian Prestasi Kakitangan yang telah diperkenalkan pada tahun 1987 dan dikemaskinikan pada tahun 1997 adalah bertujuan untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam Perkhidmatan Awam di negara ini. Sistem prestasi penilaian ini akan membolehkan penilaian objektif kakitangan bagi tujuan perkembangan kakitangan dan pemberian bonus.
Beberapa projek utama (flagship) e-Kerajaan telah berjaya dilaksanakan seperti TAFIS dan PMONet. Selain itu, e-Kerajaan juga telah menggalakkan ketelusan melalui pelancaran laman web rasmi kementerian dan jabatan.
Bagi memperkukuhkan integriti dan meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai, usaha-usaha telah ditumpukan ke atas perlaksanaan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) dan Manual Prosedur Kerja (MPK). Bagaimanapun, masih terdapat beberapa buah agensi kerajaan yang belum mempunyai MPK, dan belum memenuhi kehendak TPOR secara keseluruhannya.
Majlis Mesyuarat Negara telah dihidupkan semula dan diperbaharui bagi meningkatkan akauntabiliti kerajaan dan penyertaan rakyat dalam pembangunan negara. Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri bagi tempoh lima tahun juga telah diperkenalkan.
Bagi memperbaiki kualiti sumber manusia di sektor awam, secara purata 90 program latihan kemahiran yang berlainan telah dikendalikan setiap tahun yang melibatkan lebih 3,000 orang peserta. Permintaan bagi pelbagai program latihan kemahiran ini terus meningkat setiap tahun.
Bagi mempertingkatkan keupayaan sumber manusia dalam negara, beberapa inisiatif PSM telah diperkenalkan. Ini termasuk melantik JPKE sebagai penyelaras bagi PSM negara dan aktiviti berkaitan; membentuk satu badan petugas khas PSM yang diberi mandat untuk memajukan Dasar dan Pelan PSM Negara dengan bantuan konsultan luar; memperkenalkan satu inisiatif di mana semua kakitangan awam diperlukan menjalani latihan sekurang-kurangnya seratus jam setahun dan memperuntukkan sejumlah BND250 juta bagi Dana PSM.
Penyelarasan merupakan isu utama dalam Perkhidmatan Awam. Ke arah itu, program pensejajaran pelan strategik bagi setiap kementerian perlu disegerakan perlaksanaannya.
Bilangan sumber manusia yang berkemahiran adalah terhad. Oleh yang demikian, usaha-usaha bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sumber manusia akan dipercepatkan dalam RKN 2007 - 2012. Di samping itu, pengurusan sumber manusia di semua kementerian perlu dipertingkatkan.
Dalam RKN 2007 - 2012, tumpuan utama ialah pelaburan ke atas sumber manusia. Usaha-usaha juga akan diteruskan bagi memoden dan mengemaskinikan prosedur pentadbiran, termasuk meningkatkan pengurusan sektor awam mengikut tatacara korporat. Ini akan memperbaiki kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dan keberkesanan perlaksanaan program dan projek. Bagi menggalakkan pengendalian yang berkesan, lebih banyak ‘delegation of authority’ akan diberikan dengan menentukan akauntabiliti yang jelas.
Salah satu langkah berterusan bagi meningkatkan pengurusan sektor awam ialah bagi semua kementerian untuk segera meningkatkan usaha dan komitmen bagi mengurangkan tempoh TPOR masing-masing kira-kira 40 - 50 peratus. Kerajaan akan terus memupuk budaya kecemerlangan termasuk bekerja ke arah mencapai piawaian antarabangsa seperti ISO 9000 atau Program ‘benchmarking’ yang lain.
Penilaian semula Perkhidmatan Awam yang masih berjalan akan diberikan perhatian khas dan dipergiatkan perlaksanaannya. Semua kementerian juga diharap akan menyelesaikan program pensejajaran pelan strategik dan seterusnya untuk melaksanakan, menilai semula dan memantau pelan strategik masing-masing.
Peruntukan sejumlah kira-kira BND1.1 bilion telah diberikan bagi perlaksanaan Program e-Kerajaan yang bertujuan untuk mengemaskinikan prosedur dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan Perkhidmatan Awam. Setiap kementerian hendaklah memastikan program dan Projek ‘Flagship’ e-Kerajaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau.
Perkembangan Institusi. Bagi memperbaiki kualiti sumber manusia dalam Perkhidmatan Awam, Majlis Dasar Sumber Manusia Negara (NHRPC) akan dibentuk. Majlis ini dijangka menghasilkan satu haluan dasar yang jelas dan penyelarasan antara kementerian mengenai dasar PSM negara. Sebuah Agensi Pusat Sumber Manusia (HRCA) juga dijangka akan ditubuhkan sebagai Sekretariat kepada majlis tersebut. Setiap kementerian akan menubuhkan Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (HRM) masing-masing. HRCA akan bekerja rapat dengan jabatan HRM di setiap kementerian dalam melaksanakan dasar PSM negara. Bagi memastikan pembekalan tenaga manusia yang profesional, teknikal dan berkemahiran yang mencukupi untuk memenuhi keperluan negara, HRCA mempunyai peranan dalam membuat perancangan, penyelidikan dan pembangunan mengenai sumber manusia negara.
Dana PSM sejumlah BND250 juta telah diperuntukkan bagi memenuhi kehendak untuk memperbaiki kualiti sumber manusia dalam sektor awam dan swasta. Antara program Dana PSM termasuk Program pembangunan tenaga pakar dan profesional akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Program khas bagi lepasan ijazah yang menganggur oleh Jabatan Buruh; Skim pembangunan kemahiran bagi lepasan sekolah yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Buruh; Program bagi pembangunan kemahiran dan pengetahuan dan program bagi pembangunan keusahawanan. Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi akan menyelaras dan memantau perlaksanaan program berkenaan dengan bantuan agensi berkaitan.
Perbelanjaan khas tahunan berjumlah BND0.8 juta diperuntukkan bagi program latihan yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA) bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia dan seterusnya memupuk budaya kerja yang positif di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan. Sebagai tambahan, sebanyak BND2.15 juta dari peruntukan kerajaan juga diberikan kepada IPA bagi latihan-latihan e-Kerajaan.
Dalam RKN8, beberapa insiatif telah diperkenalkan untuk memperbaiki keberkesanan Perkhidmatan Awam meskipun beberapa kejayaan telah dicapai terdapat pelbagai cabaran yang masih perlu ditangani dalam RKN 2007 - 2012. Ini termasuk keperluan bagi memperbaiki perlaksanaan TPOR dan memperkukuhkan keupayaan kerajaan bagi melaksanakan program dan projek pembangunan negara. Ianya diberikan tumpuan untuk memoden dan mengemaskinikan pentadbiran awam bagi meningkatkan kecepatan dalam pemberian perkhidmatan; mempercepatkan PSM bagi memenuhi keperluan negara dan memperkukuhkan sistem pengurusan sumber manusia dalam semua kementerian bagi mengurangkan pembaziran sumber.