
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
Umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat mengelirukan iaitu di antara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tetapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri.
Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, hasut menghasut dan benci-membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat-menghormati, bersatu padu dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imraan ayat 103 yang tafsirnya:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya."
Oleh itu marilah kita bina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. Sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuannya dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam.
Untuk memantapkan persaudaraan ini beberapa perkara perlu diambil perhatian di antaranya:
* Apabila bertemu hendaklah memberi salam sebagaimana hadis riwayat Al-Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu mekukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam di kalangan kamu."
* Sentiasa berhubung untuk bertanya khabar.
* Bantu-membantu antara satu sama lain.
* Melazimkan ziarah-menziarahi sebagai satu amalan hidup.
Di dalam Islam orang-orang yang hidupnya menjaga persaudaraan akan diberikan beberapa keutamaan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, di antaranya:
* Pada Hari Kiamat, mereka akan berada di bawah naungan Arasy Allah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dari Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala pada Hari Kiamat berfirman: (Di manakah orang yang kasih-mengasihi kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka di dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku)."
* Mereka merasa manisnya iman sebagaimana hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, dari Anas Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
" Sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka."
* Dosa kecil mereka diampuni Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana hadis Riwayat Al-Imam Abu Daud dan At-Tirmidzi daripada Al-Bara' Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
" Tiada di antara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah."
Oleh yang demikian, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat kasih sayang dan rasa saling percaya-mempercayai kerana ianya merupakan landasan ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama di antara satu sama lain.