
Rabu, 2 Julai 2008
28 Jamadilakhir 1429
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
MENURUT kajian Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, pada tahun 2005, sejumlah 16,000 tan sisa plastik telah dilupuskan di tapak pelupusan di Sungai Akar setiap tahun. Kajian juga mendapati, sisa-sisa plastik pelbagai warna dan bentuk juga mencemari pemandangan sungai-sungai dan saliran parit hingga menyebabkan pemandangan kurang elok dan menyakitkan mata memandang yang sekali gus mencemarkan alam sekitar.
Risiko sisa-sisa plastik ini menjejaskan pengaliran air di parit dan di sungai-sungai sehingga menyebabkan banjir kilat jika hujan lebat. Dalam erti kata lain sisa plastik turut menyumbang kepada berlakunya banjir seperti yang kita alami sejak beberapa tahun lalu. Memang tidak dapat dinafikan sistem perairan atau perlongkangan yang ditumbuhi rumput-rampai menyebabkan air tersekat, tersumbat atau tidak lancar mengalir. Namun jika melihat senario sekarang, sisa-sisa plastik juga sebenarnya menyumbang kepada banjir kilat.
Perlu diingat, sisa plastik hanya akan reput dalam masa jangka hayat yang panjang sehingga membawa ke beberapa tahun untuk lupus. Apa yang membimbangkan, plastik boleh mengeluarkan kompaun toksik dan sangat berbahaya apabila ianya reput. Ini seterusnya akan 'mengundang' pencemaran tanah, sungai dan sumber air di bawah permukaan tanah yang setentunya akan menjejaskan kualiti alam sekeliling, kesihatan serta kesejahteraan orang ramai.
Inilah antara kekhuatiran yang ditimbulkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdullah semasa berucap melancarkan Hari Alam Sekitar 2008 baru-baru ini.
Melihat kesannya dalam masa yang singkat dan berpanjangan sudah sampai masanya bagi kita di Negara Brunei Darussalam menghentikan penggunaan plastik. Beberapa buah negara telah mengambil langkah untuk mengelakkan pengunaan pembungkus atau beg plastik yang berlebihan. Bukan itu saja banyak negara juga telah menghentikan penggunaan beg plastik di kedai dan pasar raya menerusi undang-undang.
Tabiat penggunaan plastik yang berlebihan perlu kita hentikan demi kesejahteraan bersama. Mekanisme mudah dan murah iaitu menggunakan semula pembungkus atau beg plastik bagi kegunaan lain dengan tidak membuangnya. Gunakanlah beg guna semula semasa membeli-belah tanpa menggunakan plastik yang disediakan di pasar raya-pasar raya. Semua mekanisme ini mustahak kita tanamkan dalam kehidupan seharian kita.
Langkah sedemikian setentunya memberikan kebaikan yang besar dari segi alam sekitar sesuai dengan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mewujudkan sebuah negara yang bersih. Begitu juga jumlah sisa buangan yang kini berjumlah 400 tan sehari untuk dilupuskan akan berkurangan. Secara langsung penggunaan tapak pelupusan juga akan berkurangan.
Apapun sebenarnya, semua itu terletak kepada kita selaku pengguna. Yang penting, kita membuat 'trial' atau cuba-cuba mempraktikkannya setiap hari, kerana adalah dipercayai lambat-laun kita akan terbiasa melakukannya. Amatlah wajar bagi kita semua menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap kempen mengurangkan penggunaan beg plastik dan mempromosi beg guna semula.
Hasrat ini akan tercapai jika semua pengguna melihatnya secara positif. Harapan juga kita sandarkan kepada juga pengusaha pasar raya dan para pekedai bersama-sama terlibat menjayakan kempen yang bermanfaat sebagai langkah mewujudkan persekitaran yang nyaman dan bersih. Tanpa adanya kerjasama dari semua pihak kempen hanya akan tinggal kempen, kejayaannya jauh untuk dicapai. Kita amat menyambut baik langkah beberapa buah pasar raya yang menyahut hasrat murni kerajaan itu.
Bersama-samalah kita meningkatkan kesedaran dengan menyokong sepenuhnya kempen yang diusahakan oleh kerajaan bagi menghentikan penggunaan plastik. Peri mustahak setiap lapisan masyarakat untuk sama-sama berperanan dalam memelihara kebersihan dan keindahan alam sekitar negara kita yang tercinta ini. Adalah menjadi harapan kita semua agar lebih banyak lagi pengusaha pasar raya yang akan tampil ke hadapan membuat inisiatif bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dengan memperkenalkan beg guna semula.