CETUSAN MINDA 11

PERASAAN KESEMPURNAAN JADI TERAS PERPADUAN DAN KEHARMONIAN
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


Rangsangan Alamiah

IBN Khaldun, ilmuan tersohor dalam tamadun Islam (1332M - 1406M) berpendapat bahawa menghormati pertalian saudara adalah suatu yang semula jadi atau alamiah di kalangan sesama manusia. Tidak menyayangi pertalian darah itu merupakan suatu hal yang jarang-jarang sekali terjadi. Ianya memantulkan perasaan saling menyayangi antara satu sama lain dan mereka yang ada pertalian saudara atau keluarga, mereka tidak mahu sebarang kesusahan menimpa mereka atau tidak seharusnya mereka ditimpa musibah.

Orang tua-tua kata ibarat cubit paha kiri, paha kanan akan terasa sakitnya juga. Atau carik-carik bulu ayam! Katalah apabila salah seorang suadara-mara itu dipersenda, diserang atau lain-lain perbuatan yang tidak baik tentu kita tidak akan sekadar melihatnya. Paling tidak kita akan turut campur.

Kebanyakan saudara-mara tidak mahu membiarkan ketika salah seorang sanak saudara diapa-apakan oleh seseorang setentunya keluarga lain tidak akan tinggal diam. Sekurang-kurangnya mereka akan menjadi pendamai atau jadi orang tengah!

Ini sesungguhnya adalah sesuatu rangsangan alamiah atau tindakan semula jadi yang terdapat dalam diri manusia, selagi mana mereka itu menjadi manusia. Ambil sahaja contoh mudah, seekor ibu kucing akan marah apabila nampak anak kucing yang baru dua tiga hari dilahirkan dipindahkan ke tempat lain. Ibu kucing marah kerana zuriat dirinya dicabar, kerana itu adalah darah dagingnya tapi perhatikan pula bila anak kucing itu bukan dari darah dagingnya. Ibu kucing itu tidak akan berbuat apa-apa. Jika tidak percaya, cubalah. Itu binatang. Haiwan juga punya naluri alamiah iaitu menghormati pertalian darah. Inikan pula kita, ya kita, yang bergelar manusia.

Biasalah, sekiranya hubungan langsung di antara mereka yang saling bantu-membantu itu amat dekat sekali, yang mendorong kepada saling perlu-memerlukan dan bersatu dan nyata ia memerlukan wujudnya perasaan keserumpunan tanpa campur tangan atau bantuan dari pihak lain.

Sekiranya, pertalian saudara itu agak berjarak, seperti perumpamaan ‘bau-bau bacang’, ia selalunya ibarat jauh di mata, jauh di hati pula. Namun, sedikit ingatan terhadap saudara dari kalangan ‘bau-bau bacang’ itu tetap dan masih ada dan ini mendorong seseorang itu membantu kaum kerabatnya atas motif yang telah diketahui itu.

Bantuan yang diberikan adalah semacam bagi menghilangkan rasa bersalah yang terlekat pada jiwa mereka sekiranya tidak membantu orang yang ada pertalian darah dengannya diperlukan dengan cara yang tidak sewajarnya.

Semangat Kekitaan

Bagaimana pula kenalan dan rakan taulan? Mereka ini bolehlah digolongankan ke dalam kelompok yang sama iaitu perasaan keserumpunan. Perasaan mengambil berat sebab bagaimana yang terdapat di sudut hati setiap orang terhadap kenalan dan rakan taulannya itu adalah disebabkan semacam ada semangat kekitaan. Persahabatan yang akrab secara tidak disedari telah memantulkan perasaan hormat-menghormati yang secara diam-diam dan lama-kelamaan tersimpul semangat pertalian kekeluargaan. Sehubungan ini kita pun teringat tentang sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Pelajarilah sebanyak mungkin salasilah keturunan kamu sebagaimana perlunya untuk mengukuhkan perasaan pertalian kekeluargaan."

Ini bermakna bahawa keturunan adalah penting hanya apabila ia bermaksud kepada kerjasama yang disebabkan oleh pertalian darah dan yang akhirnya membawa kepada saling bantu-membantu dan sayang-menyayangi dan apa yang selebihnya adalah suatu yang berlebih-lebihan.

Apabila rasa persaudaraan itu sudah terlihat dengan jelas, ia akan membangkitkan sesuatu di dalam diri insan itu perpaduan yang semula jadi atau alamiah. Tetapi jika ia didasarkan sekadar pengetahuan tentang keturunan nenek moyang, ia boleh mengusik dan menyuntik ingatan, tetapi sekubit sahaja. Hanya nostalgia dan ‘hal saja-saja’ yang hendak dijaja! Faedah dan kegunaan tidak kelihatan dan ingatan itu hanya sekubit. Salasilah keturunan itu dicerita dan dicatat kepada orang lain sekadar ‘saja-saja bercerita’. Perkara ini selalu kita dengar terutama apabila menghadiri majlis-majlis suka duka, seperti acara perkahwinan dan apabila ada kematian.

Alkisah, paling menonjol ialah bila kita menerima kad undangan perkahwinan. Biasalah, di bawah tajuk ‘Wakil Yang Berharap’ dan ‘Wakil Yang Turut Mengundang’ itu dimasukkan nama-nama orang hingga ada sebilangan kad jemputan kahwin itu menyenaraikan lebih seratus nama, tidak termasuk nama isteri bagi yang beristeri. Bagi yang sudah duda atau janda akan dibubuh perkataan ‘serta keluarga’.

Maaf cakap, saya pernah menerima kad jemputan kahwin yang menyenaraikan lebih dua ratus nama di bawah tajuk-tajuk seperti di atas melibatkan enam lembar kertas jenis A4 yang dibahagi dua. Nama-nama disimpan sebelah-menyebelah. Manakala maksud utama iaitu undangan kahwin cuma dua lembar sahaja. Dan yang menyimpan antara 20 hingga 50 nama-nama orang di bawah tajuk itu sudah biasa, juntrah dalam kad jemputan. Aduhai, ini tiada hal! Biasalah tu. Bukan apa? Hanya ingin bertanya di antara ramai-ramai nama yang disimpan itu siapa sebetulnya yang benar-benar ada pertalian kekeluargaan? Siapa sahabat handai? Kadang-kadang atau mungkin disengajakan, nama-nama yang disimpan itu sekadar hiasan sahaja atau ‘semacam suatu permainan.’ Jika ianya suatu permainan adalah tidak digalakkan.

Dalam hal ini seseorang harus faham dan menilai maksud sebuah peringatan orang tua-tua katani dahulu, ketika duduk santai-santai di hujung jungkar, pernah malah sering berkata bahawa: ‘Ilmu tentang keturunan adalah suatu ilmu yang tidak ada gunanya untuk diketahui dan tidak pula membawa mudarat jika tidak mengetahuinya’.

Peringatan ini membawa makna dan iktibar bahawa jika salasilah keturunan itu menjadi suatu yang sudah tidak jelas lagi menimbulkan suatu persoalan maka golongan itu tidak lagi dapat membangkitkan ikatan. Hilanglah rasa cinta yang disebabkan oleh perasaan keserumpunan. Jadilah ia sesuatu yang tidak mendatangkan manfaatnya.

Jemputan Kahwin

Benarkah ini? Alkisah, pada minggu pertama bulan April lalu, pergilah saya menunaikan hajat jemputan majlis perkahwinan yang diadakan di dua buah kampung yang berlainan terletak di daerah yang sama. Pada hari berkenaan, saya menerima tiga kad jemputan kahwin. Alhamdulillah, ketiga-tiga jemputan itu dapat ditunaikan. Jemputan A ditunaikan pada sebelah malam, ketika majlis berbedak. Pergi bersama isteri. Nasib baik ada undangan semasa majlis berbedak. Sering juga kita terima jemputan ketika majlis perkahwinan sahaja, majlis berbedak dan lain-lain majlis mengenainya tidak dijemput.

Manakala jemputan B (saudara bau-bau bacang) dan jemputan C (kenalan lama) ditunaikan pada hari majlis persandingan. Seorang diri saja yang pergi. Alhamdulillah, tempoh kedatangan para jemputan tidak sama, selisih satu jam. Jadi dapatlah mengaga kedua-dua jemputan itu pada hari yang sama kerana kedua-duanya menjemput kita hanya untuk majlis persandingan saja. Mula-mula jemputan B yang awal waktu jemputannya, duduk untuk tempoh setengah jam di situ lalu minta keizinan pulang dengan inda payah sarapan di situ. Alkisah sebaik melintasi sebuah khemah jemputan dan bersalaman, terjadilah dialog di bawah ini antara saya dengan seorang kenalan yang sudah lama tidak dijumpa:

"Awal jua, Haji Salleh. Inda menunggu makan? Ke mana?"

"Arah jemputan lain lagi, majlis kahwin jua," jawabku.

"Di mana dan anak siapa kahwin atu?"

Lalu saya terangkan di mana, siapa yang menjemput dan lain-lain mengenainya. Kenalanku (Ahmad, bukan nama sebenar) itu agak terkejut dan teruja lalu menjawab tegas, "Kadidia atu (menyebut nama bapa mempelai) aturan anak kemanakan pupu dua kali sebelah pebinian." Kemudian berdiri dari tempat duduknya.

"Inda kita tau, kan?" Ahmad, sama-sama warga emas, bersumpah dengan menyebut nama Allah. Dia tua daripadaku kira-kira satu tahun. Kami sama sekolah di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) tapi tidak sedarjah. Dulu kami selalu jumpa di kutubkhanah sekolah semasa rehat.

"Kalau aku inda silap, ada jua nama kadikita disimpannya sebagai wakil. Wakil Yang Berharap lagi tu."

Ahmad tambah terkejut dan mulutnya melopong. Panjang nada suaranya beristighfar. Berkali-kali istighfarnya. Aku juga turut beristighfar banyak-banyak lalu meminta maaf. Seorang warga emas lain yang mendengar kurapak kami itu sempat berkunyanyang, "Jangantah dihairankan tu. Nama tangkap muat bah! Aku berapa kali takana macam atu, tau-tau namaku ada sebagai wakil. Kan halnya saudara sepupuku bah, liat dan malas mengaga orang memanggil nah apabila sampai anaknya kahwin, khemah yang 13 buah atu pun selang-seli kerusi diduduki para jemputan. Semua khemah berisi, kena duduki, ganya dapat dibilang dengan jari. Dalam satu khemah dua tiga orang sahaja. Apa jadi, tempahan makan untuk 700 orang, jemputan yang datang ganya kira-kira 150 orang."

Ada yang tersenyum faham, ada senyum kambing dan juga tidak ketinggalan geleng-geleng kepala. Selebihnya banyak yang turut ketawa. Angguk-angguk kepala pun ada.

"Haji apa sangkut-paut dengan (menyebut nama kenalan lamaku itu)?"

"Pernah sedarjah dengannya semasa di Maktab SOAS Tingkatan Satu. Bah, maritah ke sana. Ikut arah jemputan anak kemanakan pupu dua kali pebinian kadikita atu."

Ahmad toleh sana, toleh sini. Begitu sukar membuat keputusan. Ragu-ragu. Melihat kegelisahannya itu saya terus menepuk-nepuk bahunya sambil berkata dengan nada rendah, "Kadiaku atu peribahasa saja tu. Terkaduhung aku inda berdangan bah. Pebinian rombongan berdikir, orang mandi berlawat di kampung kami?"

Kami ketawa. Dia ketawa terbahak-bahak hinggakan ada air jernih keluar beberapa titis dari matanya. Orang lain juga turut ketawa. Kan dijadikan cerita Ahmad berbisik, "Kirim salam saja arah kadidia (menyebut nama anak kemanakannya itu).

"Insya-Allah, atu pun kalau aku ingat," kataku lagi berjenaka. Dan kami terus ketawa. Dalam ketawa itu, dia berbisik ke telingaku, "Tulis hal ani dalam Cetusan Minda di Pelita Brunei." Aku ulang lagi perkataan insya-Allah.

Semasa memandu untuk menuju ke tempat jemputan C mengambil masa kira-kira setengah jam perjalanan, ingatan saya tertumpu kepada kad-kad jemputan kahwin. Benar, rapat kali saya dengar nama-nama tertentu selarah-larah disimpan tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada si punya nama. Tau-tau nama disimpan. Bukankah elok dan manis dimaklumkan kepada orang punya tubuh terlebih dulu. Berparawis! Ini budaya kita. Budaya berawar galat.

Benar, bukankah beradab jika hal-hal seumpama ini dimuafakatkan. Jika tidak pun dimuafakatkan kerana konon ‘terlalu sibuk’ apa salahnya dihubungi melalui telefon rumah. Telefon bimbit ada. SMS atau sistem pesanan ringkas boleh diguna pakai. Kan halnya, kerana jika kita sanggup saja-saja kirim SMS untuk suatu perkara yang tidak mustahak, kenapa hal untuk mengeratkan silaturahim keserumpunan ini merasa berat untuk dilakukan?

Untuk dijadikan cerita, dua minggu selepas majlis perkahwinan itu, Ahmad menghubungi saya untuk memaklumkan sekali lagi bahawa dia sekeluraga sesungguhnya langsung tidak menerima jemputan yang dimaksudkan, tidak tahu-menahu tentang perkahwinan anak kepada anak kemanakan pupu dua kali sebelah isterinya itu. Rupanya bukan saja Ahmad yang terkena, masih ada lagi keluarga lain yang tidak tahu-menahu mengenainya. Bagaimana anda, pernahkah mengalaminya? Memang hal begini sudah menjadi perkara biasa! Kerana 'terbiasa' maka luntur budi bahasa. Maaf cakap.

Jika tulisan saya ini mengusik jiwa siapa saja, mohon ampunkan saja. Niat saya ikhlas iaitu bagi memperbetulkan keadaan kepada alasan ‘aku terlalu sibuk’; ‘tiada masa untuk berpakat-pakat dengan keluarga’; ‘terlupa menghantar jemputan’ dan macam-macam alasan yang bagi kita sukar untuk masuk akal jika kita benar-benar ‘punya akal’ untuk mahu mengeratkan perhubungan keserumpunan.

Jika keturunan itu menjadi suatu yang sudah tidak jelas lagi, masing-masing mahu tau-tau sendiri saja, setentunya tidak akan menambah ikatan dan akan pupuslah rasa sayang yang disebabkan oleh perasaan keserumpunan. Jadilah ia sesuatu yang tidak mendatangkan manfaatnya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan iannya hanya disifatkan sebagai bahan senda gurauan. Astaghafirullahalazim.

Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Suci dan Lebih Mengetahui.