UTAMA

Sukan ria mempromosi cara hidup sihat

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi ketika merasmikan Majlis Sukan Ria tersebut.

GADONG, Ahad, 6 Julai - Pasukan VIP yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi berjaya menumpaskan Pasukan Ketua-ketua Bahagian Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam perlawanan Tarik Kalat di Temasya Sukan Ria Amal Bertaja Hospital RIPAS hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah Polis Gadong di sini, Pasukan VIP yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Awang Haji Sarbini telah mengalahkan pasukan lawan dengan kiraan mata 2 - 1.

Lapan buah pasukan yang terdiri daripada bahagian-bahagian di Hospital RIPAS menyertai acara-acara sukan tarik kalat, lari dalam guni, boling kampung dan fun relay.

Pelancaran temasya sukan ria itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi, yang bermula dengan senamrobik sebagai sessi pemanasan badan.

Antara matlamat temasya sukan itu diadakan adalah sejajar dengan misi Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan 'Cara Hidup Sihat' selain ia merupakan kesinambungan Sambutan Hari Pelanggan Hospital RIPAS 2007.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Dayang Hajah Siti Mariam binti Haji Md Jaafar selaku Pengerusi Bersama temasya sukan ria, sebahagian daripada sumbangan yang berbentuk kewangan akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Tabung Kebajikan dan Anak-anak Yatim Hospital RIPAS.

Kembali ke muka utama