Menuju Keredaan Allah

SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH DAN TAHUN MASIHI

ALLAH Subhanahu Wata’ala Yang Maha Berkuasa telah menciptakan alam semesta dengan begitu sempurna, di khususkan untuk keperluan hidup makhluk-Nya di bumi yang indah ini. Dengan peredaran serta pusingan planet bumi, bulan dan bintang-bintang itu, maka wujudlah perkiraan masa atau zaman, dua belas bulan dalam satu tahun.

Di kalangan masyarakat di negara ini sering kali menyambut kedatangan awal tahun dengan gembira dan meriah sekali. Ianya adalah saat-saat yang ditunggu oleh masyarakat untuk menyambut kedatangannya dengan pelbagai cara ataupun membuat majlis yang tertentu dan juga menjadikan satu alasan untuk membuat azam atau semangat baru di dalam pelbagai aspek. Akan tetapi sambutan kedua-dua tahun baru iaitu tahun Hijrah dan tahun Masihi adalah amat ketara sekali perbezaannya. Kedua tarikh tersebut mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan adakalanya digabungkan dalam satu kalendar untuk digunapakai oleh masyarakat.

Sejarah tahun Hijrah berdasarkan kepada penghijrahan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam dari Mekah ke Madinah. Ianya sangat terkenal dalam masyarakat dan dunia Islam dan dijadikan satu syiar bagi umat Islam semenjak pengisytiharan Sayyidina Umar Ibnu Al-Khattab Radhiallahuanhu mengenai Awal Tahun Hijrah. Manakala tahun Masihi pula dikenali oleh masyarakat antarabangsa yang bukan beragama Islam di seluruh dunia dan menjadikan awal tahunnya sebagai hari kebesaran dan dirayakan dengan pelbagai acara-acara yang boleh mendatangkan kemaksiatan dan kemungkaran.

Agama Islam tidak melarang atau menghalang kepada umat Islam di dalam penggunaan tarikh atau kalendar Masihi akan tetapi janganlah kita terlalu asyik menyambut kedatangan Awal Tahun Masihi dengan pesta yang selalu diamalkan oleh budaya barat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara yang menyebabkan pergaulan bukan muhrim yang terlalu bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga boleh hanyut ke lembah kemaksiatan. Perkara ini haruslah diambil berat kerana ianya tidak sesuai malah dilarang di dalam agama kita iaitu agama Islam.

Sudah jelas pesta atau sambutan berbentuk begitu hanya dilakukan oleh masyarakat bukan Islam yang bercorakkan agama mereka sendiri. Oleh itu kita sebagai umat Islam tidak boleh turut sama membesarkan kedatangan Awal Tahun Masihi seperti mana orang bukan Islam membesarkannya, kerana dikhuatiri akan membawa tasyabbuh (penyerupaan) dari segi budaya, tujuan dan akidah mereka yang beragama, selain dari agama Islam. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda kira-kira bermaksud :

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dianggap salah seorang dari kalangan mereka". (Hadis Riwayat Abu Daud).

Namun ada baiknya kita menyambut kedatangan awal tahun itu dengan doa dan sembahyang sunat seperti menyambut Awal Tahun Hijrah agar kita diberkati dalam apa jua perkara yang kita lakukan sepanjang tahun. Awal Tahun Hijrah iaitu awal Muharam adalah salah satu dari hari-hari kebesaran Islam yang dihormati dan mengandungi kemuliaan dan kelebihan yang tersendiri seperti bulan-bulan Hijrah yang lain.

Oleh itu kita sebagai umat Islam sepatutnya berbangga dengan budaya dan cara kita umat Islam di dalam menyambut kepergian dan kedatangan tahun baru yang sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa ta’ala. Janganlah kita terlalu terikut dengan cara budaya barat menyambut kedatangan tahun baru yang sentiasa membawa keburukan dan kemungkaran pada diri sendiri. Walaupun ianya mendatangkan keseronokkan di waktu hidup kita tetapi pada hakikatnya akan mendatangkan keseksaan dan kesengsaraan di akhirat kelak.

Kembali ke muka utama