
Sabtu, 7 Februari 2009
11 Safar 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
AKTIVITI pengambilan deposit secara haram yang lebih dikenali sebagai ’skim cepat kaya’ kini sudah berleluasa tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam. Modus operandi skim ini sangat bijak ’memasang’ jerat sehinggakan orang ramai termasuk para pelabur terperangkap dengan janji-janji manis itu dengan faedah atau keuntungan yang dijanjikan bagi wang didepositkan, selalunya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan yang berlesen. Namun kerana cepatkan kaya atau wang yang banyak, maka tanpa berfikir panjang, orang ramai terus terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang haram.
Janji-janji pulangan, faedah dan keuntungan yang tinggi inilah membuatkan orang ramai ’tergila-gila’ dan terus tertarik membuat pelaburan, walhal realitinya satu penipuan. Tetapi itulah, disebabkan hendakkan lebih akhirnya seperti kata pepatah Melayu ’yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran’. Orang ramai yang jahil dengan skim itu mudah termakan apalagi melihat pulangan wang yang berganda-ganda. Kalau kitani fikirkan secara waris adalah tidak masuk akal bahawa kadar faedah atau pulangan yang tinggi dan tidak realistik dalam satu masa yang singkat berbanding dengan institusi yang dilesenkan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan mengingatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan sentiasa waspada dari terpedaya oleh individu atau syarikat yang menawarkan skim-skim yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan dalam masa singkat berbanding praktis pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang berlesen. Mereka yang tidak bertanggungjawab ini biasanya akan menyasarkan kepada pegawai kerajaan dan swasta termasuk pesara wang diketahui mempunyai simpanan dan ingin mendapatkan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Pengarah Institusi Kewangan, Dayang Hajah Rosni binti Haji Tungkat semasa memberikan taklimat kepada warga Syarikat Minyak Brunei Shell baru-baru ini menekankan bahawa penganjur atau penggendali skim-skim cepat kaya atau pelaburan yang serupa sangat bijak mengeksploitasi pembabitan orang ramai dengan memaklumkan bahawa kononnya mereka sudah mendapat kebenaran atau lesen dari pihak berkuasa terhadap kegiatan yang mereka jalankan. Selain itu pengendali skim berkenaan menggunakan indivdu tertentu bagi meyakinkan pelabur dan orang ramai yang pelaburan itu sah dan bukannya skim piramid, selain menggunakan agama bagi mengukuhkan lagi teknik pemasaran. Sebagai pujuk rayu, pengendali skim ini juga menurunkan jumlah pelaburan dari BND 5,000.00 kepada BND500.00 sahaja, sementara kadar pulangan yang lebih tinggi dari yang ditawarkan sebelum itu.
Renungkanlah bersama logiknya 'skim cepat kaya' dengan mengingat kata-kata hikmat seperti jangan gopoh-gapah untuk membuat pelaburan atau dipaksa untuk melabur, berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet, waspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis, berurusan dengan hanya institusi kewangan yang dilesenkan kerajaan kerana perlu diingat sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan mustahil untuk diterima akal. Melaburlah ke institusi-institusi kewangan atau bank-bank yang lebih selamat seperti melabur dalam Sukuk Al-Ijarah Jangka Panjang dan Pendek yang dikelolakan oleh Kementerian Kewangan yang lebih selamat serta menjamin masa depan biskita.
Mereka yang didapati menerima, mengambil atau mendapatkan deposit melainkan selaras dengan lesen yang dikeluarkan di bawah Bab 4(1) Perintah Perbankan 2006 untuk menjalankan perniagaan perbankan adalah melanggar peraturan Bab 93(1) Perintah Perbankan 2006 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Bab 93(2) perintah tersebut yang membawa hukuman denda tidak melebihi BND10 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali dan jika kesalahan berterusan denda tidak melebihi BND100 ribu setiap hari selama kesalahan dilakukan selepas sabit kesalahan di bawah Perintah Perbankan 2006.
Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan perniagaan atau pelaburan kewangan yang berkemungkinan tidak berlesen atau mencurigakan, laman web atau mel elektronik yang diragui atau sebarang maklumat berkaitan pelaburan yang tidak berlesen termasuk yang terdapat dalam internet supaya akan menghubungi Bahagian Institusi Kewangan, Tingkat 7, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, atau terus menghubungi talian 2382614/2381367 atau e-mel: fidmof@brunet.bn atau menghubungi Pusat Kewangan Antarabangsa Brunei (BIFC) di talian 2383747 atau mengemel ke alamat l: bifc@mof.gov.bn.
Orang ramai diingatkan lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan skim-skim pelaburan haram. Jangan mudah terpengaruh dengan aktiviti 'skim cepat kaya' atau apa jua aktiviti yang tidak berlesen. Laburkanlah wang biskita menerusi institusi-insitusi kewangan yang berlesen di negara ini.